Riwayat seni awam


Badrul Hisham Ismail

KATA-kata kesat meletup antara pemerintah dan seniman. Ku Nan berkata, “Puncak Purnama menyakitkan mata!” Golongan seniman membalas, “Ku Nan yang menyakitkan mata!” Deklarasi dan laporan polis dibuat. Perikatan baru terjalin. Kota Kuala Lumpur menyaksikan golongan seniman bersuara lantang mempertahankan seni. Memorandum kemudiannya diserahkan kepada Suhakam.

Banyak lagi hasil seni lain yang dihancurkan, banyak lagi hasil seni yang tidak akan tercipta. Tetapi ini lain, kerana ini adalah Puncak Purnama. Wacana mempertahankan karya seni dan warisan menjadi rancak dan bercambah. Tetapi ini sudah hampir setahun yang lalu. Kini, seperti semua riwayat hidup di bumi tropik ini, riwayat ini juga dijamah waktu, diluluhawa tanah dan udara.

Pergolakan antara kedua-dua pihak ini berlaku akibat tindakan DBKL merobohkan arca Puncak Purnama, sebuah karya seni awam yang dihasilkan Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal. Melihat pergolakan ini, terdapat dua tanggapan terhadap seni awam yang boleh disimpulkan menjadi punca utama permasalahan.

Pertama, pihak berkuasa menganggap bahawa seni awam itu haruslah cantik dan “berguna.” Sementara golongan seniman di satu pihak lain mengimani setiap hasil seni awam itu haruslah kekal.

Soal kecantikan sering digunakan bagi menilai hasil seni, termasuklah seni awam. Kebanyakan tafsiran tentang seni menyentuh tentang kebolehan tangan manusia dan imaginasi menghasilkan sesuatu yang “cantik.” Persoalannya, apa yang cantik, dan apa yang tidak? Apakah Tugu Negara contohnya cantik atau tidak? Atau apakah arca yang bernama Puncak Purnama itu cantik atau tidak? Setiap individu akan ada jawapannya sendiri. Pandangan subjektif terhadap nilai kecantikan ini sudah menjadi perbalahan falsafah semenjak zaman awal lagi. Jadi, menggunakannya sebagai kriteria untuk menilai sesuatu karya seni sangatlah tidak sesuai.

Kedua, pihak berkuasa juga suka menilai seni awam itu berdasarkan kebergunaannya. Bagi mereka, fungsi utama seni awam adalah untuk meningkatkan nilai komersil sesuatu kawasan, serta menaik taraf kawasan bandar yang sudah merosot – untuk kebaikan sejagat kononnya.

Pandangan ini dikongsi pihak berkuasa seluruh dunia, dan disokong korporat-korporat yang ingin menjana keuntungan daripada hartanah, pelancongan dan sebagainya. Hasil daripada pandangan ini, apa yang kita boleh lihat di kebanyakan kota-kota besar di serata dunia hanyalah sebuah “Urbanisme Zombi”, sebuah istilah yang disebut Jonny Aspen, seorang intelektual dari Norway. Beliau merujuk kota-kota di mana karya-karya seni awamnya, termasuk rekabentuknya, terlalu kemas dan terlalu tersusun sehingga tiada ruang untuk sesuatu di luar aturan dan di luar dugaan. Sebam, bosan dan pastinya tidak “hidup”. Malang sekali kalau inilah peranan seni awam.

Sebelum kita sentuh tentang peranan seni awam, perkara yang harus kita terima ialah seni awam bukan hanya bermaksud seni yang berada di tempat awam. Tetapi ianya merupakan manifestasi kegiatan dan pemikiran seni yang mengambil idea “kehidupan awam” sebagai titik permulaan.

Antropologis Amerika yang terkenal Loren Eiseley pernah berkata tentang kehidupan awam sebagai sesuatu yang “tidak pernah tetap dan kukuh. Ianya sering berubah, bergolek dan berbelah, hilang dan muncul tanpa boleh diduga.” Jika inilah gambaran kehidupan awam yang tepat (dan saya fikir ya), maka seni awam sewajarnya mencerminkan gambaran ini, kerana inilah peranan seni awam yang sebetulnya – untuk mencerminkan dinamika tatarajah fizikal dan landskap mental kehidupan awam. Untuk itu, seni awam haruslah tidak tetap, tidak kukuh, dan tidak boleh diduga. Ianya perlu bersifat sementara. Justeru itu, saya fikir golongan seniman tidak harus lagi berandaian yang karya seni awam itu harus kekal.

Sifat kesementaraan seni awam ini bukan hanya suatu bentuk falsafah. Malah ia boleh menyelesaikan permasalahan yang disebut di atas, berkaitan isu kecantikan dan kebergunaan. Senang sahaja; sekiranya ramai yang tidak bersetuju dengan sesuatu karya yang dihasilkan, mereka tidak perlu risau dan tergopoh-gapah untuk merobohkannya kerana ia memang tidak akan kekal pun.

Bahkan tidak melebih saya katakan, ia boleh menjana dan merangsang pemikiran, dan secara langsung memperkayakan lagi kehidupan awam. Seni awam yang bersifat sementara akan mewujudkan persekitaran selamat untuk karya-karya yang boleh menimbulkan kontroversi, dan menyebabkan kekeliruan wujud di ruang-ruang marginal dan pinggiran yang tidak diketahui umum. Ia juga akan mementaskan karya-karya kehidupan awam yang tidak terjangka di samping menyusun kolaj kehidupan peribadi yang merangkumi segenap penduduk kota bagi menayangkan dialektik di antara keperluan umum dan kebebasan peribadi.

Wacana yang timbul daripada penghasilan karya seni awam seperti ini boleh membantu warga kota mencermin dan menafsir kehidupan mereka, mempersoal, memahami dan memperkukuh identiti mereka di samping menerima dan meraikan kepelbagaian kehidupan masyarakat, dan secara tidak langsung melahirkan warga kota yang lebih matang. Nilai sebuah masyarakat matang menjangkaui nilai kecantikan dan kerbergunaan, dan inilah yang harus kita capai.

Seni awam boleh diperkaya dengan kepelbagaian isu-isu falsafah, politik dan sivik. Ia tidak perlu mencapai kata sepakat atau bertujuan kebaikan sejagat, tetapi ia boleh menjadi satu “bahasa” untuk menyatakan dan meneroka kedinamikan hidup bermasyarakat. Seni awam perlu fleksibel dan ia harus lebih responsif dan tepat pada waktunya, khusus dan sementara. Kerana ia sememangnya bertujuan memperhebat dan memperkaya kehidupan awam.

Datin Hamidah Mohd Noor, balu kepada Allahyarham Syed Ahmad Jamal, berkata yang arca itu “tidak mengganggu sesiapa pun.” Mungkin itulah sebab kenapa ia akhirnya dirobohkan. – 29 Mei, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen