Ramai mahu haramkan arak, judi, kelab malam, menurut tinjauan PPIM


Tinjauan oleh PPIM mendapati majoriti responden mahu kerajaan haramkan arak, judi, bar, kelab malam, tempat karaoke dan minuman manis, susulan pengumuman KKM yang merancang untuk melarang penjualan rokok dan produk vape bagi mereka yang ahir selepas 2015. – Gambar EPA, 8 Jun, 2022.

MAJORITI responden tinjauan mahu kerajaan mengharamkan arak, judi, bar, kelab malam, tempat karaoke dan minuman manis, menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Persatuan itu berkata pendapat itu diperoleh hasil tinjauan ke atas 1,259 responden untuk memahami tabiat negatif lain yang perlu diharamkan susulan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan rokok dan vape.

“Hasil tinjauan mendapati 89 peratus mahu kerajaan haramkan arak dan 69 peratus mahu kerajaan haramkan penjualan minuman manis.

“Selain itu, sebanyak 86 peratus mahu kerajaan haramkan perjudian manakala 79 peratus mahu kerajaan haramkan operasi kelab malam, karaoke dan pub,” kata PPIM dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata jika kerajaan bernekad untuk melarang penggunaan merokok dan vape atas sebab kesihatan, responden turut menyarankan kerajaan kenakan larangan yang sama terhadap semua tabiat yang negatif kepada generasi akan datang.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin awal tahun ini mengumumkan pelan untuk mengharamkan penjualan produk tembakau termasuk produk vape kepada individu yang lahir selepas 2005.

Bagaimanapun Nadzim berkata PPIM tidak bersetuju dengan larangan menyeluruh KKM itu kerana boleh membawa kepada masalah lain.

“Ini termasuk antaranya peningkatan jualan barangan pasaran  gelap dan aktiviti jenayah lain.

“Selain daripada kesukaran dari segi penguatkuasaan, ini secara  tidak langsung bakal memberi bebanan kepada agensi penguatkuasaan serta menjadikan pengguna dewasa menjadi penjenayah.

“Sekiranya kerajaan bernekad untuk memperkenalkan larangan untuk merokok dan vape atas sebab kemudaratan kesihatan, ramai juga telah bersuara untuk menyarankan kerajaan mengenakan larangan yang sama untuk membasmi semua tabiat-tabiat yang negatif kepada generasi akan datang,” katanya. – 8 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen