Mahkamah Uganda perintah bebaskan penulis satira


Pengarang satira dan pengkritik kerajaan Kakwenza Rukirabashaija telah ditangkap di rumahnya di ibu negara minggu lalu. – Gambar Facebook, 4 Januari, 2022.

MAHKAMAH Kampala pada Selasa memerintahkan pembebasan seorang penulis novel Uganda terkenal yang ditahan dan didakwa diseksa selepas beliau menyiarkan komen yang tidak menyenangkan anak lelaki presiden veteran Yoweri Museveni.

Pengarang satira dan pengkritik kerajaan yang lantang Kakwenza Rukirabashaija telah ditangkap di rumahnya di ibu negara minggu lalu.

Rukirabashaija dituduh mengutuk anak lelaki Museveni, Muhoozi Kainerugaba, seorang jeneral berkuasa yang dipercayai ramai akan mengambil alih bapanya yang berusia 77 tahun, dengan menggelarnya “gemuk” dan “perengus” dalam media sosial.

Majistret Irene Nambatya memutuskan Rukirabashaija dibebaskan “tanpa syarat”, dengan berkata: “Setiap pegawai polis harus mematuhi perintah ini.”

Penulis sepatutnya hadir di mahkamah berasingan untuk menjawab tuduhan “komunikasi yang menyinggung perasaan” namun tidak muncul, kata peguamnya Eron Kiiza kepada AFP.

Kiiza berkata pengarang tersebut telah dinafikan akses kepada anak guamnya selain mendakwa telah diseksa semasa dalam tahanan.

“Polis takut untuk bawanya ke mahkamah dengan kesan seksaan, sebab itu mereka tangguh untuk bawanya ke mahkamah,” katanya.

Jurucakap polis, Charles Twiine, berkata Rukirabashaija akan didakwa di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dengan kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun.

Pengarang memenangi pujian atas novel satiranya 2020, “The Greedy Barbarian”, yang menggambarkan rasuah peringkat tinggi di negara fiksyen.

Beliau telah dianugerahkan Hadiah PEN Pinter 2021 untuk Penulis Berani Sedunia, yang disampaikan setiap tahun kepada seorang penulis yang telah dianiaya kerana bercakap tentang kepercayaan mereka.

Rukirabashaija telah berulang kali ditangkap sejak “The Greedy Barbarian” diterbitkan, malah beliau berkata telah diseksa semasa disoal siasat oleh perisikan tentera tentang karyanya. – AFP, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen