Ahli Parlimen perlu sokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok


AHLI Yang Berhormat (AYB) mempunyai tanggungjawab moral bagi menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok dan memastikan wakil parti di Parlimen mengundi menyokong RUU berkenaan.

Saya meneliti kenyataan beberapa pemimpin politik baik di dalam media arus perdana mahupun media sosial.

Saya berasa amat terkilan dengan kenyataan retorik mereka yang tidak menyokong atau menzahirkan kebimbangan yang tidak berasas atau meletakkan syarat sebelum menyokong, yang sebahagian besarnya mengalunkan irama yang sama dengan nada yang disuarakan oleh pihak industri.

Sebab itu saya terpanggil di dalam penulisan saya sebelum ini meminta parti dan pegawai parti untuk mengisytiharkan kepentingan mereka berkait dengan industri rokok dan vape. Jika AYB atau parti AYB menerima sumbangan kewangan dari syarikat rokok atau vape, sewajarnya AYB mengisytiharkan kepentingan AYB sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan dengannya.

Berikut adalah 10 perkara yang ingin saya bangkitkan:

Saya terkilan bila saudara YB Anwar Ibrahim berkata jangan “bulldoze” sahaja RUU ini seolah-seolah saudara tidak memahami bagaimana pegawai kerajaan melakukan proses penggubalan RUU, sedangkan saudara pernah berada di dalam kerajaan.

RUU ini antara RUU yang paling lama untuk digubal di Kementerian Kesihatan (KKM) dan untuk sampai tahap ini. Saya tahu kerana saya sendiri terlibat menggerakkan semula penggubalannya semasa menjawat jawatan timbalan ketua pengarah kesihatan (Kesihatan Awam) dan dirancakkan setelah kami gagal mendapatkan persetujuan Kabinet pada 2016 untuk mengharamkan vape dan sebaliknya hanya mahu ia dikawal.

Beberapa siri “public and close door engagement” dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak industri telah dilakukan untuk beberapa tahun. Kita mendengar semua pihak dan draf ini telah mengambil kira instrumen Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana kita adalah negara ahli, serta amalan baik negara lain. Menteri kesihatan silih berganti namun saya amat berterima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin yang mempunyai “political will” untuk membawa RUU ini ke Parlimen.

Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri kerana Kabinet beliau bersetuju RUU ini dibawa ke Parlimen, kerana saya telah menunggu lebih dari 5 tahun selepas persaraan pilihan (2017) untuk melihat ini berlaku.

Ramai ahli Parlimen mempersoalkan keberkesanan atau ingin kepastian mengenai keberkesanan pelaksanaan dan penguatkuasaan khususnya “Generational End Game” (GEG). Saya ingin bertanya kepada AYB sekelian, apakah sebenarnya pendirian atau pegangan AYB terhadap rokok dan vape?

Apakah AYB berpendirian masih ada kebaikan dalam penggunaan tembakau dan vape? Tembakau tidak sama dengan alkohol sebab itu tembakau adalah satu-satu produk komoditi yang di kawal di bawah instrumen antarabangsa WHO (FCTC) kerana buruknya kesan tembakau dan merokok, termasuk vape.

Jika kita sudah menerima hakikat bahawa ia buruk kepada kesihatan dan ekonomi negara, kenapa masih teragak-teragak? Tugas AYB adalah untuk membuat dan menentukan hala tuju dasar. Jika rokok dan vape itu memudaratkan kesihatan dan membebankan kerajaan menanggung akibat tabiat buruk tersebut maka dasar yang betul adalah negara harus bebas dari ancaman tembakau dan vape.

Maka tugas AYB adalah meluluskan RUU ini kerana itulah dasar yang hendak dicapai. Lepaskan tanggungjawab memperincikan pelaksanaan kepada pakar kesihatan, sosial dan undang-undang yang berkaitan, mereka lebih arif.

Ada AYB yang ragukan pelaksanaan kaedah yang belum terbukti keberkesanannya, sehingga ada mencadangkan tempoh pemantauan. Kenapa YB Wong Chen menyamakan RUU ini dengan kaedah fiskal kerajaan seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)? 

RUU ini bukan kawalan tembakau melalui tindakan fiskal untuk menggunakan kaedah seperti RUU GST. RUU ini juga bukan berkait dengan keselamatan negara atau ketenteraman awam untuk mengada peruntukan semakan atau tempuh tamat (sunset clause).

Kenapa RUU ini perlu dilayan sedemikian? Saya nak tanya, RUU mana yang perlu ditunjukkan keberkesanannya sebelum dibentang di Parlimen? Banyak peruntukan disandarkan kepada pengetahuan dan bukti saintifik.

Yang menggubal adalah profesional kesihatan dari pelbagai bidang. Ambil contoh peraturan “plain packaging” di Australia, yang berasaskan kepada sains tingkahlaku dan pengaruh penampilan, apakah Parlimen Australia perlukan pembuktian sebelum meluluskan undang-undang tersebut? Tidak, tapi itulah yang dicanangkan oleh pihak industri, tetapi parlimen Australia tegas. Dan hasilnya, antara 2012 hingga 2015, kajian menunjukkan penurunan 25% prevalen merokok di Australia adalah disebabkan oleh “plain packaging”.

Kenapa generasi penamat masih diragukan? Sebenarnya, kaedah terbaik adalah pengharaman sepenuhnya tembakau dan merokok seperti dilakukan oleh Brunei. Kita juga terlepas peluang mengharamkan vape dalam tahun 2016 seperti yang dilakukan oleh Singapura.

Semasa membentangkan kepada Kabinet pada 2016, pengharaman vape adalah antara pilihan yang dicadangkan oleh KKM. Kerana kerajaan tidak mahu mengharamkannya secara total sekali gus, maka generasi penamat adalah alternatif iaitu pengharaman berperingkat. Peraturan sedia ada sudah pun menghalang penjualan hasil tembakau kepada kanak-kanak 18 tahun ke bawah.

Prevalen merokok di kalangan remaja bawah 17 tahun masih di bawah 15% berbanding dengan orang dewasa yang boleh mencecah 40-45%. Di bawah GEG, kita hanya mahu memanjangkan tempoh perlindungan kepada kanak-kanak dari tahun ke tahun. Tahun ini 17 tahun, tahun depan 18 tahun, tahun berikutnya 19 tahun, dan seterusnya sehinggalah mereka tua.

Logiknya dengan kaedah ini kita akan mencapai prevalen di bawah 15% seperti yang disasarkan suatu hari nanti. Bayangkan nanti pada 2045, generasi mereka yang berumur 18 tahun pada 2023 akan berumur 40 tahun dan prevalen merokok generasi ini kekal di bawah 15%, tidak seperti generasi sekarang yang berumur 40 tahun dengan prevalen melebihi 40%. YB Lim Lip Eng, apakah yang dimaksudkan dengan “workable manner”?

Pengharaman penjualan rokok kepada kanak-kanak bawah 18 tahun sememangnya telah pun dilaksanakan sekarang dan “and it is working and partly contribute to the prevalence being maintained at below 15%. It is our political will to make it happen”.

Ada juga yang mempersoalkan keberkesanan pengharaman penjualan kepada kanak-kanak. Tetapi saya nak tanya AYB, RUU mana di negara ini yang penguatkuasaannya begitu “tip-top” sehingga ia dijadikan modal untuk mempersoalkan keberkesanan penguatkuasaan RUU ini nanti? AYB, terimalah hakikat bahawa di negara ini kita mempunyai isu besar dalam penguatkuasaan undang-undang.

Gunung-ganang dan bukit bukau ditarah dengan rakus hingga rumah rakyat hanyut dibawa arus lumpur, walaupun ramai yang mempersoalkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan tapi kita buat-buat tak dengar. 

Ratusan juta saman trafik yang tidak dibayar tapi kerajaan mendidik rakyat buat tak kisah, nanti kerajaan bagi diskaun. Akibatnya, saban tahun kadar kemalangan dan kematian di jalan raya kekal tinggi. Tak usahlah cakap fasal rasuah, AYB sendiri tahu di mana kedudukan kita.

Sebenarnya pada saya AYB lah yang turut membiarkan masalah penguatkuasaan sedemikian rupa. Selagi tidak ada kehendak politik (political will) untuk membetulkan kepincangan ini, selagi itu jangan jadikan keberkesanan penguatkuasaan sebagai alasan. 

Ayuh AYB, kerajaan hari ini dan mana-mana parti yang membentuk kerajaan akan datang, beriltizamlah bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang diperkukuhkan, bukan sahaja RUU ini, tapi semua RUU yang ada di negara ini, tanpa memilih bulu, tanpa membezakan rakyat marhaen dengan “bangsawan” di bumi kayangan.

Sudah-sudahlah mempersoalkan keberkesanan perlaksanaan, tapi bertindaklah bagi memastikan ia dilaksanakan dengan memberi peruntukan yang mencukupi dengan menutup ketirisan kewangan kerajaan akibat rasuah. 

Ya, sebenarnya kita memerlukan “a total political reform” yang juga memerlukan kehendak politik yang cukup kuat. Apakah kita tidak mahu berusaha menyelamatkan generasi akan datang? Sepatutnya AYB dengan tegas membuat dasar “zero tolerance” kepada rasuah.

Ada pula yang mempersoalkan apa nak buat jika kanak-kanak ditangkap, siapa yang patut dikompaun atau dipenjarakan? Kanak-kanak patut dididik, dan yang bersalah patut dihukum yang berbentuk pendidikan.

Tetapi bagi kesalahan menjual oleh penjual dewasa, mereka wajar dihukum penjara kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka yang mengakibatkan ketagihan dikalangan kanak-kanak dan menjejaskan kesihatan mereka apabila dewasa kelak.

Apakah mereka ini akan menjual rokok kepada anak-anak mereka sendiri yang di bawah umur? Sudah sampai masanya, penjualan rokok dan vape dilesenkan bagi memperkukuh pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan.

Begitu juga dengan isu mengkaitkan penguatkuasaan dengan penyeludupan rokok haram. Sudah-sudahlah memainkan hujah industri ini. YB Lim Lip Eng, beritahu saya apa yang tidak diseludup masuk atau keluar di negara ini? Minyak masak, minyak petrol dan diesel, manusia dan pemerdagangan manusia?

Kebolosan sempadan negara semua orang tahu. Keberadaan anggaran lebih 4 juta warga asing tidak sah semacam sudah diterima sebagai satu kelaziman sehingga ada antara mereka sudah menguasai sektor ekonomi tertentu.

Jika benar berlaku penjualan produk haram berleluasa, AYB sepatutnya bertanya pada diri sendiri sebagai pemimpin, apa yang sudah AYB buat?

Ahli parti YB berada dalam kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, apa yang mereka buat? Di Sabah tak usah cakap, kekusutan yang tiada kesudahannya. 

AYB tahu apa yang patut dibuat bagi mengatasinya, tetapi sejauh mana kerajaan atau parti-parti yang akan membentuk kerajaan di semua peringkat – pusat, negeri dan kerajaan tempatan, mempunyai kehendak politik untuk merungkai dan menangani masalah ini? Kenapa lihat Bhutan, kenapa tidak lihat Brunei, Singapura dan Australia? Jangan sesekali berhujah bahawa kebolosan sempadan kita kerana persisiran pantai dan sempadan yang luas.

Sempadan negara-negara maju lain jauh lebih besar dari Malaysia. YB Maria Chin, “gajah di dalam bilik” hanya perlu ditembak dengan menyediakan “peluru” yang diperlukan oleh pihak berkuasa. Gajah ini akan kekal di dalam bilik selagi kita tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki proses dan persekitaran kerja agensi-agensi penguatkuasa. 

Kita mesti hancurkan budaya rasuah dalam sistem bernegara kita hingga ke akar umbinya. Tapi bermoralkah kita untuk menangguhkan perlindungan terhadap generasi akan datang sehingga semua ini berlaku?

Jadi jika isu penyeludupan ini bukan isu rokok semata-mata, kenapa ia dikaitkan dengan RUU ini? Kerana itulah yang dimainkan oleh pihak industri khususnya setiap kali hampir dengan bulan bajet. 

Kenaikan cukai eksais adalah satu strategi berkesan yang disarankan oleh WHO bagi mengawal kebolehcapaian produk tembakau. Tetapi setiap kali kenaikan cukai eksais diusulkan, maka bertambah kuatlah hujah pihak industri memainkan sentimen bahawa kenaikan harga rokok akan menyebabkan meningkatnya penyeludupan dan kehilangan pendapatan kepada kerajaan.

Malangnya AYB turut mendendangkan irama yang sama. Tapi saya nak dedah kepada AYB, antara 2011 hingga 2013, tiada kenaikan cukai dikenakan, tetapi industri rokok naik sebanyak 3 kali harga rokok premium daripada RM9.30 sekotak (2010) kepada RM10.50 (2013). Begitu juga pada 2015, tiada cukai dinaikkan tapi harga rokok premium naik kepada RM13.50.

Saya tahu kerana saya adalah pegawai yang diberi kuasa meluluskan harga-harga tersebut waktu itu. Yang ajaibnya, tiada pula kedengaran cerita-cerita penyeludupan berlaku, akhbar arus perdana pun senyap sepi mengenainya. 

Begitulah cerdiknya pihak industri bermain sentimen penyeludupan ini. Sudah-sudahlah kita diperbodohkan dengan hujan-hujah sedemikian bagi industri ini.

Ada yang menyatakan AYB takut undi kepada parti terjejas. Sebab itulah saya ingin melihat RUU ini mendapat sokongan “bipartisan” supaya tidak timbul isu ini. 

Tambahan AYB, secara matematiknya, ini tidak seharusnya menjadi kegusaran AYB. Angka terkini (2019) dari Kajian Morbiditi Kebangsaan, prevalen merokok di kalangan orang dewasa (yang mengundi) hanyalah 21.3% (95% CI: 19.86, 22.75). Jadi kenapa kita harus korbankan generasi masa depan anak cucu kita semata-mata takut 21.3% ini tidak mengundi kita sedangkan majoriti pengundi (78.7%) tidak merokok? Sekalipun YB Marina Chin, ia kelihatan dasar populis tapi apa salahnya?

AYB tidak bimbang pula kehilangan undi jika berlawanan dengan harus popular? Sungguh, ahli politik sukar difahami dan kadangkala dilihat lebih mementingkan diri sendiri dari kesejahteraan rakyat. Apatah lagi RUU ini tidak akan menjejaskan perokok-perokok. 

Seperti kata Khairy, hisaplah sampai mati. Malah saya amat yakin, kalau ditanya kepada perokok tegar sekalipun, apakah mereka suka melihat anak mereka merokok, pasti mereka akan mengatakan tidak.

Saya amat yakin, generasi penamat atau pengharaman berperingkat adalah strategi yang tepat bagi memastikan generasi akan datang selamat dari ancaman asap rokok dan vape. 

Malaysia akan menjadi negara contoh dalam pelaksanaan generasi penamat seperti Australia menjadi negara contoh bagi “plain packaging” yang telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. 

Sebab itu saya tidak hairan jika Malaysia akan menjadi tumpuan utama industri rokok untuk menggagalkan usaha ini. Saya amat yakin jika strategi ini disokong dengan strategi-strategi lain seperti kawalan pameran (display) dan “plain packaging”, kita akan dapat mencapai sasaran dalam masa yang lebih cepat.

Sudah-sudahlah menzahirkan kebimbangan kepada nasib peniaga runcit. AYB pergilah tanya sendiri berapa besar keuntungan yang peniaga runcit dapat dari menjual rokok? Bankrapkah mereka kalau tak dapat jual rokok pada remaja? 

Boleh beritahu saya, kedai kopi mana yang terpaksa tutup kedai dan hotel mana yang hilang pelanggan kerana orang tak boleh merokok atau mengamalkan hotel bebas rokok. Malah hotel bebas rokok sudah menjadi “trending” masa kini. 

Yang pasti industri rokoklah yang akan rugi jika orang berhenti merokok, tetapi peniaga runcit, kedai kopi dan hotel tidak akan muflis kerana tak boleh jual rokok. Jangan dibimbangkan jika industri rokok muflis di Malaysia kerana hanya ada lebih sedikit dari 1,000 pekerja yang ada kaitan dengan industri rokok, berbanding dengan berjuta kanak-kanak dan remaja yang hendak dilindungi.
 
AYB, adalah menjadi tanggungjawab moral AYB untuk melindungi generasi akan datang. Maka mohon maklum kepada semua ahli Parlimen parti AYB agar menyokong RUU ini. Tugas AYB adalah membuat dasar, maka biarkan pegawai dan kakitangan kerajaan memperincikan pelaksanaan dasar tersebut.

RUU ini digubal oleh pakar-pakar yang arif mengenai isu yang ditangani dan telah melalui proses libat urus dengan pihak yang berkepentingan untuk tempoh yang cukup lama. Saya tidak berkesempatan melihat RUU ini diluluskan semasa saya berkhidmat dalam kerajaan, namun saya masih menaruh harapan ia akan menjadi kenyataan semasa hayat saya.

Saya ingin menutup surat ini dengan sebuah hadis berikut:

Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkari dengan hati) adalah selemah-lemah iman.” 

Tangan-tangan pelbagai pakar telah menggubal RUU ini. Saya telah menggunakan tangan saya bagi menulis surat ini. AYB mempunyai kuasa untuk menggunakan tangan di Parlimen bagi melindungi generasi Malaysia akan datang. Gunakanlah tangan AYB bagi menyokong RUU ini. – 25 Julai, 2022.     

* Prof Dr Lokman Hakim Sulaiman, pakar perunding kesihatan awam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen