Banyak yang sudah tersilap, kata Daim


Jahabar Sadiq Chan Kok Leong

Atas semangat DEB, kerajaan tidak sepatutnya bersaing dengan sektor swasta kerana kerajaan bukannya usahawan dan tidak tahu macam mana hendak berniaga, kata Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2022.

DARI tingkat 60 Menara Ilham di Kuala Lumpur, Daim Zainuddin yang kini umurnya 84 tahun melihat wajah Malaysia yang beliau ikut bangunkan daripada sebuah negara pengeluar getah dan bijih timah menjadi antara negara industri awal di Asia Tenggara.

Ahli perniagaan yang kini bersara dan juga bekas menteri kewangan antara 1984 dan 1991 mengeluh semasa wawancara dengan The Malaysian Insight. Sambil mengenang bagaimana negara ini berkembang, beliau menyebut biarpun banyak yang sudah berubah tetapi banyak hal yang tetap macam itu juga.

“Sekarang saya sudah bersara dan apabila melihat balik fail-fail lama, saya bertanya apa sebab kita hendak patah balik ulang kesilapan lama?” katanya, yang juga bekas orang kanan Dr Mahathir Mohamad yang dua kali jadi perdana menteri.

Daim, yang membantu Dr Mahathir menyusun semula ekonomi pada 1980-an melalui penswastaan agensi kerajaan dan penciptaan usahawan Melayu, menjawab pertanyaan tentang kesungguhan Putrajaya terlibat dalam perniagaan dan bertambahnya penguasaan syarikat milik kerajaan dalam ekonomi.

Pada masa ini ekosistem GLC dan GLIC menyumbang RM445 bilion atau 25% daripada modal pasaran Bursa Malaysia. Dana kekayaan kedaulatan terbesar Malaysia, Khazanah Nasional Berhad sahaja menguasai 14% daripada modal pasaran itu.

Menurut Daim, atas semangat Dasar Ekonomi Baharu (DEB), kerajaan tidak sepatutnya bersaing dengan sektor swasta kerana kerajaan bukannya usahawan dan “tidak tahu macam mana hendak berniaga.”

“Kita sudah lalui kemelesetan, krisis kewangan, inflasi, stagflasi… semuanya. Sebut saja, semuanya kita sudah lalu. Apa yang kita perlu buat ialah tengok apa yang kita buat dulu,” katanya.

Daim, menteri kewangan pertama yang dilantik daripada sektor swasta, berkata beliau pernah menutup dan menyusun semula banyak syarikat milik kerajaan yang rugi.

Walaupun ada bantahan, beliau meneruskannya kerana ada dukungan Dr Mahathir.

“Memang akan ada tentangan kepada benda-benda baharu yang menjejaskan kepentingan ahli politik. Itu cabaran besarnya. Tetapi sebab saya ada sokongan perdana menteri dan dari segi politik saya tidak minat apa-apa jawatan, saya teruskan saja,” katanya.

Syarikat kerajaan yang rugi tidak akan membantu negara, tambah Daim.

“Kita tidak besarkan kek (ekonomi), sebaliknya menguncup. Selepas itu ia jadi beban,” katanya.

Daim menyebut bagaimana Sapura Holdings berkembang. Syarikat milik kerajaan itu jadi perhatian baru-baru ini kerana isu tadbir urusnya. Katanya, syarikat itu muncul atas kepercayaan mahu membantu mewujudkan lebih ramai usahawan Melayu.

Perniagaan tertentu dijual pada tara untuk membantu usahawan Melayu bermula, dan salah satunya ialah Malayan Cables yang dijual kepada Sapura Holdings.

Permodalan Nasional Berhad, syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), adalah antara pemegang saham Sapura.

Daim mengaku bimbang melihat bagaimana kerajaan sekarang terlibat dalam GLC dan GLIC, serta bagaimana belanjawan persekutuan diurus.

Beliau bimbang melihat Malaysia meminjam untuk membiayai subsidi kerajaan dan saiz pentadbiran yang begitu besar.

“Keadaan kewangan kita serius. Pencen, gaji untuk kakitangan awam tinggi dan hutang yang kena dibayar juga tinggi. Menurut kakitangan awam sendiri, menjelang 2030 pencen, gaji dan bunga yang perlu dibayar akan cecah RM200 bilion setahun,” katanya, yang pernah mempengerusikan majlis penasihat kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Keadaan jadi lebih buruk apabila ahli politik menggunakan perkhidmatan awam untuk menambah undi, kata Daim.

“Ahli politik mahu mengeksploitasi 1.6 juta kakitangan awam untuk undi. Ditambah dengan seorang isteri dan dua anak, maknanya ada lima juta pengundi. Ini bank undi dan mereka mahu membesarkannya sampai lupakan negara.

“Ini tak boleh diteruskan. Saya pernah bangkitkan ini dulu sebab pada masa itu pun ia tidak boleh terus begitu.

“Sekarang mereka bercakap tentang kerja empat hari seminggu. Ada yang membantah tetapi Jabatan Perkhidmatan Awam mahu buat juga empat hari seminggu. Saya kata, bukan berapa jam kamu kerja tetapi apa produktivitinya.

“Produktiviti sangat rendah. Mereka mesti faham. Bukan berapa banyak masa yang mereka beri tetapi apa yang mereka hasilkan. Itu ekonomi. Mereka tidak faham. Jadi, macam mana kita hendak terangkan kepada mereka,” katanya.

Sebab rasuahlah anak kita tidak dapat sekolah yang bagus, cikgu yang bagus dan akhirnya kualiti hidup yang bagus, kata Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2022.

Pendidikan dan rasuah

Daim juga bimbang akan kualiti pendidikan dan bagaimana ia menjejaskan daya saing Malaysia dengan negara lain di Asia Tenggara.

Ekonomi boleh tumbuh dengan mudah sekiranya ada perancangan yang betul, kata Daim, yang memperolehi ijazah kedoktorannya dari Universiti Malaysia pada 2019 selepas 11 tahun mengerjakan tesisnya mengenai kejayaan dan kegagalan DEB.

“Kita hasilkan barang dan eksport. Itu yang Jerman, Korea Selatan dan negara lain buat. Pada setiap peringkat, di Korea Selatan dan Jepun itulah yang difikirkan.

“Tetapi kita tidak ada pelan. Kalau kita hendak buat macam itu, kita perlukan pendidikan tetapi sistem pendidikan kita gagal,” katanya.

Beliau menyebut bagaimana pengajian agama dalam silabus pendidikan tidak membantu.

“Pada 80-an, Anwar Ibrahim menteri pendidikan. Beliau perkenalkan kurikulum Islam… fardu ain dan fardu kifayah.

“Pejabat Perdana Menteri ditambah satu bahagian lagi untuk hal ehwal Islam, yang kemudiannya jadi Jakim. Mereka juga perkenalkan mata pelajaran yang sama.

“Menjelang 1990-an, kos yang kerajaan tanggung ialah RM668 juta.”

Belanjawan Jakim pada 2022 ditetapkan RM1.5 bilion.

“Pada masa saya, kita belajar agama selepas sekolah pada waktu petang sekali sebulan. Ia tidak menjadikan kita kurang Islam. Malah, sekarang lebih teruk lagi sebab pemimpin rasuah dan rakyat kata tak apa.

“Kita mesti tengok balik dan semak ini semua. Ada yang sudah tersilap. Kita bazirkan banyak duit dan hasilnya tidak positif. Kita mesti praktikal dan tidak bazirkan duit rakyat. Saya melihat sejarahnya dan kita mesti berubah.

“Melainkan sistem pendidikan kita dibetulkan dan ditambah dengan nilai moral dan agama, kita akan nampak lebih banyak lagi rasuah.

“Sebab rasuahlah anak-anak kita tidak dapat sekolah yang bagus, cikgu yang bagus dan akhirnya kualiti hidup yang bagus. Semua ini beri kesan.” – 10 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen