WAD lelaki di jabatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) diarahkan tutup pada Sabtu selepas lapan pesakit didapati positif Covid-19.
Wad tersebut baharu dibuka kira-kira seminggu selepas ditutup dua minggu pada bulan lalu kerana jangkitan Covid-19 yang melibatkan empat pesakit.
Bercakap kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak disebutkan nama, seorang kakitangan perubatan berkata sejumlah 56 kakitangan jabatan itu kini dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada sumber jangkitan baharu, iaitu seorang pesakit yang dimasukkan ke wad pada 1 Julai 2021.
Kakitangan perubatan itu mendedahkan, doktor dan pakar perubatan antara 17 daripada 56 kakitangan perubatan yang dikenal pasti sebagai kontak rapat.
Semua 56 kakitangan diberitahu untuk hadir membuat ujian antara hari Ahad dan Isnin, kata sumber itu.
“Pesakit dirujuk ke HKL dari sebuah hospital swasta dan menjalani ujian RT-PCR pada 29 Jun. Hasilnya negatif.
“Ketika dia datang ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL pada 30 Jun, ujian Antigen RTK dibuat, dan itu juga negatif. Kemudian, dia dimasukkan ke wad psikiatri pada 1 Julai.
“Dia dijadualkan menjalani terapi elektrokonvulsif pada 5 Julai, jadi kami perlu buat ujian RT-PCR sebab itu adalah sebahagian dari prosedur operasi standard (SOP). Tetapi bila kami buat ujian pada 2 Julai dan hasilnya keluar pada 3 Julai, dia didapati positif Covid-19,” kata sumber itu.
Kakitangan perubatan itu berkata, kemudiannya ujian Covid-19 segera dibuat pada semua pesakit lain di wad tersebut.
“Kami buat ujian ke atas semua 13 pesakit lain di wad lelaki dan hasilnya tujuh lagi positif, tiga negatif dan tiga yang lain masih tunggu keputusan.
“Wad ditutup pada Sabtu sekitar pukul 3 petang, selepas semua keputusan keluar,” kata sumber itu, menambah tidak ada pesakit baharu yang akan dimasukkan ke wad sehingga diberitahu lebih lanjut.
Sumber itu juga berkata kontak rapat kepada tujuh pesakit yang lain belum dapat dikenal pasti.
“Ini boleh jadi sangat besar, ini sudah dianggap kluster.”
Kenyataan kakitangan perubatan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan pada Ahad menafikan hospital telah menutup wadnya kerana penularan Covid-19 meningkat.
Menjelaskan keadaan di jabatan psikiatri, yang memiliki total tiga wad (satu wad wanita dan dua wad lelaki), sumber itu berkata semua pesakit positif kini ditempatkan di salah satu wad, sementara mereka yang diuji negatif ditempatkan di sebuah bilik pengasingan, sementara menunggu ujian lain pada Selasa.
Sumber itu berkata, sekarang mereka mungkin akan buka semula wad lelaki lain untuk kemasukan baharu, selepas wad dibersihkan, yang kini masih belum dapat dipastikan bila.
Ini adalah kali kedua wad ditutup selepas pesakit didapati positif Covid-19.
“Pada 28 Jun kami buka wad selepas tutup dua minggu kerana empat pesakit diuji positif,” kata sumber itu.
Minggu lalu, HKL juga berhadapan krisis apabila ada kemasukan pesakit ke wad kecemasan, mengakibatkan beberapa pesakit terpaksa dirawat di lantai.
Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengambil beberapa langkah untuk menambah penggunaan katil di hospital, termasuk memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta. – 5 Julai, 2021.
Komen