Boeing bayar pampasan waris nahas Ethiopian Airlines


Penerbangan ke Nairobi dengan pesawat Boeing 737 MAX, dikendalikan Ethiopian Airlines, terhempas di tenggara ibu kota Addis Ababa enam minit selepas berlepas pada 10 Mac 2019. – Gambar EPA, 11 November, 2021.

BOEING bersetuju membayar waris mangsa nahas 737 MAX yang mengorbankan 157 orang di Ethiopia, dan mengaku bertanggungjawab terhadap nahas itu, menurut dokumen undang-undang yang difailkan di mahkamah Chicago pada Rabu.

“Boeing komited untuk memastikan semua keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kemalangan itu diberi pampasan penuh dan adil atas kehilangan mereka,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang diserahkan kepada AFP.

“Dengan menerima tanggungjawab ini, perjanjian Boeing dengan keluarga itu membolehkan semua pihak menumpukan usaha mereka untuk menentukan pampasan yang sesuai bagi setiap keluarga,” kata gergasi aeroangkasa itu.

Penerbangan 302 ke Nairobi, yang dikendalikan oleh Ethiopian Airlines, terhempas di tenggara ibu kota Addis Ababa enam minit selepas berlepas pada 10 Mac 2019.

Kemalangan itu mengakibatkan penggantungan pesawat 737 MAX, dan menjadi krisis terburuk dalam sejarah pengeluar pesawat Amerika, kerana ia berlaku selepas 737 MAX yang dikendalikan oleh Lion Air terhempas di Indonesia pada Oktober 2018, mengorbankan 189 orang.

Ketua peguam keluarga mangsa memuji perjanjian itu sebagai “bersejarah” dan “pencapaian penting bagi keluarga dalam mengejar keadilan terhadap Boeing.”

“Ia akan memastikan mereka semua dilayan secara saksama dan layak untuk mendapatkan ganti rugi penuh,” kata peguam Robert Clifford, Steven Marks dan Justin Green dalam satu kenyataan.

Perjanjian yang dicadangkan pada Rabu tidak menyebut jumlah tertentu, tetapi berkata juri akan bertanggungjawab menilai jumlah pampasan berdasarkan bukti dikemukakan.

Keluarga mangsa akan dapat mengambil tindakan mendapatkan pampasan di mahkamah AS. 

Seramai 157 orang yang terkorban terdiri daripada 35 kewarganegaraan yang berbeza.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam penerbangan 610 Lion Air dan Penerbangan 302 Ethiopian Airlines,” kata Boeing.

“Sejak kemalangan itu, Boeing membuat perubahan ketara sebagai sebuah syarikat, dan kepada reka bentuk 737 MAX, untuk memastikan kemalangan seperti itu tidak akan berlaku lagi,” tambahnya.

737 MAX, versi baharu pesawat jarak sederhana legenda yang asalnya dikeluarkan pada 1967, mencemarkan reputasi pengeluar pesawat itu dan menelan belanja berbilion dolar.

Pesawat digantung operasi selama 20 bulan sebelum dibenarkan terbang ke seluruh dunia secara beransur-ansur sejak penghujung 2020. 

Syarikat penerbangan menyambung kembali perkhidmatan yang melibatkan lebih 200 pesawat.

Pendengaran dijadualkan pada Selasa depan di Chicago untuk mengesahkan perjanjian awal ini. Kemudian akan ada sesi pengantara, tetapi jika ia gagal, setiap keluarga boleh mengemukakan kes mereka kepada juri untuk mendapatkan ganti rugi, mengikut undang-undang Illinois.

Pada Januari, Boeing bersetuju membayar lebih AS$2.5 bilion untuk menyelesaikan beberapa saman. 

Gergasi aeronatik itu mengakui dua pekerjanya mengelirukan FAA, pengawal selia penerbangan di AS. – AFP, 11 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen