Banyakkan agensi untuk elak jemaah haji ditipu, kata persatuan


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Papuh Razali Mohd Sham menyatakan insiden bakal jemaah haji terkandas di KLIA boleh dielakkan jika TH benarkan lebih banyak agensi menganjurkan haji dan umrah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2022.

TABUNG Haji (TH) bersalah kerana menyebabkan ratusan bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bulan lalu, kata Persatuan Agensi Pengembaraan Umrah & Haji Malaysia (Papuh).

Presidennya Razali Mohd Sham memberitahu The Malaysian Insight perkara itu boleh dielakkan sekiranya TH membenarkan lebih banyak agensi menganjurkan haji dan ziarah umrah.

Beliau berkata, masalah itu berpunca daripada TH apabila ia memutuskan untuk mengeluarkan lesen pengendali haji (PJH) kepada agensi tertentu yang “disukai mereka”.

“Ini salah TH. Lesen (PJH) diberikan kepada agensi tertentu. Agensi yang tidak disukai TH tidak akan diberikan lesen.

“Apa jenis kriteria untuk mendapat PJH ini? Kita tidak tahu. Bagi kita (Papuh), TH sepatutnya membenarkan lebih banyak agensi yang mempunyai rekod prestasi baik untuk membawa jemaah haji atau umrah.

“Mereka tidak boleh menggunakan ejen sama sahaja. Perlu ada perubahan sistem dalam TH,” kata Razali.

Beliau berkata, beliau sudah bertemu dengan tiga menteri hal ehwal agama di bawah tiga kerajaan berbeza sejak empat tahun lalu mengenai isu itu tetapi rungutannya tidak diendahkan.

“Saya sudah berjumpa dengan menteri dari Pakatan Harapan, menteri hal ehwal agama Perikatan Nasional dan menteri Barisan Nasional-Perikatan Nasional sekarang.

“Jawapan yang diberikan kepada saya sama. ‘Tunjukkan kami bukti’ dan ‘tidak ada perkara seperti itu’ adalah jawapan yang saya terima.

“Bagaimana ini masih boleh berlaku (jemaah haji terkandas)? Ratusan umat Islam terkandas di lapangan terbang,” katanya.

Sebelum ini, Razali menuduh TH menjalankan sistem “kartel” dengan pemain yang sama sehingga merugikan jemaah haji.

Razali berkata, TH tidak sepatutnya melantik agensi sama setiap tahun untuk menganjurkan ibadah haji. Sebaliknya, agensi perlu digilir setiap dua tahun.

“Sudah tiba masanya sistem ‘kartel TH’ dirombak dan agensi lain diberi peluang menjadi pemegang lesen pengendali haji (PJH).

Agensi pelancongan haji dan umrah mesti memiliki PJH yang dikeluarkan TH. Menganjurkan haji tanpa lesen menjadi kesalahan di bawah Akta Tabung Haji 1995.

Hanya kira-kira 20 agensi PJH berdaftar dengan TH, dengan selebihnya memiliki lesen daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Pada 7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji mendapati mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

Kumpulan itu yang berkumpul di Aras 5 balai berlepas KLIA dikatakan diberi visa furada atau haji persendirian untuk menunaikan haji tanpa melalui Lembaga Tabung Haji.

Visa furada adalah visa persendirian yang dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan kuota yang diperuntukkan kepada TH.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2022.

Jemaah terkandas bukan salah TH

Sementara itu, bekas timbalan menteri hal ehwal agama, Fuziah Salleh berkata, isu jemaah yang terkandas bukan salah TH.

Ahli Parlimen Kuantan itu mengimbau kembali bagaimana kejadian serupa berlaku pada 2019 apabila ramai tertipu dengan visa furada yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi.

“Saya rasa jemaah haji mesti berhati-hati. Contohnya, jika kuota hanya 10,000, maka hanya 10,000 visa dikeluarkan manakala selebihnya perlu menunggu,” kata Zuraida.

“Ada satu lagi visa yang diberikan oleh Arab Saudi iaitu visa furada yang diberikan kepada VIP, contohnya menteri. Mereka boleh meminta visa furada dan ia akan dikeluarkan mengikut budi bicara kerajaan Saudi.

“Namun sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab akan menyalahgunakan visa ini untuk memperdayakan orang lain untuk mempercayai mereka boleh menunaikan haji dengan visa furada ini. Visa furada tidak ada kena mengena dengan Tabung Haji. Ia sama sekali berbeza.

“Walaupun anda mempunyai simpanan di TH, anda tidak boleh mengeluarkan wang jika anda menggunakan visa furada.”

Dilaporkan sebanyak 121 laporan polis dibuat berhubung penipuan pakej haji dan umrah menggunakan visa furada persendirian, membabitkan tiga agensi pelancongan.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, daripada RM5 juta kerugian yang dilaporkan, Kuala Lumpur mencatat jumlah laporan tertinggi (48) dan kerugian RM2 juta, diikuti Selangor 30 laporan dan RM956,300 kerugian.

Pahang mencatat 18 laporan dengan kerugian RM1.2 juta, manakala Kelantan, Perak dan Johor masing-masing menerima enam laporan dengan nilai kerugian RM608,000.

“Kedah menerima tiga laporan dengan kerugian RM48,000, manakala Negeri Sembilan merekodkan dua laporan dengan kerugian RM170,500 dan Terengganu serta Pulau Pinang masing-masing merekodkan satu laporan dengan jumlah kerugian RM70,000,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. – 2 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Saya ingin bersaksi tentang A S Ameritrade yang membantu saya menginvestasikan bitcoin saya dan menjadikan saya seperti sekarang ini, saya tidak pernah percaya dalam berinvestasi dalam bitcoin sampai saya bertemu A S Ameritrade. Saya melihat begitu banyak kesaksian tentang dia membantu orang untuk menginvestasikan bitcoin mereka. Saya memutuskan untuk menghubunginya dan menginvestasikan $500 dan, setelah 72 jam, saya mendapatkan keuntungan $ 5.000 saya di dompet bitcoin saya. Karena saya berinvestasi dengan mereka dan saya selalu menerima keuntungan saya tanpa penundaan, jadi jika Anda ingin menginvestasikan bitcoin Anda, A S Ameritrade adalah kesepakatan terbaik yang dapat Anda investasikan dan menghasilkan keuntungan adalah jaminan. Jadi, jika Anda ingin berinvestasi, hubungi saja dia dan dia akan memandu Anda tentang cara memulai investasi Anda. Surel: [email protected]

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Aileen Soffia · Ulasan