Kerajaan bukan sepatutnya bersaing dengan swasta, kata Daim


Jahabar Sadiq Chan Kok Leong

Malaysia memulakan projek pengkorporatannya pada 1980-an melalui sebuah majlis perniagaan selepas Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2022.

SYARIKAT milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) langsung tidak sepatutnya bersaing dengan sektor swasta, kata Daim Zainuddin.

Bekas menteri kewangan berkata perniagaan milik kerajaan yang terlalu berpengaruh hanya akan membantutkan sektor swasta dan mengakibatkan kerugian kerana mengendalikan perniagaan bukan keusahawanan.

“Mereka sepatutnya hanya terlibat dalam industri strategik yang memerlukan modal besar dan masa yang panjang untuk dibangunkan,” kata Daim dalam satu wawancara di pejabatnya di Menara Ilham di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Katanya, GLC sepatutnya hanya menguruskan beberapa projek negara yang tidak boleh dilakukan oleh syarikat swasta secara sendirian.

“Sektor swasta tak boleh tunggu tetapi kerajaan boleh. Kerajaan boleh buat JV dan sebagainya dengan sektor swasta. Pernah di Singapura, GLC memainkan peranan utama tetapi itu pun sudah berubah.”

Daim mengulas kekurangan usahawan di Malaysia dan bagaimana GLC begitu membayangi syarikat swasta.

Pada Mac, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ekosistem GLC dan GLIC berjumlah RM445 bilion atau 25% daripada modal pasaran Bursa Malaysia.

Dana kekayaan kedaulatan terbesar Malaysia, Khazanah Nasional Berhad saja menguasai 14% daripada modal pasaran itu.

Sejarah pengkorporatan Malaysia

Daim menjelaskan Malaysia memulakan projek pengkorporatannya pada 1980-an melalui sebuah majlis perniagaan selepas Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri.

Majlis itu yang bermesyuarat sekali sebulan bertujuan membantu sektor swasta dan mengembangkan ekonomi.

“Kerajaan juga ada Kementerian Kewangan Diperbadankan. Tetapi apabila saja ambil alih jadi menteri kewangan  (1984-1991) ada terlalu banyak GLC, kebanyakannya rugi. Mereka terlibat dalam semua jenis perniagaan dan dikendalikan oleh kakitangan awam,” katanya.

“Kakitangan awam kerjanya laksanakan dasar kerajaan, bukan urus perniagaan.

“Urus perniagaan bukan keusahawanan. Bukannya macam saya buat satu syarikat dan saudara boleh uruskan dan untung. Semuanya rugi dan sebab itu saya terpaksa tutup sesetengahnya.

“Tetapi ahli politik tak seronoklah sebab mereka tak boleh lagi jadi pengarah. Tak ada lagi pendapatan tambahan,” katanya sambil ketawa.

Menurut Daim, GLC atau Malaysia Inc hanya untuk mengembangkan ekonomi.

“Tetapi apabila (ekonomi) tidak berkembang sebaliknya menguncup, ia jadi beban kepada negara. Oleh sebab itu, lebih baik ditutup.”

Daim menyebut apa yang dilakukan itu adalah juga sasaran Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

GLC dan GLIC tidak sepatutnya bersaing dengan sektor swasta, kata Daim Zainuddin, dan ia sepatutnya hanya terlibat dalam industri strategik yang memerlukan modal besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2022.

Untuk melakukannya, Daim mencadangkan skim persaraan awal untuk kakitangan awam yang maju jadi usahawan.

Ketika itu, pada 1980-an, banyak cerdik pandai dalam perkhidmatan awam, kata Daim.

“Mungkin ini silap saya. Ketika itu cerdik pandai ada dalam perkhidmatan awam. Saya rasa selagi mereka ada dalam perkhidmatan awam mereka tidak boleh duduk dalam sektor swasta dan bersaing. Saya mahu yang cerdik pandai dalam sektor swasta.

“Ini kerana saya selalu percaya untuk negara ini berjaya, orang Melayu mesti berjaya. Sekiranya Melayu tidak berjaya mereka akan balik kepada agama dan kita akan ada masalah.”

Untuk berjaya, kata Daim, cara terbaik ialah dengan menjadi usahawan. Tetapi ini bertentangan dengan pemikiran konvensional Melayu pada masa itu.

“Sistem pendidikan pada masa itu pun kata orang Melayu patut hanya jadi petani, pemandu dan kerani. Itu saja.

“Apabila ada pelajar yang pandai dapat peluang untuk pendidikan tinggi, ayahnya kata tidak payah dan minta dia kerja kerani kerajaan sebab ‘aku nak pergi Mekah’.”

Namun selepas lebih tiga dekad, menurut Daim, Malaysia sudah patah balik seperti 1980-an apabila syarikat kerajaan kembali menguasai bidang perniagaan.

Lebih buruk lagi, katanya, ahli politik mengheret GLC ke dalam sistem politik naungan mereka.

“Selepas saya tak ada, mereka mula gunakan GLC untuk beri pendapatan tinggi kepada Melayu. Beri saja mereka gaji tinggi. Ada yang dapat sampai RM1 juta sebulan. Ini bukan sebab prestasi pun.

“Waktu saya dulu, CEO Petronas Berhad hanya dibayar RM30,000 sebulan,” tambahnya.

Daim berpendapat itulah juga sebabnya sesetengah CEO menjadikan GLC macam milik mereka apabila melompat dari satu GLC ke satu GLC walaupun mereka gagal.

“Ini idea gila dan itu sebabnya mereka terus wujudkan banyak lagi agensi kerajaan. Ini lingkaran setan tetapi siapa yang akhirnya rugi? Negara rugi.”

Daim berkata kerajaan sebenarnya ada idea.

“Tetapi mereka tidak faham bisnes.” – 10 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen