Sistem koperasi mampu atasi inflasi, kenaikan harga barangan


Menerusi sistem koperasi pembelian dibuat secara terus dengan pembekal sekali gus membolehkan barangan dijual pada harga rendah, kata Ahli Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Kamarudin Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2022.

SISTEM pengumpulan dana dan memerangi orang tengah yang diamalkan koperasi mampu membantu usaha memulihkan masalah kenaikan harga barangan serta inflasi yang dihadapi negara kini.

Ahli Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Kamarudin Ismail berkata ia sudah dibuktikan menerusi sistem koperasi yang berurusan secara terus dengan pembekal sekali gus membolehkan barangan dijual pada harga rendah.

“Ini dapat dilakukan kerana kita ada koperasi keluarga yang mempunyai dana hasil caruman dikumpul menerusi ahlinya yang berjumlah puluhan dan ratusan orang. 

“Mereka boleh berbelanja di koperasi milik mereka sendiri yang bukan sahaja bagi mendapatkan barangan diperlukan, bahkan akan memperoleh keuntungan sebagai ahli koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pesta Kerjaya dan Kerja Amal 2022 Hari Usahawan Muda Fazil Group di Klebang Utama di Melaka hari ini, yang sebelum itu dirasmikan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, beliau berkata hampir 70% usahawan muda didapati gagal dalam perniagaan disebabkan integriti dalam pengurusan wang.

Katanya walaupun sumber kewangan untuk memulakan perniagaan semakin banyak dan mudah termasuk kemudahan pinjaman di bank serta koperasi, golongan ini tetap gagal kerana tidak ada ilmu menguruskan kewangan.

“Bila dapat pinjaman untuk memulakan perniagaan, golongan ini cepat rasa selesa, tidak mempelbagaikan cabang perniagaan mereka dan mudah hanyut. Jadi kegagalan itu lebih kepada soal integriti dan kegagalan mengurus,” katanya. – Bernama, 23 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen