PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan udara ke atas sebuah tadika di Tigray, Ethiopia yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa termasuk dua kanak-kanak.
Diplomat PBB turut menggesa orang awam tidak sepatutnya dijadikan sasaran.
Sementara itu, Addis Ababa nafi bertanggungjawab ke atas insiden di kawasan awam di bandar Mekele semalam sambil mendakwa ia didalangi Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).
Menurut Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) serangan itu “memusnahkan sebuah tadika dan mengorbankan beberapa kanak-kanak, serta mencederakan yang lain”.
“Unicef mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara itu,” kata Pengarah Eksekutif Unicef, Catherine Russell di Twitter.
“Sekali lagi, peningkatan keganasan di utara Ethiopia menyebabkan kanak-kanak membayar harga mahal. Selama hampir dua tahun, kanak-kanak dan keluarga mereka di rantau ini menanggung penderitaan konflik ini. Ia mesti ditamatkan.”
Serangan bom itu berlaku hanya beberapa hari selepas tercetusnya pertempuran di sempadan selatan Tigray antara tentera kerajaan dan pemberontak TPLF sekali gus menamatkan gencatan senjata selama lima bulan dan memusnahkan harapan untuk rundingan damai.
Menurut TPLF, serangan udara itu adalah yang pertama dalam tempoh beberapa bulan ke atas Tigray. Ia memusnahkan sebuah tadika dan merosakkan kediaman orang awam.
Kerajaan berkata hanya markas tentera menjadi sasaran dan menuduh TPLF “membuang beg mayat palsu di kawasan awam” untuk memaksimumkan kemarahan.
Seorang pegawai di Hospital Ayder Mekele memberitahu AFP empat individu maut dalam serangan itu termasuk dua kanak-kanak manakala sembilan lagi cedera.
Rangkaian TV tempatan, Tigrai TV meletakkan angka kematian kepada tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak. – AFP, 27 Ogos, 2022.
Komen