Parti politik galakkan rakyat Malaysia luar negara mengundi PRU14


Amin Iskandar

Rakyat Malaysia yang cintakan negara dan mahukan negara bergerak maju perlu menunaikan tanggungjawab memilih wakil agar impian individu dan impian kolektif dapat dikecapi bersama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2018.

BAGI memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), selain daripada berkempen di dalam negara, parti politik pemerintah dan pembangkang turut berkempen bagi memastikan rakyat Malaysia di luar negara pulang untuk mengundi.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan jaringan mereka di luar negara seperti kelab parti dan melancarkan kempen bagi memastikan undi daripada golongan ini diperolehi mereka.

Ketua biro dasar dan strategi Bersatu, Dr Rais Hussein berkata, walaupun Bersatu baharu ditubuhkan pada 2016, parti itu tidak memandang remeh tentang peranan yang boleh dimainkan rakyat Malaysia di luar negara untuk memastikan kemenangan PH pada PRU14.

“Kami akan cuba sebaik mungkin untuk meyakinkan semua orang untuk mengundi dan menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian.

“Ini termasuklah rakyat Malaysia di luar negara dan juga yang dekat seperti di Singapura,” katanya.

Rais berkata, Bersatu akan menggunakan kesemua jaringan yang mereka ada termasuk kelab parti di luar negara dan kumpulan-kumpulan lain yang mahukan perubahan.

“Kami akan lancarkan kempen #ThisIsIt untuk meyelamatkan Malaysia, menggalakkan rakyat Malaysia pulang mengundi dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi membina semula Malaysia.

“Kami merayu rakyat Malaysia di setiap kontinen agar pulang semasa PRU14 untuk menggunakan hak demokratik mereka bagi menyelamatkan Malaysia,” kata Rais kepada The Malaysian Insight.

Rais berkata, walaupun kos untuk pulang ke Malaysia untuk mengundi itu mahal, harga yang lebih besar perlu dibayar sekiranya negara ini musnah.

“Mereka perlu memilih sama ada untuk mengekalkan rejim kleptokrasi atau kerajaan baharu yang memberikan harapan dan menjanjikan pentadbiran yang lebih baik.

“Sekiranya rejim kleptokrasi ini tidak disingkirkan melalui proses demokrasi, zaman gelap akan melanda negara kerana lima tahun lagi rejim kleptokrasi ini akan memusnahkan negara,” katanya.

Bulan lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan permohonan undi pos luar negara bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada PRU14 sudah dibuka.

Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah berkata, untuk memohon kemudahan itu, rakyat Malaysia yang berada di luar negara hendaklah memenuhi syarat seperti individu itu mesti pemilih berdaftar dalam kategori Pengundi Biasa atau bukan Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Walaupun rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi melalui undi pos, disebabkan ketidakyakinan terhadap integriti prosesnya, ramai yang memilih untuk pulang. 

Baru-baru ini, Global Bersih Jerman dan Switzerland menyertai bantahan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan SPR yang tidak lagi menggunakan Kementerian Luar sebaliknya melantik Pos Malaysia Bhd untuk mengendalikan undi pos pengundi di luar negara.

Penganalisis dari Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat berkata, kempen Undi Rosak yang dimulakan sesetengah pihak boleh menyebabkan peratusan rakyat Malaysia luar negara untuk pulang mengundi menurun.

“Tetapi situasi ini mungkin berubah sekiranya Pakatan Harapan memberikan respons secara konstruktif terhadap ketidakpuasan hati mereka.

“Contohnya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengambil langkah bijak dengan berinteraksi dengan anak muda yang memulakan kempen Undi Rosak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wong berkata, angka terbesar rakyat Malaysia di luar negara adalah di Singapura.

“Sekiranya mereka bersemangat untuk pulang mengundi, mereka mampu memberikan kesan yang besar, terutamanya di Johor,” katanya.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata, pada PRU14 kelak, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak akan pulang mengundi seperti pada 2008 dan 2013 kerana merasa tertipu dengan kempen pembangkang.

“Mereka pulang pada 2008 dan 2013 disebabkan propaganda pembangkang tetapi merasa tertipu kerana tidak dapat menukar kerajaan,” katanya. 

Penganalisis dari Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat berkata, kempen Undi Rosak yang dimulakan sesetengah pihak boleh menyebabkan peratusan rakyat Malaysia luar negara untuk pulang mengundi menurun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Februari, 2018.

Semangat rakyat Malaysia luar negara semakin merudum?

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, sokongan rakyat Malaysia di luar negara pada 2013 amat penting sehingga Pakatan Rakyat (PR) mendapat undi popular sebanyak 51%.

Beliau berkata, PKR sendiri sudah memulakan kempen bagi menggalakkan rakyat Malaysia pulang mengundi dengan mengadakan dialog di negara-negara yang mempunyai ramai golongan ini.

“Sewaktu di Geneva tahun lalu, saya bertemu dengan beberapa kumpulan rakyat Malaysia.

“Kita berbincang tentang kepentingan mereka untuk terus aktif supaya menjadi pemangkin kepada rakyat Malaysia yang lain untuk pulang mengundi,” katanya.

Katanya, usaha akan terus dilakukan untuk mengingatkan rakyat Malaysia tentang kepentingan mengundi pada PRU14.

“Apa pun, kita akan menghadapi masalah. Kerana pada 2013, semangat dan momentum sangat tinggi, dan selepas perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR), tentu ada di kalangan mereka yang kecewa.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengingatkan mereka bahawa 2018 merupakan kata pemutus kepada perjuangan kejayaan suara rakyat pada 2008,” kata Nurul Izzah yang juga pengarah pilihan raya PKR kepada The Malaysian Insight.

PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP berpecah pada 2015. Kini parti-parti pembangkang menubuhkan PH yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

PAS tidak menyertai PH akan tetapi menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan.

Nurul Izzah berkata, pada tahun 2008 tidak ada sesiapa pun yang menyangka pembangkang akan menang di lima negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

“Kita tak umum pun calon perdana menteri siapa, timbalan perdana menteri siapa, kita hanya bergantung kepada ledakan rakyat.

“Dan akhirnya ini yang membawa kita kepada peluang untuk memerintah negeri Selangor dan Pulau Pinang dan membuktikan bahawa sebenarnya, pembangkang boleh memerintah,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Nurul Izzah berkata, pada tahun 2008 tidak ada sesiapa pun yang menyangka pembangkang akan menang di lima negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Februari, 2018.

Undi untuk kekalkan kestabilan

Parti pemerintah BN turut tidak ketinggalan dalam berkempen agar rakyat Malaysia di luar negara pulang mengundi pada PRU14.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Ti Lian Ker berkata, partinya menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk pulang dan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memastikan BN dapat meneruskan dasar dan polisi yang baik.

“Selain itu, kita juga mahu mereka memastikan MCA mendapat mandat lebih besar agar dapat membantu BN mengekalkan kestabilan politik dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

“Kita akan menggerakkan kelab-kelab MCA di luar negara untuk menggalakkan rakyat untuk pulang dan menunaikan tanggungjawab patriotik sebagai rakyat Malaysia dalam memilih kerajaan,” kata Ti yang juga pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA kepada The Malaysian Insight.

Sementara Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon berkata, partinya tidak memandang rendah kepada sokongan yang boleh diberikan rakyat Malaysia di luar negara.

“Tahun lepas kita bekerjasama dengan Kelab MCA di New York, Amerika Syarikat untuk menggalakkan pengundi luar negara untuk pulang mengundi,” kata timbalan menteri pendidikan itu. – 17 Februari, 2018.

Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon berkata, partinya tidak memandang rendah kepada sokongan yang boleh diberikan rakyat Malaysia di luar negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sbgi rakyat malaysia kita harus bertanggungjawab dlm mengundi pada pru yg akan dtg tidak kira sama ada kita masih tinggal di negara kita ataupun di luar negara..jgn sia-siakan masa dpn negara..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan