Pegawai kerajaan kena naik penerbangan kelas ekonomi, tegas MOF


Kementerian Kewangan mewajibkan semua pegawai kerajaan menaiki penerbangan kelas ekonomi sahaja untuk urusan rasmi, yang merupakan salah satu usaha berjimat cermat Putrajaya bagi menampung kenaikan subsidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2022.

SEMUA pegawai kerajaan wajib menaiki penerbangan kelas ekonomi untuk urusan rasmi, tegas Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu garis panduan untuk penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Ia antara langkah yang digariskan dalam panduan dikeluarkan kepada semua ketua setiausaha kerajaan, agensi, jabatan serta syarikat terhad dengan jaminan dan badan berkanun.  

“Semua tiket penerbangan adalah kelas ekonomi tanpa mengira gred,” tegas arahan itu yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon.

Jelasnya, pegawai berkenaan dibenarkan membeli sendiri tiket tersebut dari syarikat penerbangan atau agensi yang menawarkan harga lebih rendah berbanding Waran Perjalanan Udara Awam.

Bagi perjalanan luar negara, hanya mesyuarat berjadual atau berkala atau yang sudahpun diluluskan dalam belanjawan dan penting kepada negara sahaja dibenarkan.

Mesyuarat itu pula perlu diluluskan Kabinet dan digalakkan untuk diwakilkan sahaja kepada duta atau ketua perwakilan Malaysia di negara terlibat.

Penyertaan juga boleh dibuat secara dalam talian sahaja, kata Asri dalam suratnya yang mengehadkan bilangan pegawai yang dibenarkan ikut serta.

Ia menetapkan jumlahnya tidak boleh lebih dua orang bagi negara dengan pejabat perwakilan Malaysia dan tidak lebih tiga orang di negara tanpa pejabat perwakilan, katanya.

Jemaah Menteri atau MOF akan meluluskan kelonggaran bagi mesyuarat berjadual bersifat teknikal untuk perolehan yang sudahpun diperuntukkan dalam kontrak.

Ketua setiausaha, timbalannya serta ketua jabatan dan ketua agensi dibenarkan keluar negara untuk urusan rasmi sebanyak tiga kali.

Pegawai lain pula dibenarkan keluar negara dua kali sahaja.

Kursus atau latihan luar negara juga disarankan untuk disertai secara dalam talian sahaja, dengan beberapa pengecualian.

Bagi penginapan, pegawai dibenar membuat tempahan sendiri untuk penjimatan harga.

Ia terkandung dalam Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam bertarikh 14 Julai yang berkuatkuasa serta merta.

Arahan itu turut menggariskan:

- Bagi perjalanan luar negara, hanya mesyuarat berjadual atau berkala atau yang sudahpun diluluskan dalam belanjawan dan penting kepada negara sahaja dibenarkan.
- Mesyuarat itu perlu diluluskan Kabinet dan digalakkan untuk diwakilkan sahaja kepada duta atau ketua perwakilan Malaysia di negara terlibat.
- Penyertaan juga boleh dibuat secara dalam talian sahaja.
- Jumlah pengawai mengiritng tidak boleh lebih dua orang bagi negara dengan pejabat perwakilan Malaysia dan tidak lebih tiga orang di negara tanpa pejabat perwakilan.
- Jemaah Menteri atau MOF akan meluluskan kelonggaran bagi mesyuarat berjadual bersifat teknikal untuk perolehan yang sudahpun diperuntukkan dalam kontrak.
- Ketua setiausaha, timbalannya serta ketua jabatan dan ketua agensi dibenarkan keluar negara untuk urusan rasmi sebanyak tiga kali.
- Pegawai lain pula dibenarkan keluar negara dua kali sahaja.
- Kursus atau latihan luar negara juga disarankan untuk disertai secara dalam talian sahaja, dengan beberapa pengecualian.
- Bagi penginapan, pegawai dibenar membuat tempahan sendiri untuk penjimatan harga.
- Had ke atas penganjuran acara atau majlis keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel. Jika perlu, pegawai perlu pastikan penganjuran sederhana dengan ketetapan khusus.
- Ia boleh dilaksana di premis sesuai termasuk hotel tertakluk kepada peruntukan
sedia ada tanpa melibatkan peruntukan tambahan dengan keutamaan kepada kemudahan milik kerajaan
- Gimik pelancaran ringkas secara dalaman tanpa penyumberluaran, cenderamata pula terhad kepada kraf tangan tempatan, produk makanan tempatan atau produk agensi sendiri.
- Penganjuran karnival, ekspo atau pameran di luar negara hendaklah ditangguhkan kecuali mendapat kelulusan Kabinet
- Taraf Tetamu Negara hanya kepada ketua delegasi asing sahaja dan mengambilkira manfaat timbal balas serta membawa kepentingan kepada hubungan diplomasi negara yang signifikan.
- Pelancaran kempen promosi hendaklah sesuai dengan kumpulan sasar dan digalakkan membuat kempen secara dalam talian bagi mengurangkan perbelanjaan berbanding jerayawara beramai-ramai.
- Tajaan dan pengiklanan seperti sisipan akhbar, iklan dalam media cetak dan elektronik dan billboard hendaklah dikurangkan dan dikaji semula selepas tamat kontrak penajaan atau pengiklanan tersebut.
- Penyumberluaran perlu selari dengan keperluan sebenar bagi mengurangkan komitmen kewangan kerajaan, berdasarkan permintaan dan tidak berdasarkan penawaran.
- Projek yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan hendaklah dikaji semula.
- Projek bukan keutamaan yang telah dikenalpasti hendaklah ditangguhkan kecuali projek dengan impak segera kepada kesejahteraan rakyat.
- Proses praperolehan yang tiada implikasi kewangan seperti perancangan, membuat reka bentuk, kebenaran merancang, menyelesaikan urusan berkaitan tanah atau tapak projek dan sebagainya.
- Memantau rapi kemajuan projek agar ianya siap dalam tempoh ditetapkan dan mengelakkan arahan perubahan yang mengakibatkan pertambahan kos projek.
- Menampung pertambahan kos akibat arahan perubahan dengan menggunakan penjimatan siling semasa kementerian atau jabatan, agensi dan badan
berkanun.
- Perolehan baharu tidak dibenarkan kecuali barangan serta bahan tersebut tidak terdapat dari sumber tempatan dan keperluan memperolehinya melalui import benar- benar mendesak dan sangat penting, dengan kelulusan MOF.
- Keutamaan pelaburan badan berkanun dan syarikat subsidiari kepada pelaburan domestik untuk mengelak aliran wang ke luar negara.
- Rizab akaun amanah perlu dikawal selia supaya dapat membiayai sebahagian daripada kos operasi yang bersesuaian. – 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen