Di mana buku Islam kemanusiaan di pesta buku?


Mohd Syazreen Abdullah

PENYAKIT paling dibimbangi bukan masyarakat buta huruf tetapi penyakit tidak nampak kepada kemunduran bangsa dan agamanya – buta kemanusiaan.

Dengan membaca, boleh bikin peradaban dan kemanusiaan. Semestinya budaya ilmu melahirkan masyarakat yang tercerah. 

Namun, apakah seseorang gila yang membaca itu sudah tercerah? Seperti seseorang yang belajar di menara gading itu sudah tercerah?

Apakah itu masyarakat tercerah?

Menurut pemikir sosiologi Ali Syariati, untuk membangun peradaban haruslah mengetahui di manakah langkah yang harus dimulai. Lebih jujur, dari mana kita harus mulai dalam masyarakat kita?

Kita harus bermula dengan kesedaran tanggungjawab melihat keadaan di mana kedudukan masyarakat kita berada. Apakah kita hidup dalam budaya masyarakat yang menerapkan nilai progresif atau sebaliknya?

Tanyalah pada hati dan iman; masyarakat kita kaya dengan nilai progresif atau sebaliknya?

Justeru, kita harus mengetahui bentuk dan badan pengetahuan (body of knowledge) yang lahir dari tradisi dan budaya sekali gus membentuk karakteristik masyarakat.

Justeru semangat nilai-nilai progresif harus bernafas dalam budaya masyarakat sehingga kita tidak benarkan keganasan, kejahilan dan kezaliman berlaku. Nilai tersebut harus menjadi kesedaran dan kepekaan batin mereka yang tercerah.

Orang tercerah harus sedar terhadap nasib kemanusiaan sosial. Mereka tidak sesekali terjebak kepada penyimpangan moral atas nama agama.

Mereka harus mengalihkan perhatian sedar rakyat daripada memikirkan hal-hal ritual agama yang sia-sia kepada tanggungjawab kemanusiaan sosial. 

Orang tercerah tidak mudah ditipu dan terkena biusan muluk-muluk agama, sebaliknya membimbing masyarakat untuk cintakan kemanusiaan, kebebasan, toleransi, keadilan, dan kedamaian. 

Masyarakat harus dibimbing bahawa agama adalah tempat kedamaian. Bukan konflik persengketaan. Lembaga agama harus menjadi jambatan kemanusiaan.

Nilai progresif Islam harus subur mekar dalam pemikiran masyarakat pada hari ini. Suara-suara agama mesti bangkit untuk melawan kekerasan rumah tangga, pelecehan seksual, kejahatan patriarki dan melindungi golongan tertindas. 

Justeru, masyarakat beragama harus mencintai kemanusiaan.

Malang

Malangnya, kesedaran nilai-nilai kemanusiaan ini tidak menjadi agenda utama dalam pembudayakan masyarakat beragama khususnya sudut pelaksanaan diskusi dan penerapan nilai-nilai kemanusiaan tersebut dalam pengetahuan.

Contohnya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL). Medan pertempuran industri pembukuan itu disambut cukup meriah sehingga mencecah puluhan ribu pengunjung setiap hari.

Para pempamer, pendagang, pengarang dan ilmuwan disatukan di dalam acara pertemuan. Bagi pecinta buku, kemeriahan pesta buku umpama syurga dunia.

Kalau dilihat jumlah dan kemeriahan masyarakat Malaysia menyambut budaya membaca seperti acara di PBAKL, tentunya kita sudah boleh menarik lafaz lega.

Namun dari sudut tercerahan, itu harus kita persoalkan.

Bacaan bagaimana yang menjadi budaya masyarakat Malaysia pada hari ini? Khususnya melihat kepada pengunjung paling ramai Melayu Islam di PBAKL. Realitinya, kita harus insaf dan sedar diri. 

Masyarakat lambak

Masyarakat lambak sinonim terjadi pada sebahagian budaya masyarakat kita pada hari ini.

Lambak dimaksudkan oleh pemikir Sepanyol, Jose Ortega Gasset sebagai manusia yang tidak mahu majukan diri dan rela dibentuk dengan arus kekuasaan majoriti.

Masyarakat yang mudah disuap rasuah, ketidakadilan dan kekerasan walau atas nama agama sekali pun.

Ciri-ciri nilai progresif tidak wujud pada kesedaran masyarakat lambak. Mereka tidak sedarkan diri yang kejahilan mereka ini boleh merosakkan ketamadunan dan kemanusiaan.

Maka tidak mustahil, seandainya masih wujud sebahagian masyarakat Melayu Islam hari ini berpesta memborong dan membaca buku-buku tetapi tiada integriti dan kompas moralnya melencong. 

Kontradiksi atau penyimpangan moral ini tidak akan terjadi pada masyarakat yang membudayakan ilmu dan memahami agama dari lensa yang benar.

Jadi budaya ilmu dan buku bagaimana yang disumbat ke dalam sebahagian pemikiran Melayu Islam hari ini seandainya kompas moral masih bermasalah?

Buku agama

Mari kita tumpu pada buku-buku agama khususnya dalam industri buku di Malaysia yang mempengaruhi sebahagian jalur pemikiran masyarakat beragama pada hari ini.

Lihatlah di PBAKL, hampir boleh dikatakan banyaknya buku-buku agama masih bersifat ibadah solat, haji, puasa, cara mandi wajib dan taharah.

Lebih mual buku-buku agama dipamerkan bentuk novel islamik yang tidak membangun semangat kemanusiaan langsung.

Sehingga ke hari ini, masyarakat kita lebih sibuk dihidangkan santapan rohani mereka dengan bacaan tentang soal Dajjal, Imam Mahdi, dan Khilafah berbanding soal Islam yang melawan pelecehan seksual, Islam dan kelestarian alam, Islam melawan patriarkisme, keadilan sosial, dan perlawanan korupsi.

Bukan tidak ada langsung buku-buku Islam yang menerapkan nilai-nilai kemanusiaan di PBAKL tetapi jumlah itu masih tidak banyak dan boleh dihitung jari.

Betapa tidak serius kita terhadap kesedaran membawakan nilai-nilai progresif dalam kebudayaan masyarakat beragama hari ini.

Masyarakat tercerah

Mengapakah buku-buku progresif tidak banyak?

Masyarakat tercerah bermula dengan individu yang tercerah. Sesuatu kesedaran kemanusiaan tidak akan hidup dalam budaya masyarakat tanpa wujud kesedaran tanggungjawab sosial.  

Justeru para ahli akademik, pemikir, aktivis dan agamawan harus banyak menulis dan mendominasikan wacana nilai-nilai progresif.

Buku-buku perihal kemanusiaan harus lebih banyak berbanding jualan al-Quran dan buku-buku dakwah agama bersifat “keras” dan konservatif.

Jika kita mahu memandaikan masyarakat dan bangsa, kita harus memperbanyakkan penulisan Islam yang progresif.

Justeru harus wujud kelompok penulis progresif yang banyak menulis tentang nilai-nilai progresif. 

Malangnya, tidak ramai mereka menulis jika dibandingkan penulisan para agamawan konservatif dan ustaz selebriti.

Kewujudan kelompok konservatif disambut hampir keseluruhan masyarakat pada hari ini. Tidak mustahil masyarakat hari ini memilih Islam yang jauh dari landasan kemanusiaan. 

Mereka lebih suka belajar Islam perihal ibadah taharah setiap saban tahun berbanding belajar tentang Islam yang melawan kekerasan.

Mereka lebih suka belajar teknik dan strategik bisnes gaya Nabi Muhammad berbanding mendalami intipati kemanusiaan perjuangan nabi.

Maka, para aktivis yang melaungkan obor kemanusiaan harus rasa malu dan insaf andai masih tidak serius dalam mencerahkan masyarakat melalui penulisan. 

Jangan banyak bercakap sehingga pena kemanusiaan itu jauh kepada masyarakat.

Jangan melenting dan marah seandainya kemeriahan budaya membaca masyarakat kita hari ini telah didominasi oleh pena ustaz-ustaz anti-kebebasan, anti-toleransi dan anti kedamaian. 

Jangan buat-buat terkejut jika masyarakat kita sanggup menghabiskan duit dan masa semata-mata membaca buku agama yang dianggap picisan dan jauh daripada semangat kemanusiaan.

Demikian sifat pencerahan dan tanggungjawab sosial sebagaimana dimaksudkan oleh Ali Syariati masih belum bersebati utuh dalam kesedaran diri kita.

Sudah tentu, pembudayaan terhadap bacaan buku-buku kemanusiaan mampu menghentikan krisis keganasan yang banyak terjadi pada hari ini.

Jadi, di manakah para penulis progresif dalam masyarakat pada hari ini? – 12 Jun, 2022.
 

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen