Kenapa 72% pelajar tidak sambung belajar


TEMPOH hari, data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 72 peratus pelajar memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Dari skop yang holistik, ini tentu sekali sebuah malapetaka. Malapetaka bagi tamadun, generasi dan nusa bangsa. Mengapakah malapetaka?

Setakat 65 tahun kewujudan negara ini, kita telah pun dilingkungi oleh sebahagian besar masyarakat yang ‘gullible’ atau dengan kata mudah – masyarakat yang mudah terpedaya dan senang ditipu. 

Ditambah pula dengan lambakan masyarakat yang lurus atau ‘simple-minded’ – jalinan ini menjadi pelengkap dalam memesongkan ‘Wéltanschauung’ sebahagian besar generasi selanjutnya. Maka begitulah nasib golongan muda kini. 

Wéltanschauung merupakan perkataan Jerman yang membawa erti ‘worldview’, iaitu bagaimana individu melihat tentang kehidupan. Jalinan antara pendidikan dan pembentukan wéltanschauung mempunyai sebuah perhubungan yang serasi. 

Pada hari ini, sudut pandang golongan muda kebanyakannya dicorakkan oleh media sosial melalui lambakan sebahagian pempengaruh (influencer) yang tidak bermutu, tidak berpendidikan, dangkal dan ‘jadong’— istilah yang diperkenalkan Syed Hussein Alatas untuk menggambarkan golongan bodoh sombong. 

Adapun begitu, sebahagian besar golongan ini tetap menjadi idola, role-model dan pujaan bagi sebahagian masyarakat dan warga muda khususnya. Kerana apa? Kerana harta, kekayaan, kemasyhuran dan rupa.  

Seraya, pendekatan mereka ini juga bersifat simplistik. Misalnya, demi melariskan perniagaan yang ‘tiada kelas’, sebahagian golongan pempengaruh ini menyemaikan kesedaran palsu (false hope) ke dalam episteme audien, terutamanya warga muda. 

Adakalanya, mereka meremehkan ketertinggian nilai pendidikan melalui kata-kata yang menjijikan seperti “tak perlu belajar tinggi-tinggi pun boleh pakai Mustang”— seolah-olah menggambarkan diri mereka adalah definisi sebenar kejayaan. 

Pada akhirnya, sudut pandang bertuhankan material ini mempengaruhi cara berfikir warga muda yang kini mula mendefinisi ‘kejayaan’ melalui kekayaan dan harta benda. 

Atas itu, tidak hairanlah wujud sebahagian warga muda yang mula berangan-angan untuk ‘kaya segera’ seperti idolanya hingga lupa tentang realiti kehidupan yang tidak semulus angan-angan. 

Sebahagian golongan ‘simple-minded’ yang terinspirasi dengan idola mereka ini akhirnya menjadikan media sosial sebagai ‘matlamat akhir’; atau platform kejayaan berbanding berlumba-lumba menjejakkan kaki ke alam pendidikan tertinggi. 

Universiti kini bukan lagi menjadi destinasi idaman sebagaimana impian generasi-generasi terdahulu. Katanya, media sosial lah lubuk emas baharu. Katanya lagi Bill Gates dan Mark Zuckerberg tak masuk universiti pun boleh bilionaire— begitulah hujah simplistik yang kerap dilaungkan.

Pertanyaannya, mengapakah ‘ideologi’ mereka ini begitu mendasar? 

Satu yang jelas, pengaruh media sosial hari ini begitu mengutuh. 

Malah, kajian Google mendapati hampir 40 peratus Gen Z menggunakan laman sosial TikTok sebagai enjin carian berbanding Google. Lebih menggusarkan, alam kecendekiawanan kini turut tercemar dengan ‘penyakit’ media sosial. 

Program universiti kebayakannya menjemput sebahagian pempengaruh tidak bermutu yang entah apa kaitannya dengan dunia kecendekiawanan. Alasannya, atas dasar ‘kemasyhuran’ untuk menarik minat audiens menyertai sesebuah program. 

Bahkan, di peringkat sekolah juga baru-baru ini, kanak-kanak telah didedahkan dengan pempengaruh yang pada dasarnya tidak layak langsung dijemput. 

Jadi, mana tidaknya pempengaruh picisan ini berupaya membentuk wéltanschauung golongan muda kita?

Faktor lingkungan

Umpama ‘the missing puzzle’ – pembentukan sisi pandang daripada para pempengaruh tadi kini dilengkapkan pula pakejnya dengan faktor lingkungan yang membuatkan warga muda untuk benar-benar merasakan bahawasanya kesedaran palsu yang telah dijelmakan para pempengaruh picisan tadi adalah realiti sebenar. 

Faktor lingkungan yang dimaksudkan ialah cabaran dan tekanan hidup kontemporari dihadapi para graduan— melibatkan kesukaran mendapatkan pekerjaan mengikut kelayakan, bayaran gaji yang maha rendah dan bebanan hutang pinjaman pelajaran – menjadikan golongan muda mula mempercayai bahawa melanjutkan pengajian di peringkat tinggi adalah satu tindakan yang sia-sia. 

Melengkapi kitaran ini, penurunan had umur perkhidmatan p-hailing dari 21 tahun ke 18 tahun juga sebahagian besarnya menjadi faktor penarik untuk menyaksikan lambakan warga muda tidak melanjutkan pengajian. 

Pengaruh pendefinisian ‘kejayaan’ melalui wang ringgit menyebabkan peluang material ini dimanfaatkan sebaiknya oleh warga muda yang lebih memberatkan wang ringgit berbanding bersusah-payah memerah otak, meminjam wang PTPTN dan pergi ke kelas setiap pagi. 

Pendapatan yang dikatakan mampu mencecah sehingga RM5,000 sebulan tentunya menjadi tawaran mega yang diimpikan bagi warga muda yang baru sahaja selesai alam persekolahan. 

Begitu pun, perlu diakui terdapat sebahagian daripada warga muda yang memilih untuk bekerja membantu menyara keluarga yang terkesan akibat hambatan pandemik Covid-19. 

Andaian ini berasas jika merujuk kepada Bank Data Kemiskinan Nasional yang menunjukkan jumlah ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar meningkat tiga kali ganda dari 2020 hingga Jun 2022. 

Daripada 44,829 kepada 144,932 KIR miskin tegar yang dicatatkan. Jadi, tiada apa yang mampu dibuat oleh warga muda kita, selain membanting tulang empat kerat berbanding memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Namun, walau apa jua faktor di belakangnya – perkembangan ini merupakan hal yang membimbangkan. Pendidikan adalah asas penting kepada pembentukan modal insan. 

Kemajuan dan kegagalan sesebuah negara terletak pada kemahiran berfikir masyarakat. Kemahiran berfikir pula dijana melalui pendidikan yang berkualiti. 

Ketiadaan pendidikan pula bakal melahirkan lautan masyarakat ‘gullible’ dan ‘simple-minded’ yang begitu mudah dimain-mainkan dan digula-gulakan oleh sesiapa sahaja – sama ada bangsa sendiri ataupun bangsa asing. 

* Shah Mohd Akmal Abdul Halim, pensyarah di Pusat Bahasa dan Pengajian Asasi (CELFOS) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen