Muka-muka muda Melayu DAP menuju PRU15


Izmil Amri

BEBERAPA tahun lalu, kalau ada orang Melayu mengisi borang (baru isi, belum hantar) untuk menyertai DAP, nawaitu mereka itu akan disambut secara gilang-gemilang. 

Paling tidak dibuat sidang media untuk dipalu gong keterangkuman dan memberitahu sekalian orang kampung bahawa Parti Tindakan Demokratik itu bukanlah sebuah ‘parti Cina’.

Menjadi suatu keperluan waktu itu, ketika DAP yang baharu mengambil alih teraju pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, dihujani serangan saban minggu dan demonstrasi hampir setiap sudah solat Jumaat di Masjid Simpang Enam yang memperjuangkan bermacam-macam hal yang sebelum itu tiada pernah kedengaran.

DAP dilihat sebagai sebuah ‘parti Cina’ meski ia bukan se-Cina MCA kerana barisan kepimpinan utamanya itu dipenuhi warga berketurunan Cina. 

Lim Guan Eng yang ketika itu Setiausaha Agung DAP memikul amanah sebagai Ketua Menteri. 

Apa lagi peluru yang dimiliki Umno dan juak-juaknya pada zaman tersebut selain bermain sentimen kaum dan agama, mendakwa orang Melayu di Pulau Pinang ditindas dan agama Islam menjadi bahan hinaan DAP.

Hatta sehingga satu tahap itu, gosip paling mengarut yang dimainkan ialah kononnya Pulau Pinang sudah tidak lagi membenarkan azan berkumandang. 

Lebih jenuh lagi, ada pula ‘yakpur-salam’ yang percaya. Muncul lah kemudian daripada itu fatwa haram mengundi DAP, tuduhan ‘kafir harbi’ dan sebagainya.

‘Yakpur-salam’ ini, kalau dalam bahasa orang Pulau Pinang, kira habis tak boleh pakailah otaknya.

Tetapi orang Pulau Pinang yang cerdik pandai tenang-tenang sahaja, yang Melayu terutamanya. 

DAP dan rakan-rakan terus mengemudi kerajaan negeri pada tahun 2013, dan seterusnya pada tahun 2018 menyertai kerajaan persekutuan di bawah kelolaan Dr Mahathir Mohamad. Lim Guan Eng pun jadi menteri kewangan. 

Semua ini berlaku kerana bertambahnya sokongan orang Melayu terhadap DAP.

Pun begitu, serangan tidak pernah berhenti. Malah sehingga ke hari ini, sebutan ‘ringek’ oleh Guan Eng masih menjadi bahan gelak ketawa orang Umno dalam usaha membingkai DAP sebagai sebuah parti orang jahat. Habis tak ada modal, itu pun jadi. Semuanya salah DAP, ‘parti Cina’, komunis, anti-Melayu, anti-Islam.

Namun hari ini, berbeza dengan lebih sepuluh tahun lalu ketika Zairil Khir Johari diumum menyertai DAP dan dilantik menjadi setiausaha politik Guan Eng, populasi orang Melayu dalam DAP sudah tidak menjadi tajuk berita. 

Melayu masuk DAP bukan lagi benda luar biasa. DAP dengan cemerlangnya, telah melunturkan imej ‘Cina’ yang menjadi momokan Umno kepada orang kampung.

Tapi iyalah, benda begini orang tak sebut sangat. Sama halnya sepertimana orang tidak begitu bercakap tentang cawangan DAP Shah Alam yang dikepalai anak-anak muda Melayu.

DAP Shah Alam

Cawangan Shah Alam sudah begitu lama menjadi angan-angan beberapa orang teman satu dekad lampau ketika DAP melalui organ penerangan berbahasa Melayunya, Roketkini menyusun sebuah forum di hotel Quality. Betul-betul di tengah pusat bandar Shah Alam. 

Dengan menghadirkan Guan Eng, sidang pengarangnya menahan rasa gundah memikirkan siapalah yang akan datang mendengar Ketua Menteri Pulau Pinang berbicara tentang parti politik ‘majoriti Cina’ di tengah-tengah bandar majoriti Melayu. UiTM pula sepelaung sahaja.

Ternyata angan-angan itu menjadi nyata. Forum dihadiri ramai orang yang datang selepas solat isyak, dan sepuluh tahun kemudian sebuah cawangan parti berjaya ditubuhkan dengan dipimpin nama-nama besar seperti Syahredzan Johan dan Normiswary Ramli.

Itu baru Shah Alam. Belum lagi kita kira yang di Kelantan. Tapi mungkin tak payahlah kita sebut, sebab entahlah apa yang dibuat oleh Zaid Ibrahim.

Namun hakikat yang lebih nyata ialah semakin ramai anak muda Melayu memutuskan untuk bergabung dengan DAP, meski disaji dengan begitu banyak cerita-cerita karut tentang parti tersebut. 

Lebih lucu lagi, tukang jaja cerita karut ini semua tidak pernah pun mahu bersemuka dengan anak-anak muda Melayu DAP ini dan berkongsi pengalaman karutnya itu. Hilang ghaib semua, tiada berita.

Dengan berbekalkan kefahaman bahawa memang sedang terjadi kebanjiran orang Melayu menyertai DAP, muncul lah persoalan politik yang tidak dapat dielakkan: Adakah DAP akan memberi lebih banyak ruang untuk mereka ini lanjut mengejar cita-cita politik mereka?

Lebih ramai calon Melayu?

Pada pilihan raya umum 1974, DAP mempertaruhkan 38 orang calon Melayu. Dalam PRU itu, 14 daripada 33 calon DAP yang bertanding di DUN Perak adalah calon Melayu. Salah seorangnya, Daeng Ibrahim menewaskan calon MCA di kerusi DUN Pasir Puteh.

Nama-nama besar seperti Ibrahim Singgeh, Fadzlan Yahya dan Salleh Nakhoda Hitam tentunya tidak ketinggalan. Ibrahim terlebih dahulu menang di DUN Tapah, Perak pada PRU 1969, manakala Hassan Ahmad menang di DUN Si Rusa, Negeri Sembilan.

DAP kemudiannya menghantar 57 calon Melayu pada tahun 1978, diikuti 25 calon Melayu pada tahun 1982, yang menyaksikan Fadzlan Yahya menang di DUN Pasir Bedamar, Perak.

Pada PRU 1990, Ahmad Nor, pemimpin kesatuan sekerja yang terkenal, menjadi Ahli Parlimen Melayu DAP yang pertama, setelah menang di kerusi Bayan Baru, Pulau Pinang. 

Setelah itu, dalam PRU pada tahun 1995, 10 orang calon Melayu dipertaruhkan di Pulau Pinang.

Pada PRU ke-14, DAP meletakkan 10 orang calon Melayu di peringkat DUN dan Parlimen. Menang semua, kecuali satu. 

Selepas Langkah Sheraton, lompat seorang yang kemudian setelah PRN Melaka, berkuburlah kerjaya politiknya. Kini diberitakan kembali memandu lori.

Adun Ketari, Young Syefura Othman kini menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), sambil turut menjadi timbalan ketua sayap pemuda parti, DAPSY. 

Begitu juga Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Syahredzan, turut menganggotai CEC bersama Sheikh Umar Ali, mantan Adun Paloh.

Mereka yang masuk CEC ini, adakah akan ditolak ke kerusi Parlimen? 

Setelah Dr Ong Kian Ming mengumumkan tidak mahu bertanding pada PRU15 nanti, kerusi Bangi nampaknya bakal menyaksikan kemunculan Syahredzan yang akhir-akhir ini kerap betul berkongsi gambar makan-makan bersama penduduk bandar UKM.

Bagaimana pula dengan Dr Aziz Bari yang dahulu pernah disebut-sebut mahu dijadikan Menteri Besar Perak? 

Sebut tentang menteri besar, bagaimana kalau setiausaha politik Hannah Yeoh, Nor Miswary Ramli, diletak bertanding di Kedah? 
Khabarnya anak muda ini punya kaliber besar dan disayangi ramai orang ketika bertugas di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Setelah Tony Pua dikhabarkan akan bersara, adakah kerusinya akan diambil alih oleh Yeo Bee Yin. Jika ya, adakah Sheikh Umar akan dihantar ke Parlimen Bakri?

Bagaimana pula dengan Syerleena Rashid, Adun Seri Delima yang begitu terkedapan dengan isu-isu wanita; adakah beliau akan ditawarkan ke Parlimen untuk memperlihatkan potensi sebenarnya? 

Adakah Zairil Khir Johari akan menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang?

Ini belum masuk nama-nama yang telah ditugaskan sebagai penyelaras DUN di beberapa negeri. 

Mereka khabarnya sedang bersiap sedia untuk bertanding di kerusi-kerusi marjinal yang pernah disandang pengkhianat daripada PPBM. Muda-muda belaka, bertudung juga ada.

Lebih penting lagi daripada spekulasi dan sembang kedai kopi ini semua adalah kesediaan orang lama DAP untuk melihat partinya betul-betul ditarik ke tengah dan mencairkan habis-habisan imej ‘parti Cina’ itu, agar dilihat sebagai sebuah parti yang benar-benar ‘Malaysian’. Bukan hanya ramai orang Cina.

Kerusi Skudai misalnya memperlihatkan bagaimana Marina Ibrahim, diberikan mandat di kerusi yang secara tradisinya ditandingi Lelaki-Cina-Berusia. 

Meski kononnya ada sedikit rasa tidak selesa dalam kalangan akar umbi yang merasakan seorang wanita Melayu tidak patut dijadikan calon di situ.

Atau adakah nanti bila sampai saat memikul beban berbagi kerusi, DAP pun akan akhirnya akur bahawa ia perlu mengamalkan kuota supaya setiap kaum diwakili secara saksama?  – 18 Jun, 2022.     

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen