Wan Saiful datang ke pejabat Bersatu


Melati A. Jalil

Wan Saiful Wan Jan dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) datang ke ibu pejabat Bersatu petang tadi, ketika khabar angin kuat mengatakan beliau akan menyertai parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

PENGASAS bersama badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan yang dikhabarkan bakal menyertai Bersatu minggu depan, dilihat berada di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Wan Saiful ditemani Pengarah Strategik Bersatu Dr Rais Hussin, yang membawanya meninjau galeri parti itu di ibu pejabatnya di Menara Yayasan Selangor kira-kira jam 6.30 petang tadi.

“Saya tidak mengesahkan atau menafikan pada masa ini,  saya melawat ke sini kerana kami sedang merancang satu program,” kata Wan Saiful ketika ditanya oleh wartawan yang sebelum itu menghadiri sidang akhbar.

Beliau juga enggan mengesahkan sama ada Bersatu mempelawanya menyertai parti itu atau adakah Bersatu akan meletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Beberapa parti ada bertemu saya. Saya ada berbincang dengan individu daripada beberapa parti yang berbeza.

“Kita tunggulah sehingga ada yang membuat tawaran yang sesuai. Saya masih menunggu,” kata ahli PAS seumur hidup itu.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir juga enggan mengesahkan khabar angin itu, berkata beberapa personaliti terkemuka ada datang bertemu parti berkenaan menyatakan minat mereka menyertainya.

“Saya tidak ada butiran lanjut tetapi kami akan sangat gembira jika beliau menyertai kami,” kata Mukhriz pada sidang akhbar sebelum itu.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan Wan Saiful yang memulakan Ideas pada 2009 akan meletakkan jawatannya di badan pemikir itu berkuat kuasa 28 Februari ini.

Sumber berkata beliau dijangka menyertai Bersatu.

November lalu, Wan Saiful berkata beliau menunggu untuk disingkirkan daripada PAS susulan beberapa kritikannya terhadap parti Islam itu, sejak akhir-akhir ini. – 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen