SEKURANG-KURANGNYA 26 orang maut dan puluhan lain cedera dalam kebakaran hutan yang memusnahkan 14 daerah di utara Algeria pada Rabu, kata menteri dalam negeri.
Kamel Beldjoud memberitahu televisyen kerajaan yang 24 orang terkorban dalam kebakaran di El Tarf, berhampiran sempadan Tunisia, selain dua mangsa lagi meninggal dunia sebelum ini di Setif.
Perkhidmatan kecemasan di Setif berkata dua wanita, seorang ibu berusia 58 tahun dan anak perempuannya berusia 31 tahun terbunuh di bandar itu.
Di Souk Ahras, berhampiran sempadan Algeria dengan Tunisia, orang ramai dilihat melarikan diri dari rumah mereka ketika api merebak sebelum helikopter pemadam kebakaran dikerahkan.
Angka kematian sebelum ini berkata empat orang di Souk Ahras melecur dan 41 lagi mengalami kesukaran bernafas, kata pihak berkuasa. Laporan media menyebut 350 penduduk sudah dipindahkan.
Menurut stesen televisyen Ennahar, kira-kira 50 orang dibawa ke hospital di El Tarf, sebuah bandar dengan penduduk sekitar 100,000.
“Sebanyak 39 kebakaran sedang berlaku di 14 daerah,” kata perkhidmatan kecemasan, sambil menyatakan El Tarf paling teruk terjejas, dengan 16 kebakaran.
Helikopter menggunakan baldi yang digantung untuk menjatuhkan air ke atas kebakaran di tiga kawasan, termasuk Souk Ahras.
Algeria menyewa sebuah pesawat “bom air” Rusia, tetapi ia rosak dan tidak dapat beroperasi sehingga Sabtu, kata Beldjoud.
Kebakaran mencetus semula perdebatan mengenai kebimbangan kekurangan pesawat yang mampu melakukan pengebom air di negara ini.
Menurut laman web Mena Defense, pihak berkuasa Algeria membatalkan kontrak dengan sebuah syarikat Sepanyol untuk membekalkan tujuh pesawat “bom air” berikutan pertembungan diplomatik Algeria dengan Madrid awal tahun ini.
Tiada tindakan diambil untuk menggantikan pesawat Sepanyol.
Sejak awal Ogos, sebanyak 106 kebakaran berlaku di Algeria, memusnahkan lebih 2,500 hektar kawasan hutan.
Beldjoud berkata beberapa kebakaran dimulakan oleh orang ramai.
Jumlah korban pada Rabu menjadikan jumlah orang yang terbunuh dalam kebakaran hutan musim panas ini mencecah 30 orang.
Algeria adalah negara terbesar di Afrika tetapi ia hanya mempunyai 4.1 juta hektar (10.1 juta ekar) hutan.
Setiap tahun utara negara itu terjejas oleh kebakaran hutan, masalah yang semakin teruk akibat perubahan iklim.
Tahun lalu, sekurang-kurangnya 90 orang maut dalam kebakaran hutan yang memusnahkan utara Algeria, melibatkan lebih 100,000 hektar kawasan hutan. – AFP, 18 Ogos, 2022.
Komen