MOF arah semua badan kerajaan laksana penjimatan


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa pelancaran program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pasir Salak awal bulan ini. MOF semalam mengarahkan semua badan kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan menyemak semula program sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2022.

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mengarahkan semua badan kerajaan melaksana penjimatan dengan menyusun semula peruntukan, mengurangkan perbelanjaan dan menyemak semula program sedia ada.

Ia terkandung dalam surat Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada semua ketua setiausaha kementerian, jabatan, badan berkanun, syarikat terhad dengan jaminan dan agensi lain.

Arahan itu mensasarkan penjimatan sekurang-kurangnya 5% ke atas perbelanjaan mengurus melibatkan perolehan, perjawatan, kontrak, elaun, aset, penganjuran acara dan iklan.

Ia antara lain meliputi arahan supaya perolehan dibuat dalam negara, pengurangan kos perbelanjaan perjalanan luar negara dan juga pengurusan acara rasmi.

Selain itu, langkah penjimatan juga diarahkan untuk pelaburan dan pengurusan rizab bagi perbelanjaan pembangunan.

“Oleh itu, kementerian atau jabatan atau agensi hendaklah menyusun semula peruntukan dan mencadangkan penjimatan peruntukan mengurus bagi MOF mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022,” katanya.

Tambahnya, MOF akan memuktamad dan mengeluarkan Waran Sekatan bagi memaklumkan jumlah peruntukan yang dikurangkan.

Ia turut mengarahkan pegawai pengawal mengawasi dengan rapi setiap perbelanjaan dan mengingati para pegawai bahawa surcaj boleh dikenakan sekiranya didapati tidak mematuhi ketetapan.

Surat Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam itu juga mengarahkan langkah penjimatan itu tidak memberi kesan ke atas program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, program yang tidak memberi impak signifikan kepada rakyat perlu dimansuhkan, katanya.

“Permohonan peruntukan tambahan untuk menampung sebarang keperluan yang tidak kritikal tidak akan dipertimbangkan,” katanya.

Asri menyebut, arahan itu bagi menampung peningkatan subsidi sedia ada terutamanya produk petroleum dan minyak masak serta subsidi baharu seperti elektrik dan ayam.

Menurutnya perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

Kerajaan negeri serta agensinya dan badan berkanun persekutuan dan pihak berkuasa tempatan juga digalakkan melaksana langkah penjimatan itu, kata Asri dalam surat 14 Julai itu. – 15 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen