Krisis kurang pegawai perubatan di HKL, HTA tidak berbangkit, kata kementerian


Menurut kementerian, urusan pertukaran keluar pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur satu prosedur biasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2022.

KRISIS kekurangan pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) tidak berbangkit, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam kenyataan hari ini menjelaskan mengenai isu surat dari HKL yang tular berkaitan kekurangan pegawai perubatan di kedua-dua hospital itu berikutan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL bermula 18 Julai.

“Selaras dengan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL dan HTA pada 18 Julai 2022, KKM juga merancang pertukaran masuk pegawai perubatan dari negeri lain ke HKL dan HTA pada tarikh sama bagi menggantikan pegawai perubatan yang bertukar keluar,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, urusan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL satu prosedur biasa bagi melaksanakan arahan dan memproses permohonan pertukaran pegawai dari semasa ke semasa.

“Untuk makluman, surat yang dikeluarkan oleh pengurusan HKL itu bertujuan melaksanakan penyelarasan dalaman bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya di Jabatan Kecemasan HTA terus berjalan lancar,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 1 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen