Kini pembuli siber di Jepun boleh dipenjarakan


Undang-undang buli siber yang diperketatkan itu dibuat selepas kes bunuh diri bintang realiti Hana Kimura akibat diganggu dalam talian. – Gambar EPA, 7 Julai, 2022.

INDIVIDU yang didapati bersalah membuli di alam siber di Jepun kini berdepan hukuman penjara setahun di bawah peraturan yang berkuat kuasa pada Khamis, yang diperketatkan selepas kes bunuh diri seorang bintang realiti yang telah diganggu dalam talian.

Ahli gusti profesional berambut merah jambu Hana Kimura, 22, yang juga pelakon “Terrace House” meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2020.

Undang-undang yang dipinda itu sejajar dengan kempen oleh ibunya, dan kini mengenakan denda sehingga 300,000 yen (AS$2,200) atau setahun penjara, berbanding penalti maksimum 10,000 yen atau 30 hari ditahan sebelum ini.

Hukuman yang diperketatkan itu bertujuan untuk menjelaskan buli siber adalah satu kesalahan jenayah, kata Menteri Kehakiman Yoshihisa Furukawa.

“Kami percaya pentingnya untuk hapuskan penghinaan yang boleh menyebabkan kematian seseorang pada masa-masa tertentu,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Walaupun isu buli siber telah dibangkitkan di Jepun sebelum kematian Kimura, bunuh diri penggusti itu mendorong penelitian domestik dan antarabangsa selain memberi tekanan kepada penggubal undang-undang untuk mengambil tindakan.

Tetapi beberapa penyokong kebebasan bersuara dan pakar perundangan menentang peraturan baharu itu malah memberi amaran kepada kerajaan untuk memastikan undang-undang yang lebih keras tidak digunakan untuk menyasarkan kebebasan bersuara dan kritikan politik. – AFP, 7 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen