Majlis Peguam tidak boleh berdiam diri, kata pakar perundangan


Alfian Z.M. Tahir

Sudah tiba masanya Majlis Peguam mengambil tindakan bagi menyampaikan mesej jelas kepada pihak yang cuba menjejas keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara, kata pakar perundangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2022.

MAJLIS Peguam tidak boleh lagi berdiam diri berikutan Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemindahan wang yang tidak dapat dijelaskan ke dalam akaun banknya, kata pakar perundangan.

Mereka berkata sudah tiba masanya tindakan bagi menyampaikan mesej jelas kepada pihak yang cuba mengikis keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara.

Dakwaan tersebut dibangkitkan oleh Raja Petra Kamarudin menerusi artikel dalam blognya Malaysia Today pada 20 April lalu, bahawa Nazlan disiasat kerana menerima wang lebih RM1 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nazlan kemudian membuat satu laporan polis berhubung artikel bertajuk “Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account” pada 21 April. 

Polis sehingga kini tidak menyatakan sama ada siasatan telah dimulakan susulan laporan tersebut.

SPRM bagaimanapun dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap Nazlan selepas menerima laporan pada 15 Mac, diikuti dua lagi pada 23 dan 27 April.

Agensi antirasuah itu juga berkata selepas semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

Nazlan adalah hakim yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) pada 28 Julai 2020. 

Beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Peguam Lim Wei Jiat dari Messrs Sreneevasan Advocates and Solicitors memberitahu The Malaysian Insight, Majlis Peguam perlu mengadakan perhimpunan dan perarakan seperti yang pernah diadakan pada 2007, yang menuntut kerajaan ketika itu di bawah bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi menyiasat dakwaan seorang peguam terkemuka cuba mempengaruhi pelantikan hakim.

Lim yang juga naib presiden Muda mengulas gesaan bekas duta Dennis Ignatius supaya Majlis Peguam menganjurkan perarakan bagi menuntut keadilan bagi Nazlan.

Dalam artikel di blognya, Ignatius berkata tindak balas Majlis Peguam terhadap siasatan ke atas Nazlan begitu mengecewakan.

Mengulas gesaan Ignatius, Lim berkata Majlis Peguam boleh melakukan lebih baik daripada sekadar mengeluarkan kenyataan. 

“Terus terang saya katakan sudah tiba masanya para peguam berhimpun untuk berarak.

“Kita tidak boleh biarkan sekali lagi krisis kehakiman seperti yang berlaku pada 1998 dan 2007. Dan sekarang ini jelas ada usaha untuk menggugat kebebasan hakim terutamanya dalam kes berprofil tinggi membabitkan ahli politik Umno.

“Kita perlu bertindak sekarang untuk mengatasinya,” kata Lim. – 29 April, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen