Malaysia catat 16 kes koronavirus


Alfian Z.M. Tahir

Seorang pelancong wanita China disahkan positif koronavirus baharu (2019 n-CoV) semalam, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Februari, 2020.

SEORANG pelancong wanita China berusia 60 tahun disahkan positif koronavirus baharu (2019 n-CoV), menjadikan jumlah keseluruhan kepada 16 kes, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wanita itu masuk ke Malaysia pada 25 Januari bersama seorang lagi wanita berusia 35 tahun yang disahkan positif virus itu pada Rabu lalu.

“Wanita ini mengembara ke Malaysia pada 25 Januari. Dia datang bersama anak perempuan dan suaminya, dan juga seorang lagi wanota yang disahkan positif sebelum ini.

“Dia disahkan positif 7 Februari (semalam) dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Kuala Lumpur,” kata Wan Azizah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis lalu berkata wanita China berusia 35 tahun itu tiba di Kuala Lumpur pada 25 Januari bersama ibu dan tiga rakan.

Mereka melawat beberapa lokasi pelancongan di Kuala Lumpur sebelum jatuh sakit pada 1 Februari. – 8 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen