China azam lindungi multilateralisme sebenar


PERSIDANGAN Peringkat Menteri ke-12 Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang diadakan di Geneva pada 12 hingga 17 Jun menyaksikan kesepakatan “1+4” berjaya dicapai melalui beberapa pusingan rundingan melibatkan pelbagai pihak. 

“1” merujuk kepada “Dokumen Pencapaian Persidangan Peringkat Menteri ke-12 WTO”, iaitu pelbagai pihak berazam untuk terus meningkatkan mekanisme perdagangan multilateralisme berteraskan WTO, di samping mendorong pembaharuan penting.

Sementara “4” pula merujuk kepada kata sepakat yang dicapai pelbagai pihak dalam empat aspek termasuk wabak Covid-19, subsidi perikanan, keselamatan bijirin dan e-niaga.

Wakil tetap China di WTO, Li Chenggang berkata WTO mengamalkan prinsip mencapai kesepakatan melalui perbincangan.

Menurut beliau, anggota WTO saling menyokong dan bertolak ansur untuk memastikan persidangan kali ini mencapai hasil memberangsangkan manakala China pula memainkan peranan yang bersifat membina.

Li berkata peranan membina yang dimainkan China boleh dilihat dalam pencapaian pengecualian hak cipta intelek vaksin Covid-19, pembaharuan WTO dan subsidi perikanan.

“China membawa masuk vaksin Covid-19 ciptaan sendiri ke dalam kerangka pengecualian, sambil komited untuk tidak mengejar kefleksibelan dalam pengecualian vaksin.

“Ini bermakna China tidak akan berasing dengan negara-negara membangun lain demi keuntungan,” katanya. 

Dalam rundingan subsidi perikanan pula, China dan Amerika Syarikat telah sepakat dalam satu topik utama yang dilihat kondusif bagi menghapuskan segala halangan dalam rundingan terbabit.

Li menekankan bahawa melindungi multilateralisme sebenar dan sistem perdagangan pelbagai hala yang berteraskan WTO merupakan matlamat utama China. – Bernama, 20 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen