Sektor pelancongan ambil masa untuk pulih, kata pemain industri


Khoo Gek San

Selepas pembukaan semula sempadan, kebanyakan pelancong yang datang dari Singapura, Thailand dan Indonesia, kata Presiden MITA Uzaidi Udanis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2022.

SEKTOR pelancongan akan mengambil masa lebih lama untuk pulih selepas terpaksa ditutup dua tahun berikutan pandemik Covid-19 dan terbaru perang antara Russia dan Ukraine, kata pemain industri.

Mereka berkata faktor lain yang menghalang pemulihan sektor itu termasuk harga bahan api yang tinggi, kenaikan tambang penerbangan dan kekurangan tenaga kerja dalam industri perhotelan, makanan serta minuman.

Beberapa pengusaha berkata walaupun ramai yang ingin melancong, mereka cenderung bercuti ke luar negara berbanding menggalakkan semula pelancongan domestik.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalaman Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata selepas pembukaan semula sempadan, kebanyakan pelancong yang datang adalah dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, semakin sedikit pelancong yang tiba dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Uzaidi bagaimanapun berkata, jumlah pelancong China ke Eropah, Turki dan negara lain meningkat.

“Selepas sempadan dibuka semula, kira-kira 600,000 rakyat Malaysia pergi ke Thailand, berbanding kira-kira 100,000 warga Thailand yang datang ke sini,” katanya.

“Jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Eropah dan Turki juga semakin meningkat. Ramai rakyat Malaysia yang berkemampuan memilih untuk melancong ke luar negara.”

Menurut data Kementerian Pelancongan, jumlah warga Singapura yang melawat Malaysia melebihi 1 juta dari Januari hingga Jun tahun ini.

Katanya, jumlah itu dianggarkan akan mencecah 2 juta orang menjelang akhir tahun ini.

Uzaidi berkata walaupun pakej pelancongan yang dijual pengusaha pelancongan meningkat sebanyak 20% berikutan harga minyak dan tiket penerbangan yang tinggi, rakyat Malaysia lebih gemar melancong ke luar negara.

“Walaupun inflasi, ia tidak menghalang rakyat Malaysia untuk melancong ke luar negara.”

Beliau berkata memandangkan rakyat Malaysia melancong ke luar negara, pengusaha membuka lebih banyak destinasi ke Pakistan dan negara lain.

Uzaidi juga berkata pemulihan sektor pelancongan domestik akan mengambil masa kerana mereka berdepan kesukaran dalam bahagian operasi.

Beliau berkata, sebagai contoh, jumlah feri ke Langkawi tidak mencukupi, di mana hanya terdapat tiga perjalanan sehari.

“Kos permohonan lesen kenderaan komersial untuk bas pelancong ditambah insurans mahal serta beberapa isu lain menyebabkan industri ini terikat.

“Kami berharap dapat bertemu dengan Kementerian Pengangkutan untuk membantu pengusaha dalam menyelesaikan masalah kami.”

Walaupun ramai pelancong mula berpusu-pusu ke Sabah, industri pelancongan di negeri ini masih belum pulih sepenuhnya, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2022.

Pengurus Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Bahagian Sabah Kennedy Fung berkata sektor pelancongan di Sabah semakin pulih.

“Walaupun ramai pelancong mula berpusu-pusu ke Sabah, industri pelancongan di negeri ini masih belum pulih sepenuhnya.

“Jumlah pelancong sudah mencecah 700,000, itu adalah baik, di mana kebanyakan mereka adalah dari Singapura, Hong Kong dan Taiwan termasuk penduduk tempatan.”

Beliau juga berkata terdapat isu kelewatan di mana terdapat sekatan imigresen dan pelepasan kastam hingga menyebabkan pelancong beratur panjang di lapangan terbang.

“Terdapat sekatan ke atas pelancong asing yang datang ke Sabah, seperti kuarantin dan pemeriksaan sijil vaksin yang melambatkan tempoh pelepasan.

“Harga tiket penerbangan, jumlah penerbangan yang tidak mencukupi, kejatuhan ringgit dan kadar tukaran juga menjejaskan pemulihan sektor pelancongan Sabah. Kami berharap kerajaan dapat membantu kami.”

Fung percaya industri pelancongan akan perlahan-lahan pulih, kerana Pameran Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MATTA Fair) sudah menjual pakej pelancongan sehingga RM15 juta.

“Rakyat Malaysia tidak dapat ke luar negara selama dua tahun, tetapi masih ramai yang suka melancong ke luar negara, walaupun pakej pelancongan itu 20% lebih mahal berbanding sebelum pandemik.”

Menurut Lembaga Pelancongan Sabah, seramai 44,108 pelancong antarabangsa dan 664,533 pelancong tempatan melawat negeri ini dari Januari hingga Jun tahun ini. – 6 September, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen