Najib kekal ahli Parlimen Pekan sehingga pengampunan, usul selesai, kata speaker


Noel Achariam

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata buat masa ini status Najib sebagai ahli Parlimen Pekan tidak berubah sehingga selesai proses pengampunan dan semakan di Mahkamah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan akan kekal sebagai ahli Parlimen Pekan sehingga selesai proses pengampunan dan usul di Mahkamah Persekutuan, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata buat masa ini status Najib sebagai ahli Parlimen tidak berubah.

“Mengambil kira permohonan pengampunan yang telah dibuat sebelum ini dan juga usul tersebut di atas difailkan, maka status Najib sebagai ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak akan berubah dan akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul tersebut dibereskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin Azhar berkata Najib memohon pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Memandangkan terdapat permohonan pengampunan yang belum selesai, kerusi Pekan tidak akan dikosongkan sehingga Agong memutuskan sama ada menerima atau menolaknya,” katanya

Najib berada di Penjara Kajang sejak 23 Ogos selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan menyeleweng dana SRC International. Najib masih mempunyai kes lain berkaitan 1MDB yang belum selesai.

Menurut Azhar Najib memfailkan permohonan pengampunan diraja pada Jumaat iaitu dalam tempoh 14 hari berkanun selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.

Dilaporkan petisyen untuk pengampunan diedarkan di kawasannya di Pekan di mana Timbalan Ketua Bahagian Umno Zamri Ramly berkata beliau berharap sekurang-kurangnya 100,000 penduduk akan menandatangani.

Dalam temubual dengan portal berita Malaysiakini bekas peguam negara Tommy Thomas berkata pengampunan untuk Najib tidak boleh dilakukan secara sah buat masa ini kerana beliau mempunyai empat lagi kes dalam proses kehakiman.

“Jika anda seorang banduan, dan memohon, anda tidak boleh mempunyai kes jenayah lain.

“Dalam kes Najib, dia mempunyai empat lagi kes yang belum selesai, dua daripadanya semakin hampir penghujungnya. Perbicaraan pinda laporan audit 1MDB hampir selesai. Dan kes pendakwaan Tanore kini pada separuh jalan. 

“Dua lagi belum bermula (kes pengubahan wang haram SRC RM27 juta dan kes pecah amanah jenayah IPIC RM6.6 juta).

“Dalam semua kes ini, pihak pendakwaan mempunyai kes yang sangat kuat. Saya jangkakan dia akan diminta untuk membela diri. 

“Saya juga jangkakan Najib akan didapati bersalah. Jadi anda tidak boleh layan pengampunan untuk kesalahan nombor satu sedangkan anda mempunyai empat lagi kes yang belum selesai,” katanya dalam temubual portal berkenaan. – 8 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen