Pusingan kedua rundingan Korea Selatan, Jepun akhir bulan


Presiden Korea Selatan Moon Jae In kiri) dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe bersetuju menyelesaikan isu-isu yang tertangguh menerusi dialog semasa pertemuan mereka di Bangkok awal minggu ini. – Gambar AFP, 8 November, 2019.

KOREA Selatan pada Jumaat berkata ia telah bersetuju mengadakan rundingan pusingan kedua dengan Jepun pada akhir bulan ini dalam usaha terbaru untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan yang sedang berlaku berhubung sekatan eksport Tokyo di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Chung Hae Kwan, Ketua Pengarah Hal Ehwal Pelbagai Hala dan Perundangan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan Chung Hae Kwan akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Jepun Junichiro Kuroda pada 19 November di Geneva, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian itu.

“Kami akan berusaha sedaya-upaya untuk menyelesaikan sekatan eksport Jepun dengan pantas,” menurut kenyataan itu.

Rundingan itu adalah sebahagian daripada proses penyelesaian pertikaian di bawah peraturan WTO.

Bulan lepas, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan pertama mereka di Geneva berkaitan aduan Seoul kepada badan perdagangan global itu berhubung sekatan eksport Tokyo.

Pada Julai, Tokyo mengenakan peraturan yang lebih ketat ke atas eksport ke Seoul bagi tiga bahan yang penting dalam penghasilan semikonduktor dan paparan fleksibel.

Jepun kemudian menyingkirkan Korea Selatan daripada senarai rakan dagang pilihannya.

Korea Selatan mendakwa langkah Jepun itu adalah tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Agung Korea Selatan tahun lepas yang mengarahkan beberapa syarikat Jepun membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa Korea Selatan semasa era penjajahan Jepun di Semenanjung Korea pada 1910 hingga 1945.

Jepun berkata peraturan-peraturan itu perlu kerana Korea Selatan melaksanakan sistem kawalan yang longgar ke atas perdagangan barangan sensitif, yang disangkal keras oleh Seoul.

Awal minggu ini, Presiden Korea Selatan Moon Jae In dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe bersetuju menyelesaikan isu-isu yang tertangguh menerusi dialog semasa pertemuan mereka di Bangkok, yang merupakan rundingan empat mata pertama kedua-dua pihak dalam tempoh lebih setahun susulan hubungan tegang itu.

Konsultasi dua hala itu adalah langkah pertama dalam penyelesaian pertikaian WTO.

Jika kedua-dua pihak gagal mengecilkan perbezaaan mereka dalam tempoh 60 hari, Badan Penyelesaian Pertikaian WTO akan menubuhkan satu panel untuk meneliti dengan lebih lanjut kes itu. – Bernama, 8 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen