Penyiasat forensik tak cukup peralatan tangani Covid-19


Mohd Farhan Darwis

Petugas kesihatan yang memakai PPE memindah jenazah pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 ke atas troli sebelum dipindahkan dari ICU ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Jun, 2021.

PENYIASAT forensik masih kekurangan peralatan untuk menangani kes kematian Covid-19 dengan peningkatan jumlah kematian Covid-19 setiap hari.

Pakar di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) memberitahu The Malaysian Insight, tuntutan itu meningkat pada waktu ini kerana Covid-19 perlu diuji ke atas semua kes kematian.

Seorang pakar di institut Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, saringan diwajibkan ke atas semua mayat yang diterima.

Jelasnya, ia termasuk kes pesakit tiba di hospital selepas meninggal dunia atau brought in dead (BID) dan juga kes kematian berkaitan siasatan jenayah.

Dalam kes seperti itu, saringan Covid-19 imbasan computed tomography atau CT scan dijalankan ke atas mayat berkenaan, katanya sewaktu menjelaskan proses yang dijalankan.

“Walaupun sekiranya ujian menunjukkan mayat itu positif Covid-19, jika terdapat kecederaan mayat akan diperiksa dan menjalani bedah siasat berisiko tinggi,” katanya.

Dalam keadaan ini, bedah siasat ke atas mayat pesakit dengan virus yang amat mudah berjangkit seperti Covid-19 itu amat berisiko.

Mereka memerlukan pasukan yang terlatih, peralatan perlindungan diri (PPE) Tahap 3 serta fasiliti bilik bedah siasat bio-keselamatan tahap 3 (BSL-3), katanya.

“Sewaktu pandemik kes BID perlu dirisikokan sebagai kes berisiko tinggi.

“Tanpa BSL-3, sukar untuk jalankan pemeriksaan bedah siasat selain jaminan keselamatan kepada petugas dan persekitaran jika mengendalikan kes berisiko tinggi,” katanya.

Antara lain, pernah menangani bedah siasat kes kematian berisiko tinggi seperti H1N1 dan penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang awam atau kakitangan.

Jelasnya, PPE Tahap 3 yang digunakan itu dilengkapi sistem bantuan pernafasan khas untuk mengelakkan penyiasat terdedah kepada persekitaran dalam BSL-3.

Bilik BSL-3 itu pula dilengkapi dengan sistem pengudaraan khas dalam ruang kedap udara serta tekanan negatif, kata Hafizam.

Tambahnya udara dalam bilik tersebut dinyahkan melalui sistem ekzos dilengkapi penapis dan alat pancaran sinar ultraviolet untuk membunuh kuman.

“Ia bagi memastikan udara dilepaskan dari bilik ini bebas patogen terutama Sars-Cov yang menyebabkan Covid-19,” katanya.

Semua peralatan ini diperlukan bagi mengurangkan risiko penyebaran jangkitan ke luar dapat disamping memastikan kelancaran proses perjalanan terakhir mayat, jelasnya.

Namun selain di HKL, hanya dua hospital lain dilengkapi bilik bedah siasat seperti itu – Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.|

Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata bedah siasat ke atas mayat pesakit dengan virus yang amat mudah berjangkit seperti Covid-19 itu amat berisiko. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Jun, 2021.

Hafizam menjelaskan, hospital utama di setiap negeri perlu dilengkapi fasiliti tersebut kerana kegunaannya yang tinggi sewaktu pandemik Covid-19.

“Pada pendapat saya, jika bilik BSL-3 tidak dapat dibina di setiap jabatan forensik, alternatifnya adalah kita boleh usahakan diwujudkan BSL-3 bergerak.

“Ini dapat mengelakkan mayat dialih dari satu fasiliti ke fasiliti lain, kerana jika mayat dibawa dari jauh ia mendedahkan mayat berisiko tinggi itu kepada persekitaran.

“Perjalanan itu juga mengambil masa dan mendedahkan mayat kepada proses pereputan, maka BSL-3 mudah alih itu boleh digerakkan ke mana-mana tempat yang memerlukan ketika pandemik.”

IPFN HKL kini perlu menampung keperluan beberapa negeri di semenanjung dan merupakan satu-satunya fasiliti dilengkapi kemudahan pengimbas CT bedah siasat.

“Fasiliti ini sedia ada di HKL sejak 2009 dan sudah berusia 12 tahun.

“Saya secara profesional berpandangan fasiliti ini sepatutnya ada di setiap jabatan perubatan forensik hospital utama negeri,” katanya.

Tambahnya, peralatan imbasan CT bedah siasat amat perlu untuk memberi panduan kepada pakar perubatan forensik menguruskan satu-satu kes kematian.

Ia memberi kelebihan kerana tidak memerlukan pemeriksaaan dalaman selain jaminan keselamatan kepada petugas disamping mempercepatkan pemeriksaan dan pengurusan mayat

“Fasiliti pengimbas CT ini sangat membantu menentukan kes BID mati akibat Covid-19 atau tidak.

“Dapatan imbasan CT scan boleh menentu sahkan penghidap Covid-19 itu mati akibat keradangan paru-paru diakibatkan oleh Covid atau tidak,” katanya.

IPFN kini mempunyai kekuatan 60 kakitangan termasuk pakar perubatan forensik, para pegawai perubatan, sains forensik, jururawat dan kakitangan pentadbiran.

Jumlah kematian ditangani IPFN sejak Januari hingga Jun meningkat lebih 22% berbanding tempoh sama pada tahun lalu sewaktu institut itu menangani 1,536 mayat.

Daripada jumlah itu, sejak Januari hingga 20 Jun 2021, IPFN menguruskan 483 kematian berkaitan Covid-19.

Sebanyak 368 kes melibatkan kematian di hospital dan baki 115 kes BID yang positif Covid-19.

Ia menunjukkan peningkatan tinggi berbanding 37 kematian positif Covid-19 di dalam wad di HKL dalam 8 kes BID untuk tempoh sama tahun lalu.

Sepanjang 2020 juga, IPFN menguruskan kira-kira 3,961 mayat dan menjalankan 718 pemeriksaan mayat. – 30 Jun, 2021.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen