Golongan kaya nikmati RM8 bilion subsidi RON95, kata MOF


Subsidi RON95 yang dianggarkan RM27 bilion akan memanfaatkan T20 sebanyak RM8 bilion, kata Kementerian Kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2022.  

GOLONGAN kaya atau kumpulan isi rumah T20 dianggarkan menikmati subsidi petrol sehingga RM8 bilion tahun ini, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Memetik tinjauan perbelanjaan isi rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penggunaan RON95 oleh golongan T20 adalah sebanyak 33% , menurut MOF dalam jawapan bertulis Parlimen.

“Subsidi RON95 yang dianggarkan RM27 bilion akan memanfaatkan B40: RM6 bilion, M40: RM13 bilion dan T20: RM8 bilion. 

“Berdasarkan survei perbelanjaan isirumah oleh DOSM, penggunaan RON95 oleh B40 adalah 22%, M40 adalah 46% dan T20 adalah 32%,” katanya.

Kementerian itu berkata jumlah subsidi RON95 yang dinikmati oleh T20 adalah hampir sama dengan peruntukan bantuan tunai RM8 bilion melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

“Sebagai perbandingan, jumlah RM8 bilion boleh digunakan untuk membina 16 buah hospital dengan kapasiti 300 katil bagi setiap hospital, atau 160 buah sekolah dengan 30 bilik darjah bagi setiap sekolah. 

“Tanpa ketirisan subsidi RON95 kepada golongan T20, penjimatan tersebut dapat disalurkan sebagai bantuan kepada golongan berpendapatan rendah melalui pembayaran seperti BKM atau bantuan tunai lain yang bakal digandakan,” tambahnya.

Oleh itu, kata MOF, kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi petrol, diesel, LPG supaya dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Katanya lagi, rakyat kini membayar kurang daripada setengah kos sebenar petrol, diesel, LPG dan minyak masak.

“Kerajaan telah mengekalkan harga pam RON95 pada RM2.05 seliter dan diesel pada RM2.15 seliter sementara harga purata tanpa subsidi pada bulan Jun 2022 telah mencapai RM4.70 seliter bagi RON95 dan RM5.40 seliter bagi diesel.”

Kementerian Kewangan menjawab soalan Ahmad Maslan (Pontian-BN) yang meminta kerajaan menyatakan pecahan jumlah subsidi bagi 2019 hingga 2022, serta anggaran subsidi petrol yang diterima kumpulan isi rumah B40, M40 dan T20. 

Berkenaan jumlah subsidi, kementerian itu berkata sejumlah RM26.5 bilion telah diperuntukkan bagi 2019, RM23.3 bilion bagi 2020, RM37.3 bilion bagi 2021. – 21 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen