Exco minta doktor pelatih mangsa buli buat aduan


Seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2022.

DOKTOR pelatih (HO) di Melaka yang berdepan situasi buli sehingga menjatuhkan maruah mereka diminta membuat aduan supaya tindakan lanjut boleh diambil segera, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, doktor pelatih yang menjadi mangsa buli boleh mengajukan aduan itu kepadanya menerusi platform Facebook atau bersemuka kerana perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku dalam bidang profesional dan kritikal itu.

“Saya sendiri akan siasat aduan berkenaan dan ambil tindakan jika ia benar-benar berlaku kerana saya tidak akan biarkan mana-mana doktor pelatih di Melaka dibuli dengan teruk sehingga menjatuhkan maruah mereka sepanjang saya menggalas jawatan exco ini.

“Amaran keras juga diberikan kepada pegawai perubatan atau pakar yang sesuka hati membuli doktor pelatih tanpa belas kasihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, doktor pelatih seharusnya dilatih dengan baik dan bukannya dibuli sesuka hati kerana tempoh ‘housemanship’ selama dua tahun yang perlu dilalui golongan itu waktu yang paling penting dan amat kritikal.

Katanya, dalam tempoh itu, doktor pelatih perlu mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya di sekolah perubatan dengan dunia pekerjaan sebenar dan terpaksa bekerja dalam keadaan tertekan serta waktu bekerja yang panjang.

Muhamad Akmal berkata, pengalaman yang dilalui doktor pelatih sepanjang tempoh ‘housemanship’ itu memberi kesan jangka panjang kepada kerjaya mereka selain menjadikan mereka seorang doktor yang selamat untuk pesakit mereka.

“Saya juga pernah menjadi HO selama dua tahun di Hospital Ampang dan merasai jerit perih untuk belajar dan menimba pengalaman menjadi seorang doktor.

“Alhamdulillah dalam tempoh itu tidak pernah ‘senior’, pegawai perubatan atau pakar saya membuli sehingga menjatuhkan maruah saya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian doktor pelatih itu dan dakwaan budaya buli di kemudahan kerajaan. – Bernama, 7 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen