Polis Klang rampas arak tiruan bernilai RM100,000


POLIS merampas kira-kira 500 botol dan 254 tin arak tiruan dianggar bernilai RM100,000 selepas memeriksa dua rumah di Meru, di Klang yang dijadikan premis memproses dan menjual minuman keras itu, Rabu lepas. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata pemeriksaan pada kira-kira 4.20 petang itu dilakukan menerusi Ops Kontraban dan premis yang beroperasi secara haram sejak dua tahun lepas tersebut didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen. 

“Polis menahan seorang wanita warganegara Myanmar berusia 21 tahun dipercayai kerani premis bagi membantu siasatan selain merampas wang tunai RM1,066 di dua rumah tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Vijaya Rao berkata wanita itu juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan disyaki menetap di negara ini secara tidak sah sejak 2019.

“Wanita itu kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya kini mengesan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Myanmar berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan kes itu. – Bernama, 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen