MELULUSKAN Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan kunci utama dalam memastikan rakyat mengamalkan hak mereka untuk mengundi, kata presiden Majlis Peguam Karen Cheah.
RUU pembiayaan politik juga perlu diperhatikan bagi membolehkan ruang permainan yang sama rata untuk semua parti politik dan calon, kata Cheah.
Jika dua RUU ini dilaksanakan sebelum PRU15, ia akan menghalang satu lagi Langkah Sheraton daripada berlaku, di samping mengurangkan sikap tidak peduli pengundi, tambahnya.
“Matlamat kita adalah untuk meneruskan undang-undang antilompat kerana ada kemahuan politik yang mencukupi untuk membuat perubahan dan kita perlu cari peluang untuk buat perubahan sekarang,” kata Cheah kepada The Malaysian Insight.
“Sangat penting sebab PRU makin hampir. Tetapi, kita juga perlu melihat undang-undang pembiayaan politik juga, yang juga sedang dibincangkan dan kami harap akan ada kemahuan politik yang cukup untuk melaksanakannya sebelum PRU15.”
Minggu lepas, menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata rangka kerja RUU antilompat parti sudah sedia dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bertanggungjawab bagi pindaan Perlembagaan telah meminta Jabatan Peguam Negara merangka RUU tersebut.
Wan Junaidi berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dasar dan saranan pakar akademik, kumpulan masyarakat sivil dan pakar lain.
Rang undang-undang itu adalah sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH), yang ditandatangani pada 13 September.

Sejak 2018, 39 ahli Parlimen telah melompat parti, membawa kepada pertukaran kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH digulingkan selepas 22 bulan.
Cheah berkata hanya dengan melaksanakan reformasi sebelum PRU barulah kita dapat memastikan ia dilaksanakan dengan cara yang mengangkat institusi jentera pilihan raya.
Pembaharuan ini juga akan memastikan tiada sikap tidak ambil peduli pengundi yang akan menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang rendah semasa PRU, katanya.
“Kami ingin pengundi beri kata-kata terakhir, mengundi individu dan parti yang akan memimpin kerajaan,” katanya.
“Kami tidak mahu melihat satu lagi Langkah Sheraton kerana ia termasuk merampas hak pengundi. Undang-undang antilompat itu sangat penting bagi kita.
“Pembiayaan politik juga penting kerana ia menyediakan ruang permainan yang sama rata untuk parti politik dan juga parti bebas yang akan bertanding semasa PRU.
“Ini bermakna akan ada garis panduan yang mencukupi tentang bagaimana wang sepatutnya masuk, dibelanjakan dan setiap calon akan dapat mengikuti garis panduan itu. Ia menyediakan persekitaran yang selamat untuk semua yang akan berada dalam sistem kerajaan,” tambah Cheah.
Tambahnya ahli politik sendiri akan sedar yang pengundi akan merasakan undi mereka tidak berharga jika satu lagi Langkah Sheraton terjadi.
Dengan dua undang-undang itu, Cheah berkata ia akan memberi keyakinan kepada pengundi untuk keluar dan membuang undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, hanya 54.92 peratus rakyat keluar membuang undi, lebih rendah berbanding 60.67 peratus yang keluar mengundi pada PRN Sarawak dan 65.85 peratus di Melaka.

IPCMC juga perlu diperhatikan
Cheah baru-baru ini dipilih sebagai presiden Bar yang baharu menggantikan AG Kalidas.
Kali terakhir Badan Peguam dipimpin oleh seorang wanita adalah pada 2007 semasa Ambiga Sreenevasan memegang jawatan.
Bagi Cheah, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), adalah sesuatu yang juga ingin diperjuangkannya.
“Selain daripada semua pembaharuan itu, kami cuba mendesak penubuhan IPCMC. Ia sesuatu yang telah kami usulkan lebih 10 tahun dan kami harap ia akan tercapai.
“Insiden selama ini menunjukkan terdapat keperluan sebenar untuk sebuah badan bebas seperti IPCMC yang mempunyai kuasa yang cukup untuk menyiasat salah laku.
“Lebih-lebih lagi sekarang dengan jumlah kematian dalam tahanan, malah bukan setakat itu, tetapi juga kejadian di mana terdapat pertempuran tertentu antara polis dan rakyat. Malah mungkin semasa tangkapan,” katanya.
IPCMC telah dicadangkan pada 2005 untuk menggantikan suruhanjaya integriti agensi penguatkuasaan sebagai satu cara untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pasukan polis. Rang undang-undang itu dibentangkan buat kali pertama pada Julai 2019.
Kemudian, pada Ogos tahun lepas, pentadbiran Perikatan Nasional menggantikan rang undang-undang IPCMC dengan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Ia diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri sekali gus boleh dipantau terus oleh menteri dalam negeri. – 17 Mei, 2022.
Komen