SEPULUH orang terbunuh dalam serangan udara hari kedua di wilayah Tigray di Ethiopia pada Rabu, kata seorang pegawai hospital
Serangan itu berlaku selepas pihak berkuasa di wilayah berkenaan menyatakan kesediaan untuk gencatan senjata.
Serangan dron berkembar itu berlaku kawasan kejiranan di ibu kota wilayah Mekele, membunuh 10 orang dan mencederakan yang lain, kata Kibrom Gebreselassie, seorang pegawai kanan di Hospital Rujukan Ayder, yang terbesar di Tigray.
“Jumlah kematian meningkat kepada 10,” kata Kibrom kepada AFP melalui mesej teks, selepas sebelum ini melaporkan enam terbunuh dan lebih 10 cedera dalam dua letupan itu sekitar 7:30 pagi (0430 GMT).
Fasika Amdeslasie, seorang pakar bedah di hospital yang sama, berkata pengeboman pertama mencederakan dua wanita, diikuti dengan “serangan dron ke atas orang ramai yang berkumpul untuk membantu dan melihat mangsa.”
“Antara mangsa, seorang bapa meninggal dunia dan anaknya dibawa ke hgospital untuk pembedahan”, katanya menerusi Twitter.
Terdahulu, jurucakap Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF), yang telah menentang kerajaan Ethiopia selama hampir dua tahun, berkata orang awam telah terbunuh dan cedera dalam serangan itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut. – AFP, 14 September, 2022.
Komen