Peralihan ke arah tenaga hijau berada di landasan, kata Petronas


PERALIHAN kepada tenaga hijau masih berada di landasan yang betul walaupun krisis tenaga sedang berlaku terutamanya di Eropah dengan banyak negara mempertimbangkan kembali kepada arang batu bagi mendapatkan bekalan tenaga mereka memandangkan sekatan yang dikenakan terhadap Rusia.

Kesatuan Eropah mengimport kira-kira 90 peratus penggunaan gasnya, dengan Rusia membekalkan kira-kira 45 peratus daripadanya.

Naib Presiden Carigali, Huluan Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata syarikat minyak negara akan lebih bertanggungjawab terhadap penerokaan minyak dan gasnya pada masa hadapan.

Beliau memaklumkan aktiviti penerokaan di Malaysia akan lebih tinggi daripada dua hingga tahun sebelumnya tertakluk kepada kemampuan.

Mohd Redhani menegaskan bahawa Petronas kini sedang meningkatkan usaha untuk pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), bukan sahaja bagi mengurangkan pelepasan karbonnya sendiri tetapi juga untuk menjadikan Malaysia hab bagi CCS kerana geografi dan kapasitinya.

“Kebanyakan orang dalam industri memperkatakan tentang pemerangkapan karbon sebelum pembakaran. Inilah yang kami lakukan di luar pesisir Sarawak dan ini yang dilakukan oleh ramai orang. Di tempat lain pula bercakap tentang pemerangkapan dan penyimpanan selepas pembakaran.

“Mungkin pada suatu hari nanti kita mampu memiliki loji gas dengan pemerangkapan karbon selepas pembakaran. Ini adalah satu lagi ruang yang boleh dipertimbangkan oleh pemain industri minyak dan gas, perkhidmatan dan peralatan,” katanya pada sesi pleno eksekutif  “Merancang Masa Depan Minyak, Gas dan Tenaga Serantau”.

Sesi itu diadakan di luar acara Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) di sini hari ini.

Pemerangkapan karbon sebelum pembakaran merujuk kepada penyingkiran karbon dioksida (CO2) daripada bahan api fosil sebelum pembakaran selesai manakala pemerangkapan karbon selepas pembakaran ialah penyingkiran CO2 daripada serombong gas stesen janakuasa sebelum pemampatan, pengangkutan dan penyimpanannya dalam pembentukan geologi yang sesuai, sebagai sebahagian daripada proses pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

Menurut laman sesawang Petronas, kumpulan itu menggunakan teknologi CCS dalam medan CO2 yang tinggi. Ia bertujuan untuk terus memerangkap dan menyimpan pelepasan CO2 sementara teknologi dibangunkan bagi loji pemprosesan darat untuk menggunakan dan menukar CO2 kepada produk yang berharga.

Projek Kasawari Integrated Offshore High Contaminant di Sarawak, sebuah projek CCS, adalah sebahagian daripada komitmen karbon dan usaha pengurangan pelepasan gas rumah hijau Petronas. – Bernama, 14 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen