PERTUBUHAN Bangs-bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan pada Selasa mengenai penahanan yang semakin meningkat di Ethiopia sejak negara itu mengisytiharkan darurat pada 2 November.
Majlis hak asasi manusia PBB berkata kebanyakan yang ditahan di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa, serta di Gondar, Bahir Dar dan lokasi lain adalah berasal dari Tigray.
“Menurut laporan, sekurang-kurangnya 1,000 individu dipercayai telah ditahan… dengan beberapa laporan melaporkan angka yang lebih tinggi,” kata jurucakap Liz Throssell kepada pemberita di Geneva.
Penangkapan itu berlaku sejak kerajaan Perdana Menteri Abiy Ahmed mengisytiharkan darurat dua minggu lepas, apabila kumpulan Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) mengancam berarak ke ibu negara.
Peguam turut berkata beribu-ribu warga Tigrayan telah ditahan sewenang-wenangnya sejak pengisytiharan itu, membolehkan pihak berkuasa menangkap sesiapa yang disyaki menyokong “kumpulan pengganas”.
Beberapa kakitangan PBB antara yang ditahan sejak darurat.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengulangi gesaannya agar kakitangan dibebaskan segera dalam satu kenyataan daripada jurucakapnya Stephane Dujarric petang Selasa.
“Setahu Setiausaha Agung, kakitangan itu ditahan tanpa dakwaan, dan tiada maklumat khusus diberikan berhubung sebab penahanan mereka,” kata Dujarric.
Throssell berkata 10 kakitangan PBB tempatan serta 34 pemandu subkontrak oleh PBB masih ditahan.
“Kami menyeru agar semua yang masih dalam tahanan dibebaskan segera,” katanya, menambah jika ia tidak terjadi, “mahkamah atau tribunal bebas lain harus menyemak sebab penahanan mereka, atau mereka harus didakwa secara rasmi.” – AFP, 17 November, 2021.
Komen