Ramai pilih pakai pelitup muka di tempat sesak


Elill Easwaran

Rata-rata bersetuju jika mandat pelitup muka ditamatkan dan setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

ORANG ramai masih memilih untuk memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada Covid-19 walaupun jika kerajaan memutuskan untuk menamatkan mandat pelitup muka.

Mandat itu dilaksanakan sejak Ogos 2020 untuk mengekang penularan virus tetapi minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata akan membuat pengumuman sama ada mandat pelitup muka untuk ruang tertutup akan ditarik balik.

The Malaysian Insight bercakap dengan rakyat Malaysia di seluruh negara untuk mengetahui sama ada mereka masih akan memakai pelitup muka walaupun mandat ditamatkan.


Firman Ghazali berkata sekarang adalah masa terbaik untuk menghapuskan mandat pelitup muka. – Gambar The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

* Firman Ghazali, 25, pengurus operasi francais dari Selangor:

Firman berkata akan tetap mengamalkan pemakaian pelitup muka pada setiap masa terutama di dalam ruang tertutup dan kawasan sesak.

“Saya masih akan memakainya jika mandat itu dihapuskan kerana Covid-19 masih ada dan pada masa ini kita tidak dapat menjangka siapa yang mempunyai virus itu.

“Malah orang yang tiada simptom boleh menularkan virus, jadi saya lebih suka memakai pelitup muka,” katanya.

Firman menambah beliau tidak fikir sekarang adalah masa terbaik untuk menghapuskan mandat pelitup muka.

“Walaupun dengan vaksin, masih terdapat kes baharu setiap hari dan ada yang menunjukkan simptom teruk.

“Sehingga kita pasti mengenai rawatan, sangat penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya,” katanya.

Yip Ze Liang akan terus memakai pelitup muka jika berada di tempat sesak. – Gambar The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

* Yip Ze Liang, 25, pengurus produk dari Ipoh:

Ze Liang berkata hanya akan terus memakai pelitup muka di tempat yang sesak seperti pusat membeli-belah dan pengangkutan awam.

Beliau bagaimanapun berkata jika kerajaan menghapuskan mandat, beliau akan berhenti memakai pelitup muka.

“Kita perlu kembali kepada kehidupan biasa tanpa rasa takut.

“Selain itu, saya tidak nampak gunanya jika saya seorang sahaja yang memakainya,” katanya.

“Sekarang kita sepatutnya berada pada tahap di mana kita menerima hakikat yang Covid-19 akan sentiasa ada dan mula bertanggungjawab dengan kesihatan kita sendiri.

“Jika anda sakit, maka duduk sahaja di rumah,” katanya.

Ng Foo Mun akan terus memakai pelitup muka demi keselamatan diri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 September, 2022.

* Ng Foo Mun, 65, pemilik tempat perlindungan haiwan dari Selangor:

Ng berkata masih akan memakai pelitup muka untuk keselamatan diri.

“Kalau kerajaan hapuskan mandat, saya tetap pakai sebab nak jaga diri.

“Kerajaan boleh menghapuskan mandat tetapi kita perlu bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri,” katanya.

Preshant Menon kesal pelitup muka dibuang secara tidak bertanggungjawab. – Gambar The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

* Preshant Menon, 27, pengacara dari Melaka:

Preshant berkata beliau tidak begitu mengambil berat tentang keseluruhan isu pelitup muka kerana ramai yang nampaknya tidak mematuhi.

“Bagaimanapun, saya tetap membawa pelitup muka, seperti kad pengenalan saya, dan akan memakainya apabila menaiki lif yang sesak atau di mana-mana sahaja di yang masih wajib.

“Jika kerajaan menghapuskan mandat maka saya mungkin akan berhenti membawa pelitup muka.

“Saya lebih semua suka memakai pelitup muka tetapi kita mempunyai lebihan bekalan pelitup muka, dan tiada siapa nampaknya mengambil inisiatif untuk membeli pelitup muka boleh guna semula,” katanya.

Tambahnya, agak mengecewakan melihat pelitup muka di jalan raya dibuang secara tidak bertanggungjawab.

* Nur Milya, 30, ejen pemasaran dari Johor:

Nur berkata jika mandat itu dibatalkan, satu-satunya tempat yang pasti akan dipakainya ialah dalam pengangkutan awam.

“Saya mengambil Grab untuk berulang-alik ke tempat kerja, jadi saya pasti akan memakai pelitup muka kerana berada di dalam kereta dengan orang yang tidak dikenali.

“Saya juga akan memakai pelitup muka jika ke pusat membeli-belah tetapi ia juga bergantung kepada kesesakan,” katanya.

* M.Sashi, 36, pemandu e-hailing dari Pulau Pinang:

Sashi berkata akan tetap memakai pelitup muka terutama ketika sedang bertugas walaupun kerajaan menghapuskan mandat itu.

“Mengambil pelanggan dari pelbagai latar belakang kadangkala membuatkan saya bimbang, terutamanya apabila menyedari saya akan pulang ke rumah bertemu anak-anak.

“Jadi, sama ada kerajaan menghapuskan mandat atau tidak, saya akan memakai pelitup muka untuk keselamatan diri dan juga keluarga saya,” katanya.

* Angeline Ang, 28, penerbit dari Kuala Lumpur:

Angeline, seperti yang lain, berkata akan memakai pelitup muka apabila berada di tempat yang sesak.

“Dua tahun memakainya, saya rasa sudah tiba masanya kerajaan menghapuskan mandat dan membiarkan orang ramai membuat keputusan sendiri.

“Saya pasti rakyat Malaysia sedar bila hendak memakainya dan bila tidak, jadi saya tidak nampak keperluan masih mempunyai mandat itu.

“Sebagai contoh, jika saya menaiki kereta api saya pasti akan memakainya tetapi jika saya berjalan di jalanan, mungkin saya tidak akan memakainya,” katanya.

Beliau menambah bilangan kes juga menurun tidak seperti tahun lepas, jadi lebih baik untuk menghapuskan mandat.

Malaysia terus menunjukkan sedikit penurunan dalam jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, mencatatkan 1,486 kes semalam.

Portal CovidNow Kementerian Kesihatan melaporkan daripada kes baharu itu, 1,484 kes ditularkan secara tempatan manakala dua kes import.

Kes aktif negara menunjukkan trend menurun juga dengan 27,546 dilaporkan pada Isnin.

Daripada kes itu, 94.9% atau 26, 154 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah manakala 16 lagi dirawat di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah. – 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen