Kementerian Kesihatan bendung jangkitan Covid-19 di wad psikiatri HKL, kata menteri


Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata langkah pencegahan dan pembendungan sedang dijalankan serta dibuat dengan cermat agar tiada penularan selain tidak memberi kesan terhadap sektor perkhidmatan kesihatan yang lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Julai, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan sedang membendung penularan Covid-19 di wad psikiatri lelaki di Hospital Kuala Lumpur selepas 10 individu dikesan positif, kata menterinya Dr Adham Baba.

Wad itu tidak akan menerima pesakit baharu sementara mereka yang sedia ada akan kekal di wad itu buat sementara waktu, katanya.

“Ini untuk pastikan tiada penularan dan memberi kesan kepada sektor perkhidmatan kesihatan lain,” katanya, seperti dipetik media hari ini.

Jelas Dr Adham, proses pencegahan dan pembendungan itu akan dibuat dengan cermat bagi memastikan ia tidak menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan di bidang yang lain.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan bahawa wad psikiatri lelaki itu ditutup sekali lagi pada Sabtu selepas pihak berkuasa mengesan lapan kes Covid-19 dalam kalangan kakitangannya.

Wad tersebut baharu dibuka kira-kira seminggu selepas ditutup dua minggu pada bulan lalu kerana jangkitan Covid-19 yang melibatkan empat pesakit.

Sumber memberitahu sekurang-kurangnya 56 kakitangan jabatan itu dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada seorang pesakit yang dimasukkan ke wad pada 1 Julai. – 6 Julai, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen