KKM tangani masalah kekurangan katil di hospital Lembah Klang, kata KP kesihatan


KKM mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah kekurangan katil hospital di Lembah Klang disebabkan peningkatan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mengambil beberapa langkah bagi menangani jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang yang menyebabkan kekurangan katil di hospital awam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata, langkah-langkah itu termasuk memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, kementerian juga meningkatkan keupayaan HKL untuk merawat pesakit Covid-19 dalam kategori 4 dan 5.

“Ini adalah dua kategori pesakit Covid-19 paling teruk di mana mereka memerlukan bantuan oksigen dan rawatan intensif.

“Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga akan dipertingkatkan kapasiti agar lebih ramai pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 dapat dirawat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM juga akan meningkatkan keupayaan Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi merawat pesakit Covid-19.

Tambahnya, kementerian juga menjadikan Hospital Ampang sebagai hospital Covid-19 mulai 30 Jun.

Noor Hisham juga berkata bahawa jumlah pesakit Covid-19 termasuk kes yang disyaki dan kemungkinan dijangkiti masih tinggi di Lembah Klang.

Beliau menambah terdapat 1,224 pesakit Covid-19 termasuk kes yang disyaki dan kemungkinan dijangkiti dimasukkan ke ICU di mana 567 daripadanya berada di Lembah Klang. 

“Terdapat ramai pesakit kritikal yang masih berada di Jabatan Kecemasan & Trauma hospital-hospital di Lembah Klang yang belum dapat dimasukkan ke wad kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad dan ICU,” katanya.

Awal hari ini Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kadar penggunaan katil pesakit termasuk repurpose bed (katil yang diubah suai) di hospital-hospital di Lembah Klang kini melebihi 85%.

Beliau berkata mengambil kira keperluan katil tambahan, khususnya di unit rawatan rapi (ICU), Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan beberapa langkah afirmatif segera untuk menangani keadaan luar jangka kedatangan atau rujukan pesakit yang tinggi ke hospital-hospital kementerian di Lembah Klang, terutamanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Antaranya ialah meluaskan lagi penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan HKL menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19. 

Selain itu, kapasiti katil ICU dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), akan ditingkatkan bagi menerima serta merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

“Turut dilaksanakan ialah memberi penugasan semula sementara kepada petugas kesihatan merangkumi pakar perubatan dan anggota paramedik dari negeri tertentu, bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti yang memerlukan petugas kesihatan tambahan untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Dalam pada itu, Dr Adham berkata daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71% adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima, manakala bakinya pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.

Berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima 60 hingga 70 pesakit Covid-19  sehari dengan purata tiga pesakit kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan selain perlu dirawat di ICU. 

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan 6,045 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan Selangor terus menyumbang sebahagian besar kes.

Selangor melaporkan 2,262 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 616 kes. – 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen