KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyasarkan semua 847 unit premis perniagaan kompleks membeli belah milik UDA Holdings Bhd (UDA) di seluruh negara beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.
Menterinya Noh Omar, berkata pengoperasian semula merangkumi 100% premis perniagaan itu merupakan penunjuk prestasi utama 100 hari, selaras dengan hasrat kementerian dalam memulihkan perniagaan dan meneruskan kelangsungan hidup terutama perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, terdapat empat kompleks membeli belah utama milik UDA iaitu di Ipoh, Seremban, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“Setakat ini hampir 800 unit kedai sudah memulakan perniagaan mereka, namun kita tidak menafikan kehadiran pengunjung setakat ini masih kira-kira 50% sebulan.
“Tetapi dengan pengoperasian semula premis ini, rata-rata usahawan berterima kasih dan mengatakan mereka lega kerana sudah boleh memulakan perniagaan seperti biasa. Jadi kita akan pastikan 100% premis perniagaan beroperasi hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media sewaktu lawatan rasminya ke Angsana Johor Bahru Mall di Johor Bahru hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Mohd Salem Kailany.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengoperasian semua premis perniagaan di kompleks membeli belah UDA Holdings.
Noh berkata, dalam usaha memastikan semua premis perniagaan beroperasi, UDA turut menjalinkan kerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) bagi membantu usahawan memulakan perniagaan.
“Jika ada usahawan mahu kembali berniaga tetapi tidak ada modal, dengan kerjasama ini usahawan akan diberikan bantuan dan jumlah itu bergantung kepada penilaian Tekun. Jadi soal untuk usahawan memulakan perniagaan di bawah kompleks beli belah kepunyaan UDA tidak timbul sebab pinjaman akan diberikan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, UDA setakat ini memperuntukkan insentif sewa sebanyak RM33.4 juta bagi membantu semua 847 usahawan di kompleks membeli belah itu.
Beliau berkata, insentif berupa pengecualian, diskaun dan tunggakan sewa itu diberikan dalam usaha membantu kelangsungan usahawan dan aliran tunai kewangan mereka berikutan pandemik Covid-19.
“Pengecualian ini diberikan hingga hujung tahun ini dan ia boleh dipertimbangkan menerusi rayuan untuk mengetahui keadaan perniagaan mereka,” katanya. – Bernama, 7 November, 2021.
Komen