Perbicaraan, pendengaran kes secara fizikal ditangguhkan, kata Istana Kehakiman


Noel Achariam

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata langkah ini selaras dengan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi seluruh negara, menambah tarikh baharu akan diumumkan kelak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2021.

SEMUA perbicaraan kes sivil dan jenayah secara fizikal akan ditangguhkan ke tarikh baharu memandangkan sekatan pergerakan penuh mula berkuatkuasa selama dua minggu mulai esok, kata Istana Kehakiman.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata langkah ini selaras dengan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi seluruh negara, menambah tarikh baharu akan diumumkan kelak.

Awal hari ini, Majlis Peguam mendesak kerajaan menjelaskan adakah firma guaman boleh beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh.

Dalam surat pekeliling kepada anggota, ia berkata pihaknya meminta penjelasan mengenai arahan untuk firma guaman setelah arahan Majlis Keselamatan Negara supaya industri berhubung dengan kementerian masing-masing untuk mendapatkan panduan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pendaftar turut menyenaraikan kes yang akan ditangguhkan:

(a) Perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah

(i) Semua perbicaraan / pendengaran kes sivil dan jenayah yang telah ditetapkan secara kehadiran fizikal di Mahkamah hendaklah ditangguhkan dan penetapan tarikh perbicaraan / pendengaran yang baharu akan dimaklumkan kemudian;

(ii) Bagi kes-kes sivil, pendengaran kes hendaklah dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh berdasarkan Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2021 Pengendalian Kes Sivil Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh Bagi Mahkamah Di Seluruh Malaysia (AA KHN 1/2021). Bagi maksud ini, pengendalian prosiding melalui kaedah hibrid adalah tidak dibenarkan dan perenggan 6, 9 dan 14 AA KHN 1/2021 adalah tidak terpakai:

(iii) Dengan mengambil kira tempoh pelaksanaan ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama ini, sekiranya agensi kerajaan, peguam dan orang awam mempunyai kesukaran dalam meneruskan perbicaraan dan dikhuatiri akan menjejaskan hak pihak-pihak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil melalui teknologi komunikasi jarak jauh, pihak agensi kerajaan, peguam dan orang awam boleh memohon untuk menangguhkan kes;

(b) Pemfailan kes sivil dan jenayah

Pemfailan kes-kes sivil dan jenayah baharu/ notis rayuan dan dokumen- dokumen akan dilaksanakan seperti biasa melalui sistem aplikasi Mahkamah;

(c) Pengurusan kes sivil dan jenayah

Pengurusan kes sivil dan jenayah hendaklah dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh;

(d) Pertuduhan baharu, permohonan perintah reman dan permohonan jenayah pelbagai

Semua pertuduhan baharu, permohonan perintah reman dan permohonan perintah jenayah pelbagai hendaklah dijalankan melalui kehadiran secara fizikal di Mahkamah;

(e) Perakuan segera/ permohonan segera bagi kes-kes sivil dan jenayah

Pihak-pihak boleh memfailkan perakuan segera / permohonan segera bagi kes-kes sivil dan jenayah sekiranya perlu dan Mahkamah akan memberikan arahan lanjut kepada pihak-pihak berhubung dengan perkara tersebut;

(f) Permohonan jenayah yang perlu dijalankan melalui kehadiran secara fizikal di Mahkamah Atasan

Bagi permohonan jenayah yang perlu dijalankan melalui kehadiran secara fizikal di Mahkamah Atasan atas sebab-sebab yang khas dan dalam keadaan tertentu (exceptional circumstances), Mahkamah akan menggunakan budi bicara dalam mempertimbangkan permohonan tersebut.

Untuk makluman agensi kerajaan, peguam dan orang awam—

(a) arahan ini mengatasi kesemua arahan terdahulu berhubung dengan operasi Mahkamah dalam tempoh kawalan pergerakan yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan melalui e-mel pada 17 Mac 2020, 26 Mac 2020 dan 24 April 2020;

(b) arahan ini hendaklah terpakai sekiranya Kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan pelaksanaan ‘lockdown’ ini dan tertakluk kepada apa-apa arahan baharu yang dikeluarkan.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkara di atas, bolehlah menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat di talian 03-88804051 / 03-88804607 atau [email protected]. – 31 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen