Tiada alasan untuk buli, kata Noor Hisham


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata idea bahawa doktor pelatih perlu "dibuli" untuk berdaya tahan adalah tidak boleh diterima dan tiada alasan untuk membuli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2022.

IDEA bahawa doktor pelatih perlu “dibuli” untuk berdaya tahan adalah tidak boleh diterima dan tiada alasan untuk membuli, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

“Kita sedar dalam latihan untuk menjadi seorang doktor seseorang itu memerlukan keazaman dan perlu tabah sepanjang tempoh dua tahun sebagai doktor pelatih. Tetapi cara kita melatih mereka tidak sepatutnya melibatkan sebarang buli atau gangguan.

“Kita tidak boleh menerima gangguan, eksploitasi seksual atau penderaan,” katanya di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Beliau berkata budaya membuli doktor pelatih perlu dikikis.

Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan pasukan petugas penambahbaikan budaya kerja penjagaan kesihatan bebas untuk mengeluarkan garis panduan dan langkah untuk menghapuskan buli di hospital kerajaan.

Ini termasuk menyediakan sistem untuk pemberi maklumat, katanya.

“Sistem itu sudah ada tetapi kita mahu mempertingkatkannya. Antaranya ialah cara membuat laporan supaya pemberi maklumat dilindungi,” katanya. – 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen