Jualan tak terjejas tapi peniaga rayu kecualikan vape dari GEG


Mohd Farhan Darwis

Persatuan yakin pasaran rokok elektronik itu dapat bertahan sehingga 70 tahun mendatang. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2022.

CADANGAN undang-undang bagi dasar generasi penamat rokok (GEG) tidak menjejaskan jualan produk rokok elektronik namun pengusahanya tetap mahu ia dikecualikan dari akta berkenaan.

Badan mewakili penjual ini, Malaysian Organization of Vape Entity (Move) mendesak demikian kerana percaya ia dapat membantu perokok meninggalkan tabiat itu.

Pengerusinya Samsul Kamal Arifin Mohd Basir mendakwa rokok elektronik tersebut lebih selamat berbanding rokok tradisional berdasarkan dapatan yang didakwanya sebagai “kajian sains”.

“Vape digunakan untuk mereka yang berhenti merokok dan ini lebih selamat (berdasarkan) kajian sains. Selain itu vape juga 95% lebih selamat berbanding rokok.

“Kenapa disamakan dalam undang-undang ini,“soalnya, merujuk peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok.

Samsul Kamal melihat, pasaran rokok elektronik masih mampu bertahan sehingga 70 tahun akan datang kerana generasi yang lahir sebelum tahun 2007 tidak terikat dengan polisi tersebut.

 “Ia akan dijalankan pada 2025, masa mereka sudah 18 tahun. Tapi pasaran sedia ada masih ada, siapa yang dilahirkan sebelum 2007 masih boleh beli rokok dan vape.

“Pasaran sedia ada masih ada, yang kata terjejas itu saya tak faham sangat, (peniaga) masih boleh berniaga antara 60 hingga 70 tahun lagi, tidak ada masalah.

“Cuma tidak ada pasaran baharu selepas itu,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

“Pada saya tidak (menjejaskan peniaga), kalau difahami RUU ini mereka (terlibat) dilahirkan selepas 2007 dan seterusnya.

“Bermaksud mereka yang lahir lepas 2007 sampai bila-bila tak boleh beli rokok dan vape,” kata Samsul Kamal.

Tambahnya, walaupun mereka menyokong undang-undang itu secara dasar, mereka menolak peruntukan yang bakal menjadikan pesalahnya sebagai penjenayah.

“Tapi pelaksanaannya saya tidak setuju, dan juga hukumannya terlalu berat, ia menjadikan pengguna terlibat dengan kesalahan jenayah.

“Kita tak nak undang-undang ini menjenayahkan pengguna. Ia juga beri terlalu banyak kuasa kepada pihak penguatkuasa.

“Mereka boleh masuk premis, rampas komputer, telefon dan produk tanpa waran,” katanya.

Samsul Kamal berkata, walaupun niat pelaksanaan polisi generasi penamat itu dilihat baik namun katanya ia dikhuatiri mencetuskan masalah baharu yang lebih besar.

Oleh yang demikian pihak berwajib harus lebih teliti dalam pelaksanaannya selain mendapatkan pandangan pemegang taruh sebelum ia dilaksanakan.

“Niat itu baik tetapi kalau katalah dilaksanakan atau diluluskan dengan tergesa-gesa mungkin niat itu akan menjadi sesuatu yang dicapai itu menjadi lebih buruk, itu yang kami tidak mahu,” katanya.

RUU itu mencadangkan larangan terhadap individu dilahirkan dari 2007 membeli, memiliki dan menggunakan rokok atau produk tembakau yang dipanaskan atau vape.

RUU yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Julai oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memperuntukkan hukuman denda bernilai RM5,000.

Selepas bantahan banyak pihak, kadar denda itu diturunkan 90% kepada RM500 dan peruntukan hukuman penjara bagi remaja berusia bawah 18 tahun juga dipinda.

Kumpulan pesalah itu sebaliknya akan dikenakan denda rendah, khidmat masyarakat atau kaunseling mandatori.

Pandangan Move itu katanya sudah disuarakan kepada KKM termasuk anggota ahli jawatankuasa pilihan khas Parlimen, sewaktu bacaan kali kedua RUU itu di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dewan Rakyat pada waktu itu bersetuju agar RUU tersebut diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.

Selain itu, RUU berkenaan turut menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Ia turut mengawal aktiviti pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Seorang peniaga terbabit, Firdaus Zulkifli juga berharap vape dikecualikan dari akta tersebut kerana ia menjadi mata pencarian rakyat tempatan dan tidak menguntungkan syarikat rokok besar.

Katanya, beliau sendiri mula menjual vape selepas dibuang kerja sebagai penolong jurutera akibat kawalan pergerakan ketika serangan pandemik Covid-19 sekitar Mac, 2020.

Firdaus berkata, pampasan yang diterimanya akibat pemberhentian itu digunakan untuk memulakan perniagaan menjual vape yang menjadi mata pencariannya untuk menyara kehidupan keluarganya.

“Saya faham kerajaan serius dalam hal untuk melawan gejala merokok dan vape di kalangan dewasa namun, saya amat terkilan.

“Haramkan sahaja rokok untuk generasi tersebut. Rokok dibiayai syarikat syarikat global yang besar. Mereka tidak terkesan jika rokok diharamkan.

“Tapi janganlah mengharamkan vape. Vape merupakan mata pencarian ramai usahawan Bumiputera.

Move menganggarkan terdapat kira-kira 3,000 usahawan dan pengusaha vape di Malaysia yang menyediakan 15,000 pekerjaan untuk pasaran satu juta pengguna.

Kumpulan pakar kesihatan menolak sepenuhnya sebarang kebaikan dalam penggunaan tembakau dan vape kerana mudaratnya yang lebih besar.

Data kementerian menunjukkan negara menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025.

Dasar GEG yang merupakan pengharaman berperingkat bertujuan mengurangkan kelaziman merokok bagi memanjangkan tempoh perlindungan kepada kanak-kanak dari tahun ke tahun.

Pakar mempertahankan hukuman berat kepada penjual kerana mengakibatkan ketagihan dan menjejaskan kesihatan kanak-kanak.

Mereka juga menolak propaganda syarikat rokok bahawa langkah dasar dan pelaksanaan GEG akan meningkatkan penyeludupan rokok. – 8 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen