Khalid Ibrahim diingati sebagai pemimpin yang tegas


Bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia pada 11.08 malam di Hospital Sentral Vaskular Jantung di Kuala Lumpur malam tadi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2022.

AHLI Parlimen menggunakan media sosial untuk memberi penghormatan kepada bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim, yang meninggal dunia malam tadi.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata beliau sedih dengan berita kematian Khalid.

Yeoh berkata beliau banyak belajar daripadanya dalam penggal pertama sebagai Adun Subang Jaya pada 2008.

“Saya berusia 29 tahun, tidak berpengalaman dan banyak mendapat manfaat daripada nasihat dan gaya pentadbirannya.

“Detik-detik yang tidak dapat saya lupakan adalah semasa memimpin untuk memelihara Taman Subang Ria dan Tan Sri Khalid berdiri bersama penduduk Subang Jaya dan beliau membantu pembinaan jambatan pejalan kaki,” tulisnya di Facebook.

Ini katanya, amat bermakna bagi Persatuan Buddha Subang Jaya dan Kuil Sri Varatharaja Perumal dan nasihat beliau untuk berjuang bagi memelihara tanah Telekom di USJ 6 sebagai tanah utiliti.

Khalid yang berusia 74 tahun, meninggal dunia pada 11.08 malam di Hospital Sentral Vaskular Jantung di Kuala Lumpur malam tadi.

Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham Abdul Khalid, 76 telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan pada injap jantung.

Menurut hantaran tersebut, jenazah Menteri Besar ke-14 Selangor itu akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab di Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

“Selepas itu, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah,” menurut hantaran itu.

Yeoh yang juga speaker DUN Selangor dari 2013 hingga 2018 berkata ilmu dan tadbir urus yang baik telah memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya menghadiri banyak perhimpunan bulanan untuk penjawat awam di Selangor dan mendengar banyak ucapan beliau tentang menimba ilmu dan tadbir urus yang baik. Beliau adalah menteri besar yang baik.

“Adalah satu fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa Selangor menikmati banyak kemakmuran di bawah kepimpinannya. Beliau berhemat dan berhati-hati dengan wang pembayar cukai.”

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan Khalid sebagai pemimpin yang tegas dan berjiwa rakyat.

“Moga Allah SWT cucuri rahmat ke atas rohnya dan dikurniakan kepada keluarga Allahyarham, ketabahan ketika mendepani saat sedih ini.

“Mohon sedekahkan doa buat Allahyarham,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata Khalid merupakan mentor dan sahabat yang baik kepada keluarganya.

“Perkhabaran hiba di atas pemergian Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim mantan menteri besar Selangor. Salam takziah buat seluruh keluarga serta kenalan rapat Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang orang yang beriman dan dikurniakan Jannatul Firdaus atas segala kebaikan. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah.

“A great mentor and a good friend to the family. You will always be remembered,” tulisnya di Facebook.

Presiden MCA Dr Wee Ka Siong turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Khalid.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat rakyat khususnya di negeri Selangor. Semoga rohnya dicucuri rahmat.”

Khalid yang dilahirkan di Jeram, Kuala Selangor meninggalkan isteri, Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.

Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri besar Selangor dari 2008 hingga September 2014, dan kemudiannya dipecat daripada PKR.

Beliau menyertai PKR pada 2006 dan menjadi bendahari agung. Pada pilihan raya umum 2008, beliau dipilih sebagai Adun Ijok dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan menjadi menteri besar apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor. – 1 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen