Daripada hegemoni BN kepada merakyatkan Parlimen


Fakhrurrazi Rashid

PADA 11 September 2022, Parlimen Malaysia menyambut ulang tahun ke-63 perjalanan pertamanya. Bermaksud, usia Parlimen hanya dua tahun muda berbanding kemerdekaan negara. Cuma, tarikh ini tidak diketahui kebanyakan rakyat dan pemimpin negara. 

Itulah hakikat Parlimen Malaysia. Jurangnya dengan rakyat masih lagi melebar, kesan daripada hegemoni Barisan Nasional (BN) yang menguasai dua pertiga majoriti Parlimen hampir lima dekad. Keputusan dibuat atas kepentingan kerajaan tanpa mengambil kira pandangan rakyat mahupun ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen pula dipandang sebagai ‘pegawai kebajikan’ di kawasan dan peranan menyemak dan membahas dasar kerajaan hampir tidak berlaku. Sudut pandangan lapuk ini masih menebal dalam minda sebahagian masyarakat dan pemimpin. Itulah kesan hegemoni BN yang telah menjejaskan ekosistem Parlimen negara. 

Persoalannya, bagaimanakah kita mahu mencorak sistem demokrasi berparlimen yang lebih berfungsi untuk 10 atau 20 tahun akan datang? Adakah perubahan yang berlaku sekarang sudah cukup baik atau tidak perlu diteruskan? 

Perubahan kerajaan pada PRU14 telah menyaksikan agenda refromasi Parlimen dilaksanakan secara drastik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Ia adalah kesinambungan idea reformasi Parlimen dibawa sejak awal 1970-an untuk memulihkan sistem demokrasi berparlimen.  

Pakatan Harapan (PH) telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia, melantik ahli Parlimen Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dan  menggubal Akta Suruhanjaya Parlimen.  

Rakyat tunjang utama

Objektif perubahan Parlimen dilaksanakan bagi menepis salah guna kuasa, pemborosan, dan kecuaian dilakukan oleh kerajaan. Dari sudut yang lebih luas, reformasi Parlimen adalah perisai rakyat untuk memastikan kerajaan memikul amanah dengan baik dan berintegriti. 

Sebab itu, usaha reformasi Parlimen bukan sekadar perubahan struktural, tetapi apa yang lebih penting adalah agenda merakyatkan Parlimen, yakni memperluas penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan tertinggi negara di Parlimen. Amalan ini tidak pernah berlaku ketika hegemoni BN menguasai Parlimen.  

Namun, masih terdapat segelintir rakyat dan Ahli Parlimen sukar memahami agenda ini ketika  perkembangan politik negara sekarang menyaksikan kegilaan pemimpin yang mahu menguasai majoriti dua pertiga dan meminggirkan peranan Parlimen demi mempertahankan kuasa masing-masing. 

Lihat sahaja, bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin Yassin yang telah menghalang  Parlimen membahaskan kehidupan rakyat semasa  krisis pandemik dengan melaksanakan perintah darurat. Cadangan untuk Parlimen menggunakan teknologi bagi membolehkan mesyuarat dilaksanakan secara hibrid tidak dipedulikan. 

Pemikiran anti-demokratik kerajaan Muhyiddin Yassin sewaktu Covid-19 telah mencetuskan pergeseran dengan Parlimen dan Yang Di-Pertuan Agong apabila Menteri tidak bersikap jujur dalam soal membatalkan Ordinan Darurat. Episod membungkam Parlimen ini berakhir dengan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021 setelah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat. 

Sedar atau tidak, sudah setahun kerajaan Ismail Sabri Yaakob menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH. Kejayaan terbesar MoU ini adalah pelaksanaan reformasi politik dan Parlimen yang diperjuangkan PH.

Kemuncak MoU ini adalah kejayaan melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang ahli Parlimen menukar parti dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen. Ia membuktikan usaha meluluskan usul atau pindaan perlembagaan tidak seharusnya memerlukan sesebuah parti kerajaan mengawal majoriti dua pertiga di Parlimen.  

Soalnya, apa lagi selepas ini untuk Parlimen? Apa yang boleh dibuat supaya sistem demokrasi berparlimen terus berfungsi dengan baik? Sejauh manakah agenda merakyatkan Parlimen dapat diteruskan?

Apa seterusnya?

Dalam konteks Belanjawan 2023, kerajaan sepatutnya sudah mula memberi peruntukan lebih tinggi kepada Parlimen Malaysia berbanding Belanjawan 2021 dan 2022 sebagai persediaan ke arah institusi yang bebas dan berautonomi menentukan perbelanjaan kewangan dan tadbir urusnya sendiri. 

Ini juga harus disusuli dengan membentangkan Akta Perkhidmatan Parlimen seperti yang telah dijanjikan oleh kerajaan Ismail Sabri yang akan membebaskan Parlimen Malaysia sebagai salah satu ‘jabatan’ dalam Pejabat Perdana Menteri.  

Hakikatnya, memberi peruntukan yang tinggi bukanlah faktor tunggal yang menjadikan Parlimen kelihatan ‘bebas’. Apa yang lebih penting adalah memberi kuasa kepada Parlimen mengawal beberapa suruhanjaya dan agensi yang perlu menjalankan tugas dengan bebas tanpa campur tangan eksekutif, khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri, seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Jabatan Audit Negara. 

Cadangan ini akan mengimbangi kuasa perdana menteri untuk mengatasi masalah campur tangan politik dalam kes berprofil tinggi. Dan, sudah sampai waktunya Parlimen diberikan hak untuk melantik Pesuruhjaya SPRM dan  Pengerusi SPR agar mereka lebih bertanggungjawab kepada institusi Parlimen yang berteraskan kepentingan rakyat secara telus dan terbuka.  

Rakyat dan pemimpin juga perlu membicarakan agenda merakyatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara meluas. Terdapat 11 DUN di Semenanjung Malaysia dan satu di Sarawak dan Sabah. Persoalannya, adakah kesemua DUN ini benar-benar berfungsi dan mengalami reformasi yang setara dengan Parlimen Malaysia? 

Atau ia masih berada dalam era hegemoni BN yang mengawal DUN tanpa mempedulikan pandangan rakyat? Inilah perkara pokok untuk dibahaskan demi memastikan agenda merakyatkan Parlimen dilihat secara menyeluruh.  

Faktanya, agenda reformasi Parlimen mahupun merakyatkan Parlimen adalah komitmen berpanjangan yang tidak seharusnya bersifat statik. Setiap daripada kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia  terus berfungsi dan tidak disalahgunakan pemimpin tertentu untuk kepentingan peribadi. 

Kesedaran ini akan memberi nilai tambah dalam menyuburkan nilai integriti dan demokratik dalam pentadbiran negara daripada dicemari amalan pentadbiran lampau yang telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap Parlimen Malaysia. – 15 September, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen