Hampir 14,000 usahawan Medac terjejas banjir, kata menteri


Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedang mengumpul maklumat usahawan Medac yang terbabit banjir di seluruh negara, kata Noh Omar. – Gambar Facebook, 29 Januari, 2022.

KIRA-KIRA 13,600 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dikenal pasti terjejas akibat banjir pada Disember lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar, berkata mereka akan diberikan bantuan dalam bentuk geran seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

“Kementerian sedang mengumpul maklumat usahawan Medac yang terbabit banjir hingga Februari depan. Pada bulan Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan umumkan bantuan jenis apa yang akan diberikan kepada usahawan Medac ini.

“Selain itu, kementerian akan cuba untuk mendapatkan maklumat tambahan berhubung usahawan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program usahawan dan koperasi Keluarga Malaysia (PUKKM) 2022 di Sabak Bernam, Selangor.

Noh berkata, kementerian juga sedang bekerjasama dengan persatuan penjaja, perusahaan kecil dan sederhana serta dewan perniagaan untuk mengenal pasti usahawan Medac yang terbabit dengan banjir.

“Dalam pada itu, Medac melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun Nasional), SME Bank dan Bank Rakyat akan menjalankan kajian terhadap pelanggan mereka yang terjejas dan pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat mengenai kedai yang terjejas,” katanya.

Mengenai PUKKM, Noh berkata, program yang diadakan buat kali ketiga itu bermula di Stadium Sungai Besar dan akan diteruskan di sekitar Bera pada 26 Februari depan.

Noh berkata, ia program outreach kementerian dalam memberikan maklumat kepada orang ramai dan usahawan berhubung program serta bantuan yang dilaksanakan kerajaan dalam membela nasib rakyat yang terjejas khususnya dengan Covid-19.

“Program ini juga adalah libat urus Medac dalam sebahagian daripada strategi dan matlamatnya memberikan pembelaan khususnya bagi kira-kira 500,000 usahawan di bawah kementerian.

“Karnival jualan, sesi dialog turut diadakan untuk mengetahui masalah yang dihadapi usahawan, Insya-Allah, kementerian akan melakukan penambahbaikan sekiranya terdapat kelemahan,” katanya. – Bernama, 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen