Kerajaan digesa benarkan kelab malam beroperasi 


Alfian Z.M. Tahir

Pemilik kelab malam berkata premis berkenaan mematuhi semua syarat lesen dan pematuhan yang ketat termasuk SOP Covid-19.– Gambar EPA, 14 Mac, 2022.

PUSAT hiburan seperti kelab malam terjejas teruk akibat keputusan Putrajaya menutup operasinya dalam usaha menghentikan penularan Covid-19.

Mereka diarahkan untuk terus tutup sejak permulaan wabak pada Mac 2020, dan merupakan satu-satunya aktiviti yang kekal dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara.

Gabungan Industri Perniagaan kini mahukan penjelasan daripada Putrajaya mengapa pusat hiburan ini masih tidak dibenarkan beroperasi.

Pengasas bersama penyelaras kumpulan berkenaan Irwin Cheong dalam satu kenyataan menegaskan keperluan untuk kerajaan mengadakan pertemuan dengan pemain industri berkaitan sektor itu untuk mencari titik persamaan.

“Sempadan sudah dibuka, SOP semakin longgar dan kita menuju ke arah endemik. Bagaimanapun, pusat hiburan masih tidak dibenarkan buka.

“Apa yang kami cari di sini ialah peluang untuk pihak berkuasa berkaitan bertemu dengan pemain industri berkaitan sektor ini untuk mencari titik persamaan agar sektor ini dibuka,” kata gabungan itu.

Kumpulan itu menjelaskan bahawa hiburan telah ditutup untuk tempoh yang paling lama tetapi merupakan salah satu sektor perniagaan yang menyumbang kepada pasaran pekerjaan di negara ini serta ekonomi.

Tambahnya premis berkenaan mematuhi semua syarat lesen dan pematuhan yang ketat termasuk SOP Covid-19.

Dalam rayuannya kepada kerajaan, gabungan itu menegaskan bahawa kelab malam tidak akan membuka mana-mana ruang tarian dan akan mematuhi penjarakan sosial jika dibenarkan beroperasi semula.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kelab malam akan terus ditutup sementara Malaysia beralih kepada fasa peralihan endemik pada 1 April.

Beliau berkata ini akan menjadi satu-satunya aktiviti yang kekal dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara.

“Kami meneliti perkara ini mengenai keseimbangan penilaian risiko. Ia adalah lokasi berisiko tinggi,” katanya.

Kelab malam telah ditutup sejak permulaan wabak pada Mac 2020. – 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen