Seperti phoenix, hancur luluh dahulu sebelum bangkit semula


Izmil Amri

FAWKES adalah nama yang diberi kepada seekor burung phoenix dalam siri novel kanak-kanak, Harry Potter. Di alam Melayu, burung phoenix ini disebut sebagai merak emas; seperti yang turut diketahui ramai anggota kongsi gelap. Disebut merak emas kerana konon bulu-bulunya itu berwarna keemasan, seperti langit senja.

Mengikut kepercayaan dahulu kala, burung phoenix ini diselubungi api yang marak, justeru ia kelihatan berwarna merah jingga – keemasan.

Dalam hikayat Harry Potter, pada suatu hari beliau dipanggil ke bilik guru besarnya seraya menyaksikan si Fawkes ini berada dalam keadaan yang sangat uzur. Apabila Harry bergerak mendekati burung itu, ia tiba-tiba disambar api lalu terbakar hangus sehingga tinggal abu. Harry nyata terkejut dengan kejadian itu, apatah lagi ketika dia disyaki menyebabkan kecelakaan terhadap beberapa warga sekolahnya di Hogwarts.

Kebetulan guru besarnya, Albus Dumbledore masuk ke pejabat dan turut menyaksikan kejadian terbabit. Harry yang terpinga-pinga terus memberitahu bahawa bukan dia yang membunuh si Fawkes tadi.

Dumbledore sepertimana biasa kekal tenang dan membawa si Harry menghampiri gumpalan abu si Fawkes dan memeriksa puing-puing kebakaran seraya memberitahu Fawkes itu adalah seekor burung phoenix, dan apabila ajalnya tiba burung phoenix akan terbakar sehingga menjadi abu. Lalu di celah-celah abu itu muncullah kelibat seekor anak burung.

“Inde ferunt, totidem qui vivere debeat anos Corpore de patrio parvum Phænica renasci.”

Anak burung phoenix terlahir baharu dari jasad bapanya, ditakdir hidup untuk jangka hayat yang serupa. Lebih kurang begitu barangkali terjemahan karya Ovid dalam Metamorphosis.

Tema burung phoenix ini juga diangkat M. Nasir dalam karya popularnya Phoenix Bangkit: “Bagaikan burung phoenix bangkit dari abu/ Bangkit membina satu keindahan baru…”

Yang tidak dilihat orang melalui syair M. Nasir ini ialah tentang membina semula daripada puing-puing runtuhan. Hanya dengan meruntuhkan segala-galanya maka boleh dibina semula sesuatu yang baharu.

Justeru itu, berbeza dengan ramai orang, saya punya pendirian bahawa PRU15 sewajarnya dilangsungkan secepat mungkin. Lebih cepat lebih baik untuk kita semua.

Saya sandarkan pendirian ini kepada teori bahawa semakin cepat kita berdepan PRU, semakin cepatlah Umno kembali berkuasa, semakin cepatlah negara melingkup, dan semakin cepat dan bersangatan juga penyesalan rakyat jelata.

Macam Sri Lanka

Alang-alang kita bercerita tentang legenda dahulu kala, molek kiranya kita turut menyorot legenda Sri Lanka untuk seketika, sebelum kita bercerita tentang realiti yang sedang membantainya.

Sri Lanka sebuah pulau di bucu India yang dihubungkan sebuah “jambatan” yang disebut sebagai “Bridge of Adam” atau “Rama Setu”, bergantung aqidah dan kepercayaan masing-masing.

Arakian maka tersebutlah kisah epik Ramayana, apabila Sita Dewi, isterinya Sri Rama dilarikan Rawana ke sebuah pulau. Sri Rama pun memanggil segala bala tentera kera vanara, lalu dikerahlah ia berperang dengan raja sekalian raksasa itu.

Tetapi kera mana reti berenang. Apatah lagi mahu merentas lautan sampai ke pulau yang diberi nama Lanka itu. Maka dikumpulkan segala batu yang besar-besar lalu dituliskan oleh para kera pada segala batu itu nama Sri Rama, lalu dicampaklah ke dalam laut tetapi tiadalah sekalian batu itu tenggelam.

Sebutir demi sebutir batu disusun maka terbentuklah sebuah jambatan ke Lanka, maka beraraklah sekalian bala tentera Sri Rama ke sana mahu berperang dengan tentera raksasa di balik sana untuk mengambil pulang Sita Dewi.

Pulau kerajaan Ravana yang kini kita kenal sebagai Sri Lanka itu hari ini sedang berdepan krisis paling dahsyat, jauh lebih dahsyat berbanding perang dengan tentera Sri Rama.

Setakat hari ini inflasi di negara itu telah mencecah 54.6% setelah diisytihar muflis akibat gagal melunaskan keterhutangan mencecah RM215 bilion. Hanya tahun lalu kadar inflasi negara itu berada pada tahap 7.6%.

Rakyatnya kini berdepan catuan bekalan elektrik harian dan terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan petroleum. Bukan itu saja, populasi sekitar 22 juta tersebut turut berdepan kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan di samping penutupan perkhidmatan awam yang dirasakan tidak perlu.

Sri Lanka secara literalnya sedang hancur, terbakar sekali dengan mahligai pemimpin politiknya. Tinggal abu!

Puncanya tiada lain melainkan korupsi. Saya sebut korupsi kerana orang kita memandang rasuah sebagai duit kopi. Sedangkan amaun yang bertukar tangan di koridor kuasa Sri Lanka boleh membeli bertan-tan kopi. Korupsi adalah lebih daripada sekadar duit kopi dan suapan; melampaui “sumbangan untuk hari sukan sekolah” atau “sponsor percutian ke luar negara”.

Cerita Malaysia

Masalahnya di tanah air kita, “korupsi” dilihat sebagai rezeki yang kalau dikongsi bersama maka tidak mengapa. Koruptor pun malah diangkat dijulang seperti Mahdi, dipanggil “bossku” dan diajak bertandang ke istana-istana.

Tempoh empat tahun lalu memberi peluang kepada hampir semua parti politik untuk memperlihatkan wajah masing-masing setelah beroleh kekuasaan. Yang menang PRU14 sudah pun menunjukkan kebolehan, yang kalah PRU pun sudah kembali mempertontonkan kebodohan dan hipokrasi masing-masing, PAS terutamanya.

Setiap parti politik sudah ada rakam jejak sebagai pentadbir untuk diukur pengundi. Kita tolak tepi penyokong “kipas-susah-mati” (die hard fans). Kita beri tumpuan kepada golongan yang selama ini berada dalam keadaan syak dan ragu. Empat tahun lalu adalah lebih daripada cukup untuk menjadi sandaran mereka bagi membuat keputusan sebelum pergi (atau tidak pergi) ke peti undi.

Kalau ramai mengalah dan tidak keluar mengundi, lebih bagus! Umno-BN akan kembali menduduki kerusi kekuasaan, kluster mahkamah akan terlepas bebas, dan negara ini akan hancur hingga tinggal abu.

Sebenarnya masyarakat perlu diberikan peluang untuk hidup sengsara, sepertimana yang sedang berlaku di Sri Lanka, supaya mereka dapat benar-benar menghargai kesanggupan sesetengah pemimpin yang dengan rela hati memikul beban kepimpinan pasca PRU14 lalu untuk membersihkan negara daripada najis korupsi tinggalan Umno.

Hanya dengan jalan sengsara kita akan menemukan rasa penghargaan. Hanya dengan kesakitan kita menghargai kesihatan. Hanya daripada keruntuhan dan kehancuran maka kita mampu membina semula sebuah negara. Setakat tampal-tampal lebih kurang ni apa lah sangat. Biar hancur semua sekali. Biar binasa!

Maka supaya itu terjadi, PRU15 perlu diadakan segera. Supaya Umno kembali berkuasa, dan melingkuplah kita semua. Sesudah melingkup itu baru kita cerita tentang membina semula negara. – 4 Julai, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen