PRESIDEN Algeria Abdelmadjid Tebboune menjanjikan bantuan AS$100 juta kepada rakyat Palestin, ketika pemimpin Palestin Mahmud Abbas melawat Algiers pada Isnin.
Tebboune berkata pada sidang akhbar bersama yang sumbangan itu “selaras dengan sejarah revolusioner Algeria dan komitmen seluruh rakyat Algeria bagi menyokong perjuangan Palestin yang adil dalam semua keadaan”.
Algeria akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak Liga Arab pada Mac 2022, yang pertama sejak Maghribi memperbaharui hubungan dengan Israel.
Tebboune berkata pada Isnin yang Algeria merancang menjadikan perjuangan Palestin sebagai fokus acara penting itu.
Televisyen Algeria juga melaporkan Tebboune merancang menjadi tuan rumah kepada perbicangan isu Palestin.
Lawatan pemimpin Palestin itu ke Afrika Utara, yang turut merancang melawat Tunisia, dilakukan dua minggu selepas Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz menandatangani perjanjian pertahanan yang belum pernah terjadi sebelumnya dengan Maghribi.
Perjanjian itu mencetuskan lagi ketegangan dengan Algeria, yang melihat kerjasama pertahanan Israel dengan kerajaan itu sebagai bahaya kepada keselamatan negaranya.
Seorang pegawai tinggi Algeria berkata lawatan Gantz “mensasarkan” negaranya.
Algiers memutuskan hubungan diplomatik dengan Rabat pada Ogos, menyifatkan tindakan “bermusuhan” oleh Maghribi, yang dinafikan kerajaan itu. – AFP, 7 Disember, 2021.
Komen