DAP serang PAS sebab paling lemah dalam Perikatan, kerajaan, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Serangan DAP juga menunjukkan ia tidak memandang rendah terhadap pengundi Melayu yang menyokong PAS, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2021.

SERANGAN DAP terhadap PAS baru-baru ini adalah kerana parti Islam itu dilihat paling lemah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Parti itu, kata mereka, juga cuba meraih undi dengan mempertahankan hak orang bukan Islam, terutama orang Cina berikutan prestasi hambar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Walaupun mungkin dilihat paling lemah dalam PN, tambah mereka, serangan DAP itu juga menunjukkan yang ia tidak pandang rendah terhadap pengundi Melayu yang menyokong PAS.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata PAS menjadi sasaran mudah DAP kerana parti itu konservatif dan berasaskan agama.

“PAS menentang judi dan arak sebelum mereka berada dalam kerajaan. PAS sasaran mudah kerana mereka kini berada dalam Kabinet yang buat keputusan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Bagaimanapun, menyerang PAS bukanlah satu strategi yang bijak kerana kerajaan kini didominasi oleh Barisan Nasional (BN) dan bukannya PN,” katanya.

Dalam dasar baharu yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina kini dilarang menjual minuman keras. Dasar itu berkuat kuasa pada 1 November.

Di bawah larangan baharu itu, bir masih dibenarkan dijual walaupun hanya antara 7 pagi dan 9 malam, dan diletakkan jauh dari minuman lain.

Keputusan itu juga menyatakan perniagaan di hadapan balai polis, tempat ibadat, sekolah dan hospital tidak boleh menjual arak.

Di Kedah, kerajaan pimpinan PAS melarang semua operasi kedai nombor ekor selain mengekang penjualan arak di kawasan luar bandar.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata dasar itu tidak ada kaitan dengan kaum atau agama malah beliau tidak menafikan hak orang bukan Islam seperti yang didakwa ramai pihak.

Pada masa sama, laporan berita menyatakan kedai kopi perlu mendapatkan lesen minuman keras untuk menjual bir mulai tahun depan.

DBKL melarang minuman keras dijual di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina mulai 1 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2021.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementerian akan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk memutuskan sama ada kedai kopi dan restoran perlu memohon lesen ini atau tidak.

DAP telah menjadi pengkritik paling lantang terhadap dasar Putrajaya sekitar judi dan arak, menyalahkan PAS atas apa yang dilihatnya sebagai dasar ekstremis.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melabelkan dasar terbaharu ini sebagai polis moral, menafikan kebebasan memilih orang bukan Islam.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata adalah salah untuk menyalahkan PAS atas dasar-dasar ini.

“Tidak betul untuk katakan yang PAS pengaruhi kerajaan Ismail Sabri Yaakob untuk buat dasar-dasar ini terhadap orang bukan Islam.

“Pandangan orang Melayu Islam, PAS tidak beri perhatian dengan isu sebegitu (judi dan arak) sejak ia sertai PN,” katanya.

Awang juga bersetuju dengan Hishammuddin yang PAS adalah sasaran mudah.

“Sejak menyertai PN, banyak tindakan PAS tidak konsisten dengan apa yang mereka perjuangkan selama ini.”

Tarik pengundi

Hisommudin berkata serangan berterusan DAP terhadap PAS berhubung isu lesen arak dan judi menunjukkan parti itu kembali ke akar umbinya untuk mempertahankan isu masyarakat Cina.

“Ini gambaran kesan PRN Melaka di mana DAP gagal tarik pengundi Cina.

“Mereka perlu letak semula diri mereka sebagai pembela pengundi mereka untuk pastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan berulang di Melaka.”

Di Melaka, BN memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.

PH bertanding di semua 28 kerusi, dengan PKR meletakkan 11 calon, Amanah sembilan dan DAP lapan. PKR kalah semua kerusi kepada BN, DAP menang empat manakala Amanah satu.

Sementara itu, Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata serangan DAP terhadap PAS baru-baru ini adalah wajar kerana parti itu konsisten dalam menangani isu yang melibatkan minoriti.

“Serangan terbaharu ke atas PAS adalah dalam perjuangan jangka panjang DAP. Dengan berbuat demikian, ia juga cuba menangi sokongan daripada mereka yang menentang dasar kerajaan baru-baru ini yang nampaknya melanggar hak minoriti.

“Serangan itu wajar dalam rangka perlindungan hak minoriti, dan ia amat penting dalam menyediakan suasana untuk PRU15,” katanya.

Disebabkan DAP telah bersama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, mereka juga sedar tentang pegangan parti Islam itu terhadap pengundi Melayu, tambahnya.

“DAP kenal PAS sejak gabungan dahulu. Ia tahu jika PAS dibenarkan pengaruhi segmen besar orang Melayu, DAP dan PH akan hilang sokongan orang Melayu sebab saiz kecil orang Melayu sederhana yang tinggal jika kebanyakan orang Melayu beralih kepada politik haluan kanan. – 10 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen