Masjid banyak tetapi rasuah berleluasa


Mohd Syazreen Abdullah

ISLAM datang bukan tujuan menghapuskan seni. Dalam seni Islam, keindahan dipandang sebagai refleksi keindahan Ilahi. Islam tidak pernah memisahkan keindahan daripada pembuatan dan rekaan.

Namun kemodenan menghilangkan sedikit demi sedikit rasa batin terhadap keindahan dan kemuliaan sesuatu seni yang dianggap manifestasi dari Ilahi.

Malang banyak orang Islam tidak memahami makna seni bina rekaan. Sedangkan seni itu mempunyai tradisi kerohanian yang mapan. Dan ia wujud dalam rumah Allah atau masjid.

Masjid sebagai pusat penyatuan. Tempat penyebaran kebaikan. Ia seiring dengan prinsip tauhid iaitu kesatuan (attawhid). Masjid tempat menarik manusia untuk membina seni rasa dan perenungan memahami keindahan beragama. Sebagaimana budaya masyarakat Muslim yang pernah terjadi suatu masa di Masjid Sultan Hasan, Kaherah, Mesir dan Madyan-I Naqsh -I Jahan di Isfahan, Iran. 

Kelembutan dan keindahan seni rasa halaman-halaman masjid berperanan memindahkan perasaan itu kepada hubungan Tuhan, manusia dan alam. Namun tidak lagi dirasai pada hari ini akibat ketumpulan sifat kerohanian. 

Dalam erti kata luas, gagal difahami. Maka tidak pelik simbolik agama disalah erti dengan hal-hal yang bertentangan pada kerohanian.

Masjid simbol sakral keagamaan. Namun tidak semua simbol dimaknai kejujuran. Simbol agama nampak sahaja indah sebaliknya tidak semuanya sejati. Banyak dijadikan tempat tunggangan orang-orang zalim untuk kemungkaran. 

Sebahagian agamawan pula ada yang gilakan simbol konon mahu tampil lebih islamik. Sedangkan roh bangunan, kota, dan reka bentuk seni tersebut selalu dihapuskan dalam pemaknaan sebenar. 

Hal ini mengarahkan kesedaran sekular dalam pemikiran yang memisahkan unsur sakral terhadap sesuatu simbol. Ironi sungguh orang-orang agama hari ini yang lantang melawan fahaman sekular tetapi mereka sendiri mendukung cara pandang tersebut.

Justeru, segelintir agamawan tidak insaf menjadikan masjid sebagai tempat menyebarkan dogma kebencian, prasangka dan hal-hal karut marut sehingga perpecahan tercipta. Begitulah masjid sebagai sarang kebencian yang dipamerkan.

Maka masyarakat sentiasa keluh kesah mengenai masjid sebagai bangunan yang bukan lagi mencerminkan rahmah seperti isu-isu dimainkan bacaan al-Quran, zikir dan kuliah agama di corong pembesar suara sehingga ia mengganggu persekitaran masyarakat.

Oleh kerana itu tidak pelik kejadian seorang lelaki Islam terasa terganggu bunyi kuat dari pembesar suara di sebuah surau di Ampang akhirnya dia ditahan polis sebab mengganggu kuliah subuh tersebut. Sedangkan tindakan dari surau itu yang benar-benar bertentangan dengan sifat rahmah masjid. 

 

Lebih teruk lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad sendiri gagal memahami dan melihat masalah hal ini. Katanya seolah-olah terkejut terhadap tindakan kekecohan daripada lelaki itu yang tidak patut berlaku di surau. 

Sering kali terjadi kekecohan begini kerana aktiviti keagamaan seperti kuliah, ceramah yang menggunakan pembesar suara mengganggu kehidupan keharmonian masyarakat majmuk. 

Perkara “common sense” begini tidak perlu tunggu penganut agama lain yang marah, orang Islam yang rasional pasti marah dan tidak selesa hal-hal ini menjadi sebagai budaya kehidupan masyarakat.

Janganlah terkejut kalau orang Islam buat kecoh di masjid. Lebih teruk kita tidak mahu insaf dan menghukum orang-orang itu. Perkara asas melibatkan keharmonian rukun tetangga pun kita sudah gagal.

Jadi bagaimana kita mahu merenung hal-hal yang sakral dan transenden di sebalik kewujudan seni dan reka bentuk masjid yang sudah tentu memerlukan kecerdasan nalar dan kerohanian?

Sekiranya menteri agama tahu keluasan seni Islam yang tersirat pada rekaan rumah Allah, mungkin dia harus lebih terkejut pada tindakan surau yang tidak manusiawi memasang pembesar suara sehingga mengganggu ketenteraman awam. Sesungguhnya itu bukan sifat sejati rumah Allah. 

Beliau harus tahu bahawa dalam reka bentuk seni Islam paling penting adalah konsep kesatuan (attawhid). Prinsip ini memberi kesan kesalingkaitan semua unsur dan metafizik kepada Ilahi. 

Menurut tokoh falsafah Islam, Syed Hossein Nasr  dalam arkitek reka binaan wujud kesatuan (attawhid) dalam unsur-unsur yang mewujudkan keberadaan hal-hal sakral dalam semua perkara, sekali gus menanggalkan perkara sekular yang memisahkan unsur sakral terhadap sesuatu perkara. 

Penciptaan sesuatu dari tangan manusia itu harus meninggalkan refleksi kepada Ilahi. Unsur tauhid wujud dan bermaksud memberi penyatu paduan atau integrasi yang akhirnya terpantul manifestasi kedamaian, kebajikan, kelembutan dan kemanusiaan sejagat. Hal ini patut subur mekar dalam keindahan beragama.

Malang sekali pemikiran Ilahi dalam benak minda agamawan tidak wujud hari ini. Mereka gagal mencerap keluasan rahmah Ilahi. Manifestasi keindahan dan kemanusiaan yang tuhan mahu sebarkan bertukar kepada manifestasi kemungkaran, kebencian, dan marah-marah. 

Setiap bangunan yang direka seni bukan dibina semata-mata memenuhi unsur keduniaan dan nafsu kebinatangan. Sebaliknya untuk menembus ajaran wahyu dan pesan nabi di setiap seni dan ukiran yang terbina. 

Kota Islam dan rumah-rumah ibadah bukan dibina semberono untuk nampak paling islamik tetapi kosong penghayatan. Lebih hina semakin banyak rumah ibadah tetapi semakin banyak kerosakan dan kezaliman.

Jadi, mana berkadnya negara yang katanya banyak dirikan masjid tetapi masih bermudah-mudah tentang soal rasuah dan kezaliman?

Inilah kejahilan masyarakat Melayu Islam kita yang tidak nampak masalah besar melingkupi soal kemanusiaan dan kesejahteraan umat tetapi mengaburi soal masalah tersebut dengan penampilan simbol islamik. Akhirnya agama sekadar barang niaga dan ditunggang untuk kepentingan duniawi. 

Lihatlah banjiran masjid di negara ini yang gagal menembus hujan rahmat kepada masyarakat dan azan gagal menyeru kepada ajakan kebaikan. Lihat di kota Islam semisal Fez atau Isfahan. Cuba renungkan keunikan reka bentuk seni Court of Lions di Alhambra atau di Paviliun taman di Fin Garden di Kashan atau Shalimar di Lahore.

Nescaya kita akan menyedari bahawa setiap binaan dari unsur itu membentuk cahaya kesatuan (attawhid) yang berfungsi kepada masyarakat untuk mementingkan hal-hal yang indah seperti dalam hadis menyebut “sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan.”

Keindahan ini yang diperlukan masyarakat yang manusiawi dan beradab. Kita perlukan masyarakat yang tinggi penghayatan rohani dan kemanusiaannya. Mereka tahu setiap sesuatu di alam ini wujud dan berfungsi sejajar dengan keindahan Ilahi sekali gus melengkapi kehidupan yang abadi.

Pemikiran mereka penuh dengan sifat keindahan dan jauh daripada sifat hasad dengki yang mengundang kemungkaran dan kezaliman. Justeru mereka tahu setiap binaan dalam rumah Allah, pola-pola geometri, batu bata, dinding, gedung dan ruang itu tidak sekadar dibina semata-mata mengajak manusia kepada kemungkaran sebaliknya ia selari dengan penciptaan sifat Tuhan yang sukakan keindahan dan kebaikan.

Masjid bukan tempat kosmetik, sebaliknya lambang atau simbol wahyu Islam dan syiar yang penuh dengan manusiawi dan harmoni.

Justeru, masjid bukan sekadar pusat umat untuk kegiatan keagamaan, tetapi juga kegiatan ekonomi, rumah peribadi, rumah keselamatan orang-orang yang ditindas dan sekolah serta tempat pusat kemanusiaan.

Hal ini sekali gus usaha menghubungkan unsur sakral yang wujud dalam setiap binaan lalu dimanifestasikan kesatuan dalam kehidupan yang damai dan manusiawi. 

Masjid di Malaysia tidak banyak mempunyai semangat begitu, kalau ada pun seperti Masjid al-Busyra di Merbok yang cuba menghidupkan semangat manusiawi ini. Mereka tidak kekok dengan masalah realiti dan berusaha menghidupkan ruh kesatuan tersebut dengan membina koperasi, kedai makan dan banyak lagi kebajikan umat. 

Semua itu datang dari jiwa yang menghayati unsur disebalik seni bina rumah Allah. Penghayatan utama terhadap perinsip moral dan kebajikan sekali gus melengkapi syariah yang meliputi ibadah, muamalah dan budaya sebagai syiar yang mengajak umat lebih berakhlak. 

Jangan jadikan rumah Allah sebagai tempat pembodohan dan medan membodohkan ummat. Kejahilah memaknai fungsi masjid mengakibatkan wujudnya hal-hal merapu yang sering terjadi di dalam kehidupan masyarakat hari ini. 

Demikian, baru kita tahu mengapa negara kita banyak masjid tetapi seolah tidak berkah akibat budaya rasuah dan tidak manusiawi yang berleluasa kerana orang Melayu Islam kita suka berpesta solat berjemaah di masjid untuk kejar pahala 27 kali ganda berbanding diajar merenungi segala manifestasi rahmah dan kemanusiaan di sebalik rahsia rumah Allah. – 15 Ogos, 2022.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen